Sabtu, 20 April 2013

Sejauh Mana Khasiat Rumpai Laut

Setakat ini tiada sebarang kajian sains menunjukkan rumpai laut mengandungi kolagen. Foto: Sinar Harian

Sebatian omega-3 menyumbang sifat antioksidan yang membantu mencegah stres oksidatif terhadap kolagen. Foto: Sinar Harian

Sebahagian iklan dan label bungkusan produk berasaskan rumpai laut Sabah tertera istilah-istilah yang menarik seperti ‘marin kolagen’, ‘ibu kolagen’ atau ‘kolagen mentah’. Adakah benar rumpai laut Sabah mengandungi kolagen? 
Jawapannya ialah rumpai laut tidak mengandungi kolagen. Setakat ini tiada sebarang kajian sains yang dilaporkan dalam jurnal-jurnal terkemuka menunjukkan rumpai laut dari mana pun asalnya yang didapati mengandungi kolagen. 
Kolagen hanya terdapat dalam tubuh haiwan iaitu meliputi semua haiwan bertulang belakang dan haiwan tidak bertulang belakang. Ia tidak wujud dalam tumbuh-tumbuhan. Kajian-kajian terhadap komposisi rumpai laut hanya menemui protein. Kolagen adalah sejenis protein. 
Hanya protein yang memiliki sifat-sifat kimia dan fizikal yang menepati sifat kolagen barulah boleh dipanggil sebagai kolagen. Jadi, menyatakan sesuatu jenis rumpai laut mengandungi kolagen semata-mata kerana terdapat protein di dalamnya adalah tindakan yang tidak bijak. 
Istilah kolagen menarik perhatian orang ramai kerana mereka mengetahui bahawa kolagen merupakan sejenis protein yang amat penting kepada tubuh. Lebih kurang tiga puluh peratus dari keseluruhan protein dalam tubuh manusia adalah terdiri dari kolagen. 
Ia merupakan protein berstruktur terdiri dari kabel-kabel terbina dari molekul yang menguatkan tendon serta lapisan-lapisan elastik yang menyokong kulit dan organ-organ dalaman. Tulang dan gigi dibina dengan menambah kristal-kristal mineral kepada kolagen. 
Jadi, secara umumnya kolagen merupakan sejenis protein yang bertanggungjawab menyumbang struktur kepada tubuh selain menjaga dan menyokong tisu-tisu lembut serta melekatkannya pada tulang. Peningkatan usia menyebabkan faktor pembinaan kolagen semakin berkurangan dari segi paras dan kualiti. 
Kadar pembinaan kolagen berkurangan pada purata 1.5 peratus setiap tahun bermula pada umur 25-30. Apabila mencapai umur 45, jumlah paras kolagen berkurangan sebanyak 30 peratus. Kekurangan berterusan ini memberi kesan kepada tisu, tulang, kesihatan kulit dan kuku. 
Kolagen dibina dari asid-asid amino. Setelah rantai kolagen dibina, ia memerlukan vitamin C untuk mengubahsuai proline kepada hydroxyproline iaitu molekul yang penting untuk kestabilan kolagen. Vitamin C diperlukan bagi membantu penambahan oksigen. 
Kekurangan vitamin C akan mengurangkan pembinaan hydroxyproline dan memberhentikan pembinaan kolagen baru. 100 gram rumpai laut iaitu bekalan sebulan yang biasa diambil oleh kaum wanita hanya mengandungi lebih kurang 35 miligram vitamin C. 
Pengambilan 1 miligram lebih vitamin C setiap hari dipercayai tidak mencukupi untuk membina hydroxproline. Kekurangan vitamin C akan menyebabkan struktur kolagen tidak kukuh dan membentuk sariawan. Menurut perspektif perubatan moden sariawan ialah sejenis penyakit dengan simptom-simptom termasuk gusi berdarah, kulit/bibir merekah (dan berdarah) serta lesu melampau. 
Doktor tidak memberitahu anda (kerana mereka tidak tahu) bahawa sariawan sebenarnya berlaku pada seluruh tubuh termasuk arteri jantung, arteri karotid dan arteri (dan arteriol) dalam otak! Ketidakkukuhan kolagen dan kerosakan sel kulit akan bermanifestasi dalam bentuk kulit berkedut. 
Sebab itulah sebahagian pengeluar produk kecantikan menggabungkan kolagen dengan vitamin C. Oleh sebab kolagen juga berfungsi sebagai gam kepada sel-sel endotelia arteri maka produk berasaskan kolagen bukan sahaja dibeli oleh kaum wanita malah oleh kaum lelaki. 
Produk-produk yang didakwa berasaskan kolagen memang benar-benar mengandungi kolagen. Yang peliknya hari ini ialah apabila sebahagian pengeluar dan pengiklan berani mendakwa rumpai laut atau produk berasaskan rumpai laut yang mereka peragakan mengandungi kolagen! 
