Khamis, 28 Mac 2013

Jamalul Kiram Pandai-Pandai Mengaku Sultan Sulu

Duduk di hadapan: Jamalul Kiram III (tengah), Abgimuddin (kiri) dan Ismail II (kanan)

Abgimuddin Kiram dalam beberapa penampilan.


LAHAD DATU - “Jamalul Kiram III dan Abgimuddin Kiram tidak layak menuntut Sabah kerana mereka bukan berdarah sultan. 
“Sebaliknya mereka ini hanyalah pewaris yang berstatus cucu saudara kepada Sultan Jamalul Kiram II,” tegas pengkaji sejarah dan penulis buku Kesultanan Sulu, Julasri Hajad, 36, atau Asree Sug. 
Menurut Asree, sejarah menunjukkan Sultan Jamalul Kiram II hanya memiliki seorang anak perempuan dan seorang adik berlainan ibu, Raja Muda Mawalil Wahid sehinggalah kemangkatannya pada 1936. 
“Raja Muda memiliki dua anak iaitu Ismail I dan Punjungan. Punjungan pula memiliki tiga anak iaitu Jamalul Kiram III, Abgimuddin Kiram dan Ismail II. 
“Maka, Jamalul, Abgimuddin dan Ismail adalah cucu saudara kepada Sultan Jamalul Kiram II. Mereka ini bukan berdarah sultan sebaliknya hanyalah pewaris,” katanya. 
Katanya, bagaimanapun ketiga-tiga beradik itu menetap di Kepulauan Tawi Tawi kerana ibu mereka penduduk tempatan di situ berketurunan Bajau Simunul dan berbahasa Tausuq (Sulu). 
“Jamalul Kiram dan Abgimuddin tidak layak menuntut Sabah kerana mereka tidak memiliki rakyat tambahan pula sultan sebenar mesti tinggal di Jolo di Kepulauan Sulu,” katanya. 
Menurutnya, Kesultanan Sulu juga tidak lagi wujud kerana rakyatnya pada 1906 memulaukan Sultan Jamalul Kiram II yang bekerjasama dengan Amerika Syarikat mengenakan cukai kepala kepada penduduk. 
“Sekitar 1906 sehingga 1915, Sultan Sulu membenarkan Amerika membunuh kira-kira 5,000 penduduk di Bud (gunung) Bagsak dan Bud Dahu yang menyerang tentera mereka. 
“Selepas kemangkatan Sultan Sulu, masyarakat Sulu tidak menerima mana-mana lagi sultan sehingga sekarang,” katanya menegaskan dakwaan pengganas bahawa mereka Kesultanan Sulu sebagai tidak memahami sejarah. Kata Asree, dalang pencerobohan itu dilakukan anasir luar dan difahamkan Jamalul Kiram III hanya menumpang isu pencerobohan itu untuk meraih publisiti selepas difahamkan bakal bertanding pilihan raya di Filipina. 
“Pengamatan mendapati ini (pencerobohan) taktik Jamalul Kiram,” katanya. - myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.