Sabtu, 9 Mac 2013

Gagal Dapat Rawatan Walaupun Ada Polisi Insuran

Sundram menunjukkan kad polisi insurans miliknya yang tidak diterima di Sungai Petani. Foto: Sinar Harian


SUNGAI PETANI - Seorang pesara tentera kecewa apabila hasrat mendapatkan rawatan bagi melakukan pembedahan pintasan jantung di sebuah hospital swasta di sini tidak dapat dilakukan setelah dimaklumkan kad polisi miliknya tidak boleh digunakan lagi. 
S Sundram, 47, dari Sungai Lalang di sini terkejut memandangkan rawatan ke hospital terbabit sudah kerap kali dilakukan sejak 2006 tetapi tidak dibenarkan berbuat demikian oleh pihak hospital baru-baru ini. 
“Saya sudah bersara dari perkhidmatan tentera darat sejak 2009 dengan berpangkat Sarjan dan menggunakan polisi insurans yang ditawarkan. 
“Bagaimanapun kecewa apabila tidak dibenarkan membuat rawatan yang sepatutnya saya peroleh melalui perkhidmatan ini,” katanya. 
Menurutnya, perkara itu hanya disedari setelah dimaklumkan petugas hospital menyebabkan dia terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk pembayaran. 
Sundram berkata, sekiranya kos mencecah RM1,000 atau RM2,000 tidak mengapa tetapi, tidak dapat membayar jika ia melebihi RM10,000. 
“Saya bayar RM67 sebulan untuk dapat polisi insurans ini tetapi dihalang daripada menggunakan perkhidmatan. 
"Bagi dapatkan penjelasan, saya telah hubungi syarikat berkenaan di Kuala Lumpur dan mengesahkan ia tidak dapat digunakan di sini, sebaliknya mengarahkan saya menjalani rawatan di hospital swasta di Alor Setar atau Pulau Pinang atau mendapatkan khidmat hospital kerajaan," katanya. 
Menurutnya, namun sebagai pengguna polisi itu, dia berhak mendapatkan khidmat terbaik kerana membeli polisi berkenaan, tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. 
“Saya yakin ramai pemegang polisi insurans ini terdiri daripada bekas anggota tentera yang begitu ramai di Sungai Petani dan mereka tidak mengetahui tentang status sebenar. Pendedahan ini dibuat bertujuan beri kesedaran pada orang ramai agar berhati-hati dan tidak tertipu,” katanya. - Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.