Sabtu, 13 April 2013

E-Rokok Galak Orang Merokok

Ketua Pengarah Pentadbiran Ubat dan Makanan Filipina, Dr. Kenneth Hartigan-Go. Foto: facebook

Antara jenis e-rokok yang digunakan oleh komuniti pengguna rokok. Foto: Sinar Harian

MANILA - Rokok elektronik atau e-rokok yang dianggap pengganti ketagihan tembakau juga boleh menyebabkan kanak-kanak menjadi perokok, menurut amaran Jabatan Kesihatan Filipina kepada penduduk. 
E-rokok semakin menjadi pilihan di kalangan penduduk Filipina berikutan kenaikan cukai tembakau yang menyebabkan harga rokok di pasaran semakin mahal. 
Ketua Pengarah Pentadbiran Ubat dan Makanan, Kenneth Hartigan-Go, mempertikaikan dakwaan penjual bahawa rokok elektronik itu membantu perokok untuk membuang tabiat merokok. 
“Secara sengaja atau tidak, rokok elektronik ini menggalakkan kanak-kanak dan remaja merokok. Ia menjadikan mereka kurang takut kepada bahaya dan risiko merokok. 
“Orang ramai dinasihatkan tidak merokok sama sekali dan tidak menghisap rokok, cerut atau e-rokok,” katanya dalam notis kesihatan di laman web agensi terbabit. 
Hampir seorang daripada setiap lima rakyat Filipina didapati merokok, lapor Jabatan Kesihatan. 
Satu undang-undang yang berkuatkuasa tahun ini akan menaikkan cukai rokok selama lima tahun, menggandakan harga rokok sedia ada sehingga 52 peso (RM3.80) sekotak menjelang 2017. 
Satu bungkusan e-rokok di Filipina mengandungi pengewap berkuasa bateri yang mengeluarkan asap nikotin. - AFP / Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.