Selasa, 12 Mac 2013

Kanak-Kanak 12 Tahun Main Bola Mati Lemas

Kakak mangsa terpaksa ditenteramkan oleh ahli keluarga kerana terlalu sedih dengan berita penemuan mayat adiknya.


JOHOR BAHRU - Seorang kanak-kanak lelaki ditemui mati lemas di Kuala Sungai Arang di sini semalam selepas dilaporkan hilang ketika bermain bola di kawasan lapang berhampiran rumahnya di Taman Cempaka, Tampoi di sini petang kelmarin. 
Mayat mangsa, Abu Hanifah Abu Amir, 12, ditemui terapung pada pukul 3.30 petang, kira-kira lima kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang. 
Difahamkan, ketika kejadian pukul 5.30 petang kelmarin, mangsa dikatakan bermain bola bersama abangnya, Bilal, 14, serta beberapa kanak-kanak lain sebelum bola berkenaan terjatuh di dalam longkang berhampiran. 
Menurut Bilal, mangsa yang juga pelajar Sekolah Kebangsaan Tampoi 2 di sini bersama beberapa rakan lain cuba mengambil bola tersebut sebelum dia tergelincir ke dalam longkang dan dihanyutkan arus deras. 
"Masa itu, hujan lebat dan air longkang deras. Saya lihat sendiri adik terjatuh dan terus hanyut. Saya dan rakan-rakan lain tidak dapat berbuat apa-apa," jelasnya. 
Sementara itu, seorang polis bantuan yang menemui mayat mangsa, Rafi Jaffar, 37, berkata, dia mengetahui kehilangan Abu Hanifah ketika sedang makan di Pengkalan Nelayan Taman Tampoi Utama di sini. - Kosmo!


Anggota penyelamat mengangkat jenazah Abu Hanifah yang ditemui di Sungai Skudai, semalam. Foto: myMetro
JOHOR BAHRU - “Saya nekad berenang ke arah kanak-kanak itu yang terkapai-kapai meminta tolong, tetapi tidak berjaya sebelum melihat tubuhnya berpusing-pusing dibawa arus deras. 
“Malah, saya juga hampir lemas dibawa arus deras dan terpaksa berpaut pada rumput di tepi parit,” kata penduduk di Taman Cempaka, Muhammad Fadhil Mujahid, 26, semalam. 
Muhammad Fadhil terjun dalam parit selebar lebih dua meter dan sedalam lebih dua meter bagi menyelamatkan Abu Hanifah Amir, 12, yang tergelincir ketika ingin mengambil bola dalam kejadian jam 6 petang kelmarin. 
Mayat Abu Hanifah ditemui pada jam 3 petang semalam berhampiran Pengkalan Nelayan Taman Tampoi Utama, Sungai Skudai, lima kilometer dari tempat dia dilaporkan hilang.
Muhammad Fadhil berkata, kejadian berlaku terlalu pantas dan tidak dapat menyelamatkan kanak-kanak itu. - myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.