Sabtu, 18 Mei 2013

Ah Long KL Aniaya Warga Emas

Foto
Saharudin menunjukkan kesan lebam di pinggang Adnan. Foto: myMetro

KUALA LUMPUR - “Ini azab paling besar dalam hidup saya. Tak berniat untuk meminjam RM2,000 daripada seorang rakan menyebabkan saya menanggung hutang lebih RM60,000. 
“Dulu, saya selalu baca kisah mangsa diperlakukan dengan kejam oleh along, sekarang saya merasai betapa sukarnya hidup selepas dibelenggu hutang yang entah dari mana,” kata warga emas, Adnan Ahmad, 67, yang dipukul sekumpulan lelaki dipercayai ceti haram, minggu lalu. 
Hanya menyatakan perlu meminjam wang berkenaan untuk membayar hutang daripada seorang lelaki yang baru dikenalinya tiga minggu lalu, dia tidak tahu rangkaian along memasang ‘jerat’ untuk mengaut wangnya dengan kadar faedah tidak masuk akal. 
Katanya, segalanya bermula Mac lalu apabila perniagaan yang diusahakan menghadapi masalah dan perlu membayar ganti rugi kepada pelanggan menyebabkan dia memerlukan wang segera. 
“Saya kenal lelaki itu ketika dia datang makan di kedai saya. Menyedari saya menghadapi masalah, dia menawarkan diri untuk membantu dan meminta nombor akaun saya. Tidak lama kemudian, saya terima RM2,000 dengan janji untuk membayar balik pada kadar lebih tinggi. 
“Selang dua hari, saya terima panggilan mengatakan RM1,400 dimasukkan dalam akaun saya. Saya menafikan yang saya membuat pinjaman itu namun tidak diendahkan pemanggil sebaliknya menyatakan saya perlu membayar RM2,000,” katanya ketika membuat aduan kepada Ketua Unit Tindakan Khas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Saharudin Bakar, semalam. 
Katanya, selepas itu dia menerima panggilan daripada lelaki tidak dikenali yang memaklumkan sejumlah wang dimasukkan menyebabkannya terpaksa menutup akaun bank bagi mengelakkan ia bertambah daripada semasa ke semasa dengan jumlah terakhir yang perlu dilunaskan melebihi RM60,000. 
Derita pesara tentera itu tidak terhenti di situ apabila dia terpaksa menggadai tanah warisan keluarganya di Rembau selain sebuah rumah di Kuala Lumpur bagi menjelaskan hutang berkenaan. 
“Keadaan itu menyebabkan saya tertekan. Mereka datang ke kedai dan bawa saya ke satu kawasan di Bukit Permai, Ampang sebelum mengugut serta memukul saya menggunakan kayu menyebabkan cedera di rusuk kanan. 
“Bukan itu saja, rumah juga dibaling cat, malah saya yang buntu terpaksa menggadaikan barang kemas milik isteri kerana mereka sering mengugut untuk mengapa-apakan saya,” katanya yang turut membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, semalam. 
Sementara itu, Ketua Jabatan siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur Asisten Komisioner Izany Abdul Ghani mengesahkan menerima laporan itu dan siasatan lanjut dijalankan. - myMetro


Ah Long Ancam Rogol Anak Peminjam 

Ibu pinjam ah long, anak akan dirogol
Ming Ming (kiri) mendakwa gelisah apabila geng ah long ugut akan menghantar lelaki warga asing untuk merogolnya. Foto: Sinar Harian

PUCHONG - Seorang remaja perempuan mendakwa hidupnya tidak tenteram berikutan satu sindiket pinjaman wang tidak berlesen mengugut akan menghantar lelaki warga asing untuk merogolnya. 
Difahamkan, ia gara-gara sikap ibunya yang dikatakan suka membuat pinjaman wang daripada ceti haram sebelum menghilangkan diri. 
Gadis berusia 19 tahun yang bekerja sebagai guru taska itu memaklumkan, Selasa lalu ketika sedang bekerja, dia menerima panggilan daripada seorang lelaki tidak dikenali. 
Katanya, lelaki disyaki geng ah long itu memberitahu ibunya, Chong Seu Fonn, 43, ada membuat pinjaman namun gagal membuat pembayaran semula seperti sepatutnya. 
Mangsa, Yip Ming Ming berkata, lelaki itu mendesak dia menjelaskan semua hutang ibunya, sekiranya tidak akan menghantar seorang lelaki Bangladesh untuk mencari dan merogolnya. 
Selain itu katanya, lelaki terbabit juga mengugut akan menyimbah cat berwarna merah dan mengunci pintu rumahnya. 
Akibat takut dengan ugutan itu, Ming Ming berkata, dia kemudian membuat laporan di Balai Polis Putra Perdana, petang Selasa lalu. 
“Saya mendapat tahu ibu yang memang tidak tinggal bersama ayah dan adik beradik saya yang lain sejak dua tahun lalu ada membuat tiga kali pinjaman. Bagaimanapun saya tidak tahu berapa jumlah keseluruhan wang dipinjam daripada ceti haram itu. 
“Lebih menghairankan, bagaimana ah long itu mengetahui nombor telefon dan membuat pelbagai ugutan kepada saya,” katanya. 
Menurutnya, selain dirinya, jiran wanita yang menyewa di rumah bersebelahan turut diugut geng ah long terbabit. 
Katanya, ibunya menyewa bilik di rumah jiran itu selepas berpisah dengan bapanya sejak dua tahun lalu. 
Jelasnya lagi, ibunya menghilangkan diri sejak April dan tidak dapat dikesan sehingga kini. 
“Ibu saya dipercayai menggunakan alamat rumah jiran ketika membuat pinjaman, disebabkan itu jiran wanita berkenaan turut menjadi mangsa ugutan mereka,” katanya. 
Sementara itu Pengerusi Persatuan Kepolisan Masyarakat (CP) Selangor, Kuan Chee Heng yang menerima aduan mangsa menggesa geng ah long terbabit tidak mengganggu kedua-dua mangsa. 
Menurutnya, keluarga mangsa sudah memutuskan hubungan dengan wanita yang meminjam wang itu. 
Malah katanya, mangsa tidak sepatutnya diganggu kerana bukan dia yang meminjam wang. 
Beliau berkata, sejak ketiadaan undang-undang pencegahan, sindiket ceti haram dilihat berleluasa dan berani mengugut mangsa secara bertalu-talu sehingga mendatangkan kerunsingan teruk. 
“Saya akan bekerjasama dengan mangsa dan polis untuk menangani segala ugutan yang dilakukan geng ah long terbabit,” katanya. - Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.