Ahad, 7 April 2013

Menggeletar Tersepak Seikat Wang Kertas

Yusri Awang menunjukkan duit ditemuinya bersama isteri di sebuah pasar raya di bandar Kuantan, Khamis lalu. Foto: Sinar Harian

KUANTAN - “Menggeletar kaki saya lihat seikat duit yang saya sepak sejurus keluar dari pasar raya tersebut,” kata Liza Alias, 41, yang menemui sejumlah wang ketika keluar dari sebuah pasar raya dekat bandar Kuantan, Khamis lalu. 
Menurutnya, akibat panik, dia bersama suami mengambil wang itu dan masuk semula ke dalam pasar raya untuk mengenal pasti pemiliknya. 
“Sehingga kini, saya dan suami masih menyimpan wang itu dan nekad untuk menyiarkan dalam akhbar bagi mencari pemiliknya. 
“Jika saya bertanya pada orang lain, mungkin ramai mengaku dan jalan terbaik adalah saya akan pulangkan duit ini sendiri sekiranya ia dituntut,” katanya. 
Suami Liza, Yusri Awang Muhammad, 38, berkata, dia sememangnya tidak menyangka akan terjumpa wang sebanyak itu. 
“Seminggu lalu, saya pernah kehilangan RM50 dan saya tahu betapa sedihnya kehilangan wang kerana saya bukannya orang kaya. 
“Tambahan pula, saya baru sahaja mengalami kemalangan dan memerlukan wang untuk membaiki kereta yang rosak," katanya. 
Menurutnya, jika imannya tidak kuat, sudah tentu dia akan menggunakan wang mereka temui itu. 
Wang ditemui pasangan suami isteri tersebut masih diikat rapi seperti ketika ditemui. 
Yusri Awang berkata, jumlahnya hampir RM1,000. 
Bagaimanapun katanya, jika dalam masa seminggu masih tidak dituntut, ia mungkin akan dimasukkan ke dalam tabung masjid. 
Bagi sesiapa kehilangan wang di sebuah pasar raya dekat bandar Kuantan, boleh berhubung terus dengan Yusri Awang menerusi talian 014-8347036. - Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.