Ramai wanita yang bersungguh-sungguh mengamalkan pengambilan gel rumpai laut semata-mata kerana percaya ia mengandungi kolagen. Pengambilan pada dos yang sesuai dan secara berterusan memang didapati menghasilkan kesan positif terutama pada kesihatan kulit. Jika tidak terdapat kolagen adakah kandungan protein dalam rumpai laut membantu mencantikkan kulit dan membantu proses awet muda? 
Jawapannya ialah paras protein yang amat rendah dalam pengambilan harian gel rumpai laut dipercayai tidak memenuhi keperluan asas tubuh untuk membina dan memulihara pelbagai jenis protein. 
Berdasarkan kandungan tertinggi protein yang terdapat dalam rumpai laut Sabah seperti yang didapati dari hasil kajian para penyelidik Universiti Putra Malaysia (Synthesis, 11 Jun 2011) iaitu 10.4 peratus (pada Caulerpa lentillifera, rumpai laut hijau) maka penulis mengandaikan hanya 11 gram terdapat dalam sediaan gel untuk dimakan selama sebulan (berdasarkan 100 gram rumpai laut kering). 
Maksudnya, hanya 0.367 gram protein yang diambil melalui gel rumpai laut setiap hari! Jumlah pengambilan harian protein yang dicadangkan oleh Jabatan Pertanian Amerika Syarikat ialah antara 0.8 - 1.1 gram (bergantung kepada umur dan keadaan) bagi setiap kilogram berat tubuh seseorang. Maksudnya, seseorang yang memiliki berat 60 kilogram maka mereka perlu mengambil antara 48 - 66 gram makanan berprotein setiap hari! 
Dalam usus kecil setiap jenis protein termasuk kolagen dan gelatin yang sebelumnya diurai kepada peptide dalam perut akan diurai kepada asid-asid amino yang ringkas. Tubuh akan menentukan jenis protein yang akan dibina menurut keperluan. Pelbagai kajian mendapati suplemen kolagen membantu membina kolagen baru. 
Melalui ekspresi gen, asid-asid amino akan digabungkan bagi membentuk jenis protein yang diperlukan contohnya antara lain untuk dijadikan enzim, protein penanda sel (terletak pada sel bagi memudahkan saintis mengenal pasti sesuatu jenis sel) pintu laluan mineral (terletak pada membran sel) dan kolagen. 
Jadi, oleh sebab paras protein dari pengambilan harian rumpai laut tidak mencukupi maka sebahagian besar protein perlu diambil dari sumber-sumber makanan lain. Proses awet muda dan mencantikkan kulit dipercayai berpunca dari kombinasi beberapa aktiviti biologi pelbagai fitokimia rumpai laut. Sifat detoksifikasi rumpai laut adalah kerana kandungan polifenol, zink dan magnesium serta beberapa jenis vitamin. 
Sebatian-sebatian polifenol, vitamin C, alfatocopherol, omega-3, pelbagai karotenoid, zink dan selenium menyumbang sifat antioksidan. Bahan-bahan antioksidan membantu mencegah berlakunya stres oksidatif (berpunca dari serangan radikal bebas) terhadap kolagen, pelbagai jenis enzim dan komponen sel. 
Magnesium membantu mengawal hormon termasuk keseimbangan estrogen-progesterone. Zink dan magnesium yang dibantu oleh folat serta fitokimiafitokimia antisoksidan membantu ekspresi gen. 
Selenium dan iodin bertanggungjawab membina hormon tiroksin yang berfungsi mengawal metabolisme. Fiber pula membantu proses pencernaan berjalan dengan lancar. Pengambilan suplemen vitamin C dos tinggi antara 2,000-3,000 gram sehari bersama jus buah-buahan kaya bioflavonoids dipercayai membantu aktiviti-aktiviti biologi rumpai laut secara lebih sempurna. - Sinar Harian

2 ulasan:

  1. Salam dan selamat sejahtera
    Kepada yang berminat untuk membeli rumpai laut asli sabah gred AAA
    Kaler ungu sila sms/call/whatsapp saya ditalian 011 - 26284226 harga untuk 100 gram adalah 10 ringgit
    Harga tidak termasuk caj penghantaran dijamin termurah dipasaran dapatkan segera
    Terima kasih admin

    BalasPadam
  2. Salam dan selamat sejahtera
    Kepada yang berminat untuk membeli rumpai laut asli sabah gred AAA
    Kaler ungu sila sms/call/whatsapp saya ditalian 011 - 26284226 harga untuk 100 gram adalah 10 ringgit
    Harga tidak termasuk caj penghantaran dijamin termurah dipasaran dapatkan segera
    Terima kasih admin

    BalasPadam

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.