Ahad, 10 Mac 2013

Toyota Hilux Baru

Oleh ERYWAN NORSHAL


SELEPAS memandu beberapa hari, kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux nyata memberi pandangan positif, sekali gus mengubah persepsi penulis yang menganggap jentera itu kurang sesuai untuk keluarga. 
Persepsi itu berubah serta-merta selepas penulis memandu jentera keluaran UMW Toyota Motor ini ke Cherating, Pahang bersama keluarga, baru-baru ini. 
Sepanjang perjalanan lebih empat jam itu memang selesa, terutama di bahagian belakang, apabila menawarkan ruang kaki yang luas serta posisi kerusinya tidak terlalu menegak. 
Penumpang belakang boleh melelapkan mata buat seketika kerana sistem suspensinya tidak terlalu melambung berbanding jentera segmen lain.





Ruang dalamannya juga memaparkan reka bentuk canggih dan moden selepas menerima sentuhan anggun menerusi penggunaan papan pemuka serta dipadankan kombinasi warna hitam untuk keseluruhan kabinnya. 
Butang kawalan berdekatan tempat duduk pemandu lebih mudah dicapai, justeru selesa dan yakin mengendalikan jentera ini dengan lebih lancar. 
Sepanjang perjalanan itu, sistem navigasi DVD audio-video yang bersaiz 6.1 inci menerusi skrin sentuh LCD boleh memainkan filem atau animasi kartun bagi mengisi masa kanak-kanak untuk mengelak kebosanan. 
Selain itu, ia mem­boleh­kan penulis memainkan lagu menerusi pemain cakera padat DVD, MP3, jack aux, USB dan iPod, selain penggunaan Bluetooth serta dilengkapi sistem navigasi. 
Kamera belakang dipasangkan pada jentera ini juga sangat berbaloi untuk kemudahan mengendali kenderaan yang sedikit besar serta lebar ketika meletak di tempat sempit. 
Paling menarik, jentera varian terbaru ini dipadankan dengan teknologi Variable Nozzle Turbo (VNT) pada enjin D-4D Common Rail Turbo Diesel. 
Secara umumnya, VNT menggunakan corong yang boleh dilaras secara automatik mengikut keadaan pemanduan dengan me­ngawal tekanan gas ekzos dan kelajuan aliran ­angin ke dalam turbin turbo mengikut keperluan. 
Enjin 2.5 liter ini mampu menyalurkan kuasa maksimum sehingga 142 kuasa kuda, selain kuasa tork yang tinggi mencecah 343 Nm. 
Tindak balas ini paling ketara dirasai ketika menekan padel minyaknya, di mana sistem turbonya memberi kuasa tambahan kepada enjin, sekali gus membuatkan ia meluncur lebih pantas. 
Kehebatan prestasi jentera ini diuji ketika memandu di lebuh raya ke pantai timur, terutama laluan mendaki sebelum persimpangan menuju ke Genting Highlands, Bentong, Pahang. 
Biarpun menggunakan transmisi automatik empat kelajuan, tenaga disalurkan sangat mengagumkan sehingga penulis tidak perlu menukar kepada gear rendah untuk mendaki bukit itu. 
Di laluan lurus, kuasa jentera itu untuk memecut memang hebat, cuma penulis tidak dapat menguji kelajuan kerana keadaan trafik yang sibuk. 
Penggunaan minyak juga menjimatkan kerana tangki masih berbaki selepas isian penuh bagi mengharungi perjalanan sejauh 650 kilometer dengan kelajuan purata 120 km/j. 
Biarpun ia sebuah jentera yang dicipta untuk mengharungi laluan lasak, ia sesuai untuk semua situasi.

SPESIFIKASI TOYOTA HILUX DOUBLE CAB 2.5G:
ENJIN: 2,494 cc, diesel, empat silinder, 16 injap, DOHC, Intercooler
KUASA MAKSIMUM: 142hp pada 3,400rpm
TORK MAKSIMUM: 343Nm antara 1,600 hingga 2,800rpm
TRANSMISI: Automatik empat kelajuan dengan ECT
CIRI KESELAMATAN: ABS, LSP, BV, beg udara SRS pemandu dan penumpang dan pengesan undur
HARGA: RM99,988 dengan insurans
Sumber: myMetro

2 ulasan:

  1. Review terbaik dari ladang, terima kasih tuan. HILUX lebih sporty dengan varian TRD sportivo, lebih nilai dengan wang anda. Bminat?? Boleh hubungi 017-236 1340 authorised toyota advisor (whatsapp 24/7) tempahan seluruh malaysia.

    BalasPadam
  2. salam tuan..
    bagaimana dgn penyelenggaraannya..tinggi..atau okey aje..

    BalasPadam

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.