Sabtu, 13 April 2013

Semua Bendera Parti Kena Angkut Oleh PBT

Syabas kepada penguat kuasa yang meneruskan kerja walaupun menerima bantahan. Foto: Sinar Harian

Tidak kira bendera BN ataupun PR, semua diturunkan kerana mengganggu pandangan pengguna jalan raya. Foto: Sinar Harian

Cara pilihan raya kita masih kuno? Kita tidak akan melihat pemandangan sebegini semasa pilih raya di negara maju. Foto: Sinar Harian

KUALA SELANGOR - Tidak kira bendera Umno-Barisan Nasional (BN) mahupun Pakatan Rakyat (PR) dipacak di sepanjang jalan utama di daerah ini, semuanya diturun dan diangkut pihak berkuasa tempatan (PBT) gara-gara mengganggu pandangan pengguna jalan raya. 
Tindakan drastik penguat kuasa Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dalam Ops Pelangi itu pada awalnya mendapat bantahan sesetengah ahli parti, namun tetap diteruskan bertindak atas aduan penduduk. 
Setiausaha MDKS, Azahari Sairin berkata, banyak aduan berhubung pemasangan tiang bendera parti di laluan sempit seperti persimpangan Fasa Tiga Puncak Alam yang dikhuatiri menghempap pengguna jalan raya. 
Menurutnya, MDKS tidak memandang ringan setiap aduan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini, tambahan pula kebimbangan itu agak munasabah kerana kawasan tersebut agak lapang dan berisiko berdepan tiupan angin kuat. 
“Kita tidak mahu ada kejadian buruk menjelang pilihan raya dan semua menyalahkan PBT kerana gagal laksanakan tugas kawalan serta pemantauan di kawasan tumpuan lebih awal. 
"Begitu juga dengan kerja pemasangan bendera, iklan promosi jualan dan kain rentang komersial di kawasan jejantas yang boleh membahayakan pengguna kerana terlindung daripada pandangan orang ramai. Saya tidak mahu kes jenayah berulang gara-gara laluan itu terlindung,” katanya, semalam.
Azahari berkata, MDKS pernah mengadakan sesi taklimat membabitkan wakil kedua-dua parti untuk membincangkan isu berkaitan bersama Jabatan Kerja Raya Daerah, Telekom Malaysia Berhad dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada 2 April lalu. 
Katanya, taklimat itu turut membincangkan prosedur tertentu perlu dipatuhi wakil parti termasuk keselamatan pemasang bendera, jarak dan pemasangan yang tidak boleh menghalang pandangan orang ramai sejajar Undang-Undang Kecil Pilihan Raya MDKS 2007. 
“MDKS sudah memberi makluman awal kepada kedua-dua wakil parti, namun masih ada berdegil menyebabkan tindakan drastik terpaksa diambil seperti dilaksanakan dalam operasi kali ini,” katanya. 
Pada program itu, tiga pasukan TNB turut melaksanakan Ops Broken Windows untuk memastikan ‘street furniture’ dalam keadaan baik dan teratur. 
Sinar Harian difahamkan, usaha itu dilaksanakan seiring saranan CEO dan pengurusan tertinggi TNB untuk memastikan kemudahan TNB berada dalam keadaan selamat di lokasi terbabit dengan pemasangan bendera parti. 
Operasi itu turut menurunkan iklan haram dan promosi jualan murah ditampal pada kemudahan TNB, selain membaiki kejanggalan pada lampu jalan, pencawang, ‘feeder pillar’, ‘link box’, sesalur atas voltan rendah serta kabel. - Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.