Sabtu, 9 Mac 2013

Pangsapuri Pendekar Taman Tun Perak Mendap Lagi

Mohd Ishak menunjukkan jalan yang mendap di kawasan Pangsapuri Pendekar Taman Tun Perak. Foto: myMetro


CHERAS - Keselamatan lebih 500 penghuni Blok 9 dan 10 Pangsapuri Pendekar Taman Tun Perak, di sini, sekali lagi terancam apabila berlaku tanah mendap berhampiran kediaman mereka. 
Kejadian tanah mendap yang berlaku sejak dua tahun lalu itu dapat dilihat apabila terdapat retakan sepanjang hampir 100 meter di jalan raya dalam kawasan perumahan itu yang terletak berhampiran tembok simen setinggi 10 meter. 
Penduduk, Rozaini Amir Hamzah, 51, berkata, masalah itu bukan kali pertama dialami penduduk sebaliknya pernah berlaku pada 2002 menyebabkan jalan raya di situ merekah. 
“Siapa yang boleh lena tidur apabila setiap hari melihat jalan raya berhampiran rumah semakin mendap. 
“Tanda tanah mendap terutama pada jalan raya mula kelihatan sejak beberapa tahun lalu dan semakin menunjukkan tanda kritikal pada tahun lalu, apabila mendapan semakin menghampiri rumah penduduk,” katanya di sini, semalam. 
Kebimbangan penduduk terbukti apabila tinjauan wartawan mendapati terdapat mendapan sepanjang hampir 100 meter membabitkan dua blok berkenaan. 
Selain itu, penduduk, Mohd Ishak Puteh, 47, menyifatkan nyawa penduduk ibarat telur di hujung tanduk kerana kejadian tanah runtuh tidak boleh dijangka dan boleh berlaku bila-bila masa. 
“Ekoran pergerakan tanah di situ menyebabkan pagar besi berhampiran tembok simen jatuh serta longkang rosak teruk menyebabkan air hujan tidak dapat dialirkan ke tempat lain sebaliknya masuk dalam tanah. 
“Malah, setiap kali hujan lebat, pasti ada aliran air yang kuat keluar dari tembok menunjukkan kandungan air yang banyak di dalamnya,” katanya. 
Sementara itu, Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) Abdul Rashid Osman, berkata beliau sudah membuat aduan kepada pemaju, TPPT Sdn Bhd dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) bagi membolehkan tindakan segera dilakukan. 
“Isu kejadian tanah runtuh ini memerlukan kajian terperinci daripada pihak terbabit. Apatah lagi kami tidak mengetahui kaedah tambakan tanah yang dilakukan pemaju ketika projek pembinaan rumah dan apa yang ada di bawah perumahan kami. 
“Mungkin ada paip air yang pecah atau punca lain yang menyebabkan kejadian tanah mendap di sini berulang. 
“Walaupun MPKj dan pemaju datang meninjau masalah di sini pada Mac tahun lalu, sehingga kini tiada tindakan diambil bagi mengatasi masalah tanah mendap itu,” katanya. - myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.