Sabtu, 18 Mei 2013

Padah Berkunjung Ke Pusat Karaoke

Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Senawang. Gambar kecil: Mohd Hairulnizam. Foto: Sinar Harian


SEREMBAN - Hanya kerana terlanggar bahu pengunjung di sebuah pusat karaoke di kawasan perniagaan Terminal 2 di sini, seorang lelaki dipercayai dikelar lehernya hingga mati, awal pagi semalam. 
Mohd Hairulnizam Hanafiah, 23, meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) ketika mendapatkan rawatan. 
Terdahulu, Mohd Hairulnizam yang mengunjungi pusat karaoke itu bersama lapan rakannya pada jam 2 pagi, dikatakan dimarahi selepas terlanggar bahu seorang lelaki yang baru keluar dari sebuah bilik pusat karaoke berkenaan. 
Tidak lama kemudian, sekumpulan lelaki masuk ke bilik mangsa dan rakannya berkaraoke lalu meminta maaf kerana kejadian itu, tetapi sebaik mereka keluar, mangsa didapati tidak berada dalam bilik itu. 
Rakan mangsa bergegas mencarinya, tetapi terkejut menemui Hairulnizam duduk bersandar pada dinding dekat pintu keluar pusat karaoke itu, dalam keadaan parah akibat lehernya dikelar benda tajam. 
Sebaik mencari kumpulan lelaki terbabit, rakan mangsa mendapati mereka bertempiaran lari mendapatkan kereta dan memecut kenderaan masing-masing. 
Sementara itu abang mangsa, Mohd Ridiman, 35, berkata dia menerima panggilan pada jam 2.30 pagi daripada seorang rakan memberitahu adik bongsunya berada di HTJS. 
Katanya, adiknya yang tinggal bersamanya di Taman Seri Pagi, Senawang, dekat sini, nazak setiba di HTJS. 
Beberapa hari lalu, saya lihat dia amat rapat dengan dua anak saya. Mungkin itu tanda dia akan meninggalkan kami sekeluarga, katanya ketika ditemui di HTJS. 
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan polis sedang menjalankan siasatan lanjut. - Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.