Sabtu, 20 April 2013

Suspek Bom Marathon Boston Ditembak Mati

Imej Dzhokar A. Tsarnaev, 19, lelaki yang ditembak mati di pinggir Boston

Akaun Twitter ini dikatakan milik Dzhokar A. Tsarnaev

Dzhokar A. Tsarnaev, 19 (kanan) dan abangnya, Tamerland Tsarneav, 26 (kiri)


WATERTOWN, Massachusetts - Polis Amerika Syarikat (AS) menembak mati seorang suspek kes letupan bom Maraton Boston semalam. 
Dia ditembak dalam kejadian berbalas tembakan yang berlaku di sini yang terletak di pinggir Boston. 
Seorang pegawai agensi Keselamatan Kebangsaan memberitahu, suspek yang mati selepas ditembak itu ialah Dzhokar A. Tsarnaev yang berusia 19 tahun. 
Bagaimanapun, seorang lagi suspek yang juga abangnya, Tamerland Tsarneav, 26, berjaya melarikan diri. 
Menurut beberapa pegawai, kedua beradik itu telah tinggal di Amerika Syarikat selama beberapa tahun. 
Kedua-dua suspek itu diburu selepas mereka menembak mati seorang anggota polis Institut Teknologi Massachusetts (MIT) di Cambridge, Massachusetts menakala seorang lagi anggota polis cedera. 
Mereka kemudian melarikan diri dengan menggunakan sebuah kereta. 
Namun, beberapa buah kereta polis mengejar kenderaan kedua-dua suspek itu. 
Mereka sebelum ini diburu selepas disyaki meletakkan dua butir bom buatan sendiri semasa pertandingan Maraton Boston berlangsung di Boston pada Isnin lalu. 
Dalam kejadian itu, seramai tiga orang terbunuh dan 180 lagi mangsa cedera apabila dua butir bom itu meletup dekat garisan penamat. 
Beberapa pegawai polis berkata, dua suspek itu menyerang polis dengan bahan letupan dan senjata api sebelum Dzhokar ditembak, ditangkap dan dibawa ke hospital. 
Bagaimanapun, dia meninggal dunia selepas dimasukkan ke hospital. 
Sebelum ini, Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) menyiarkan beberapa keping gambar yang menunjukkan dua suspek tersebut bagi meminta orang ramai untuk mengenali mereka. 
Beberapa orang awam kemudian memberikan maklumat kepada FBI. 
Menurut kenyataan pejabat Peguam Daerah Middlesex, selepas lima jam FBI menyiarkan gambar itu, anggota polis tersebut mati ditembak di kampus MIT. 
Bapa saudara kedua-dua suspek itu, Ruslan Tsarni dari Kampung Montgomery, Maryland menyatakan kepada agensi berita AP, dua beradik tersebut datang dari wilayah dekat Chechnya, Rusia. 
Bapa kedua-dua suspek itu, Anzor Tsarnaev yang bercakap menerusi telefon dari bandar Makhachkala, Rusia memberitahu, Dzhokhar merupakan seorang pelajar tahun dua kursus perubatan di AS. 
Menurutnya, Dzhokhar adalah seorang pemuda yang bijak.
"Kami menjangkakan dia akan datang bercuti di sini," kata bapanya. 
Menurut White House, Presiden AS, Barack Obama diberikan taklimat tentang perkembangan itu oleh seorang pembantunya, Lisa Monaco. - Agensi / Kosmo!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.