Ahad, 7 April 2013

Dua Maut Kenderaan Jatuh Dari Jambatan

Kenderaan dipandu Wan Mohd Alif terjunam dan terbalik di lebuh raya Temerloh-Bandar Jengka. Foto: Sinar Harian


JENGKA - Keengganan untuk pulang bersama rakan serumah selepas makan malam menjadi petanda ajal seorang pekerja bank dan rakannya yang terbabit kemalangan di Kilometer 26, Jalan Temerloh-Bandar Jengka, pagi semalam. 
Mangsa, Wan Mohd Alif Wan Abdul Rashid, 24, yang berasal dari Taman Desa Jaya, di sini, ketika itu bersama rakannya, Mohd Firdaus Mohd Arifin, 24, yang berasal dari Bukit Malaysia, Mentakab. 
Rakan serumah Wan Mohd Alif, Syed Jaafar Syed Abdul Kadir, 24, berkata, kali terakhir dia berjumpa kedua-dua mangsa selepas selesai makan malam di sebuah kedai makan di Mentakab, malam kelmarin. 
“Saya mengajak arwah (Wan Mohd Alif) pulang ke rumah selepas selesai makan, tapi arwah tidak mahu. Inilah kali pertama arwah tolak ajakan saya. Sebelum ini tidak pernah,” katanya. 
Menurutnya, setelah tawarannya ditolak, dia terus pulang ke rumah dan tidak tahu ke mana hala tuju dua rakan terbabit selepas itu. 
“Saya tidak tahu mereka merancang hendak ke mana. Arwah tidak pulang ke rumah pada malam itu. Pagi ini (semalam), saya dapat tahu arwah terbabit kemalangan,” katanya. 
Ibu Wan Mohd Alif, Che Kamareha Che Ka, 56, berkata, kali terakhir dia berjumpa anak kedua daripada lima beradik itu pada minggu lalu ketika arwah pulang untuk mengambil sijil dan membawanya bersiar di pusat membeli-belah di Mentakab. 
Menurutnya, mangsa bagaimanapun ada menelefonnya petang kelmarin memaklumkan mahu pulang ke rumah untuk menemuinya. 
“Arwah telefon bagi tahu nak balik sekitar jam 4 petang semalam (kelmarin). Arwah kata, apa-apa hal dia akan telefon semula, tapi sampai malam dia tidak pulang. 
“Saya rancang nak jumpa dia di Temerloh jika dia tidak pulang, tapi pagi ini kami sekeluarga dikejutkan dengan berita arwah terbabit kemalangan,” katanya. 
Adik Mohd Firdaus, Mohd Farid Mohd Aridin, 23, pula berkata, abangnya ada mengajak dia keluar pada malam sebelum kejadian. 
“Arwah ajak saya keluar bersamanya malam itu, tapi tidak bagi tahu hendak ke mana. Saya tidak mahu ikut dan mahu duduk di rumah. Itulah kali terakhir saya jumpa arwah. 
“Arwah tidak balik rumah malam itu dan pagi tadi, kenalan bekerja di lebuh raya telefon bagi tahu arwah terbabit dalam kemalangan. Saya terus pergi ke tempat kejadian, namun ketika itu arwah sudah tiada,” katanya. 
Ketua Polis Daerah Maran, Pemangku Superintendan Sulaiman A Hamid berkata, kemalangan itu dianggarkan berlaku sekitar jam 7.20 hingga 7.30 pagi semalam. 
“Kenderaan pacuan empat roda dipandu mangsa dari arah Jengka menuju Mentakab dipercayai terjunam dan terjatuh ke atas sebuah lebuh raya ketika melalui sebuah jambatan. 
“Pemandu dipercayai mengantuk dan kejadian disedari pekerja lebuh raya. Berdasarkan bedah siasat, kedua-dua mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala,” katanya. 
Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Desa Jaya, Abdul Rahman Basri berkata, arwah Wan Mohd Alif dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pusara Damai di sini, semalam, selepas solat Asar. - Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.