Ahad, 10 Mac 2013

Bingung Diisytihar Muflis Walau Tak Berhutang

Foto: wanwma.com


BANDAR BAHARU - Bank Negara diminta membantu menyelesaikan masalah seorang pemuda kampung yang diisytihar muflis akibat tidak melangsaikan pinjaman kenderaan sejak 2009 lalu kepada sebuah institusi kewangan. 
Pembantu Khas kepada Penyelaras Barisan Nasional Parlimen Kulim/Bandar Baharu Helmy Abdul Khan berkata, pihak Bank Negara perlu berbuat sesuatu untuk membantu Mohd Harbrullah Man yang telah membuat empat laporan polis berhubung perkara itu. 
Pekerja ladang sawit (gambar hiasan) Foto: greenboc
"Perkara ini sudah berlanjutan sejak empat tahun lalu dan 'mangsa' seorang pemuda kampung yang kurang pengetahuan mengenai masalah yang dihadapinya," katanya kepada pemberita di sini hari ini. 
Menurut Mohd Harbrullah, 32, pekerja am di sebuah ladang kelapa sawit di Lubuk Buntar, dekat sini, dia dikatakan berhutang sejumlah RM43,296.90 kerana membeli sebuah kereta Proton Wira Sedan 1.5 bernombor PGX 1754 dengan sebuah bank. 
Proton Wira (gambar hiasan). Foto: farahharis
Mendakwa dia tidak pernah membuat pinjaman kewangan dengan mana-mana institusi kewangan dalam tempoh tersebut, pemuda itu menegaskan: "Lagi pun saya tak mampu nak beli kereta sebab pendapatan saya RM500 sebulan. Saya juga tidak memiliki lesen memandu". 
Katanya, besar kemungkinan maklumat diri dan salinan kad pengenalannya telah disalah guna oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab. 
Mahkamah Tinggi Pulau Pinang. Foto: Tomaso
"Notis bankrap yang difailkan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 14 April 2009 telah saya terima dan saya telah merujuk kepada dua cawangan bank itu di Butterworth," kata Mohd Harbrullah. 
Katanya, ketika pergi ke pejabat berkenaan dia telah meminta fail peribadi atas namanya, namun diminta supaya kembali semula dalam tempoh seminggu. 
"Oleh kerana saya sudah tidak tahan lagi diperlakukan seperti 'bola' lalu saya pun membuat sebanyak empat laporan polis sejak 2009 hingga 2012," katanya. 
Katanya, walaupun laporan sudah dibuat, dia masih tidak mendapat sebarang jawapan positif daripada pihak institusi kewangan berkenaan. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.