Sabtu, 13 April 2013

Maut Ditembak Di Persimpangan Lampu Isyarat

Mangsa James John, 45, maut ditembak dari jarak dekat. Foto: myMetro

Anggota forensik menjalankan siasatan di tempat kejadian. Foto: Bernama

SEREMBAN - Seorang ahli perniagaan maut selepas ditembak dua lelaki di persimpangan lampu isyarat Jalan Sungai Ujong berhampiran Taman AST di sini petang tadi. 
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.50 petang itu, mangsa James John, 45, yang memandu kereta Honda Accord dan dipercayai dalam perjalanan dari Taman Permai menuju Temiang sedang berhenti di persimpangan tersebut. 
Menurut jurucakap polis, sebuah motosikal jenis Honda EX5 yang dinaiki dua lelaki turut berhenti di sebelah kenderaan mangsa. 
"Salah seorang suspek kemudiannya mengeluarkan sepucuk pistol jenis semi automatik lalu melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa dari jarak dekat sebelum melarikan diri. Mangsa yang tidak sempat menyelamatkan diri maut di tempat kejadian akibat terkena beberapa das tembakan di kepala dan badan," katanya. 
Katanya pihak polis turut menjumpai 12 kelongsong peluru jenis 9 milimeter berhampiran kenderaan mangsa. 
Jurucakap itu berkata pihak polis percaya suspek telah mengekori kereta mangsa sebelum bertindak ke atas mangsa.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar di sini untuk bedah siasat. 
Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Saiful Azly Kamaruddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu. 
"Buat masa ini kita masih menyiasat motif kejadian dan juga sedang mengenal pasti suspek yang terlibat dalam kejadian ini. 
"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya. - Bernama


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.