Rabu, 17 April 2013

Bersih 3.0: Suhakam Tegur Polis Dan DBKL

Para peserta Bersih 3.0 disembur dengan gas pemedih mata. Foto: beritasemasa.com

Peserta Bersih 3.0 yang berhadapan dengan tindakan keras anggota polis. Foto: selangorku.com

Polis menggunakan semburan kimia terhadap para peserta Bersih 3.0. Foto: mstar.com

Lagi tindakan kasar pihak polis terhadap para peserta Bersih 3.0. Foto: themalaysianinsider

KUALA LUMPUR - Siasatan Awam Suhakam berhubung perhimpunan Bersih 3.0 akhir April lalu menunjukkan terdapat banyak salah laku khususnya membabitkan anggota polis, antaranya penggunaan kekerasan tidak seimbang termasuk mengasari pengamal media. 
"Ia merupakan petikan daripada laporan siasatan awam itu yang perlu diberi perhatian khusus oleh pihak polis. 
"... panel siasatan selepas ini akan bertemu dengan pegawai tertinggi PDRM bagi membincangkan penemuan dan syor siasatan yang memerlukan perhatian pihak polis," kata Pengerusi Panel Inkuri, Dr Khaw Lake Tee kepada pemberita selepas membentangkan hasil siasatan awam itu hari ini. 
Katanya, Siasatan Awam itu telah memanggil seramai 49 saksi yang terdiri daripada orang awam, kakitangan media, kakitangan polis dan profesional yang telah memberikan keterangan di hadapan panel inkuiri diketuai beliau sendiri.
Sebanyak 67 eksibit dan dokumen telah diterima oleh panel sepanjang Siasatan Awam itu berlangsung. 
Antara 12 penemuan siasatan itu ialah: 
- Polis tidak membantu dan memudahkan peserta bersurai 
- Peserta tidak diberikan masa yang mencukupi untuk bersurai, sebaliknya amaran 
- Polis gunakan kekerasan yang tidak seimbang dan buat salah laku 
- Peserta ditahan polis dalam premis walaupun sudah meninggalkan perhimpunan 
- Wujud cubaan polis halang media daripada buat liputan perhimpunan kerana lakukan rampasan peralatan media, memadam gambar dan mengasari wartawan 
- Peserta yang ditahan di Pulapol tidak dimaklumkan sebab penahanan dan dinafikan akses wakil perundangan 
- Protes depan rumah Pengerusi Bersih 2.0, Datuk S.Ambiga pada 28 April lalu mempunyai hak mengamalkan kebebasan bersuara dan berhimpun, tetapi ia tidak sepatutnya nafikan privasi, kebebasan peribadi dan keselamatan beliau sendiri 
- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sepatutnya berperanan memudahkan lalu lintas dan jalan dalam dan sekira bandar raya ketika perhimpunan itu. 
- Penutupan stesen Transit Aliran Ringan (LRT) termasuk Masjid Jamek, Dang Wangi, Pasar Seni, Plaza Rakyat, Bandaraya dan Sultan Ismail dari jam 3.00 petang hingga 5.30 petang mengakibatkan kesukaran peserta bersurai secara aman dan teratur. 
- Penggunaan bahasa dalam garis panduan yang disediakan penganjur perhimpunan pada 28 April boleh disalahtafsirkan dan boleh menggalakkan para peserta menyalahi undang-undang. 
- Pendekatan 3R 1C 1E (Restraint, Restraint, Restraint, Caution and Enforce) yang diguna pakai PDRM dalam mengendalikan perhimpunan tidak mencerminkan semangat APA2012. 
- Akta Perhimpunan Aman 2012 masih baru berkuat kuasa, lima hari sebelum perhimpunan berlangsung, adalah terlalu awal bagi PDRM ambil kira sepenuhnya akta itu dalam pengoperasian dan pengendalian perhimpunan. 
Dalam pada itu, panel inkuiri juga mengemukakan 25 syor dalam penambahbaikan Akta Perhimpunan Aman. 
Panel itu bersidang pada 5 Julai tahun lepas dan berakhir pada 10 Januari lalu. - Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.