Jumaat, 22 Mac 2013

Agbimuddin Kiram Tinggalkan Sabah 11 Mac Lalu?

Adik-beradik Kiram. Yang duduk di sebelah kiri dikatakan Agbimuddin Kiram. Foto: alhusseyn

Agbimuddin dikenali juga sebagai Azzimudie. Foto: nizarazu.com

Isteri Agbimuddin Kiram. Foto: digplanet.com



LAHAD DATU - Ketua pengganas Sulu yang menceroboh Sabah sejak 12 Feb lepas, Azzimudie atau Agbimuddin Kiram telah meninggalkan negara ini sejak 11 Mac dan kini bersembunyi di pulau-pulau kecil di selatan Filipina. 
Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata perkara itu disahkan hasil risikan pasukan keselamatan yang antara lain mendapati Azzimudie meninggalkan pengikutnya di Sabah lalu menyembunyikan diri dan bergerak dari satu pulau ke pulau lain di selatan Filipina. 
"Azzimudie bertindak sedemikian dipercayai kerana tidak mahu kedudukannya diketahui Bangsamoro dan kerana takut ditangkap pihak berkuasa Filipina," katanya pada sidang akhbar bersama Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar di Markas Operasi Felda Sahabat 16, dekat sini hari ini. 
Beliau mengulas dakwaan terbaru sebuah blog bahawa Azzimudie Kiram mati ditembak pengawalnya sendiri dan mayatnya dikatakan ditanam di sebuah kubur kecil yang hanya diketahui pengikut elitnya. 
Kepada soalan sama ada pasukan keselamatan mengekori dan menjejaki kelibat Azzimudie ke Filipina, Zulkifeli berkata itu di luar bidang kuasa mereka. 
Beliau percaya tindakan lanjut boleh diambil melalui hubungan diplomatik antara kedua-dua negara. 
Azzimudie Kiram mengetuai insiden pencerobohan bersama kira-kira 200 militan bersenjata dari selatan Filipina pada 12 Feb lepas yang menyaksikan 63 militan terbunuh termasuk seorang yang ditembak mati pagi semalam manakala di pihak Malaysia 10 anggota keselamatan gugur. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.