Khamis, 30 Mei 2013

Bangkai Gajah Purba Masih Berdarah

Gambaran artis tentang gajah mammoth, haiwan prasejarah yang hidup di Pulau Wrangel, Lautan Artik sehingga 4,000 tahun lalu

Kepupusan gajah mammoth dikaitkan dengan meteor yang menimpa bumi yang menyebabkan berlaku perubahan pada iklim bumi

Saintis Rusia mendapati sampel darah terpelihara dalam tisu otot kerana bangkai gajah mammoth tertanam dalam ais lebih 10,000 tahun

Seorang penyelidik menunjukkan sampel darah gajah mammoth dalam tabung uji

Seorang penyelidik sedang bekerja berhampiran bangkai gajah mammoth


MOSCOW - Sekumpulan saintis Rusia semalam mendakwa menemui darah dalam bangkai seekor gajah mammoth sekali gus meningkatkan peluang untuk mereka mengklon haiwan prasejarah tersebut. 
Satu ekspedisi yang diketuai beberapa saintis Rusia menemui bangkai gajah mammoth betina dalam keadaan terpelihara di sebuah pulau terpencil di Lautan Artik pada awal bulan ini. 
Ketua ekspedisi tersebut, Semyon Grigoryev berkata, haiwan itu mati sekitar usia 60 tahun kira-kira 10,000 hingga 15,000 tahun dahulu. 
Menurutnya, ia merupakan kali pertama bangkai gajah betina tua ditemui. 
Namun, apa yang lebih mengejutkan adalah bangkai tersebut masih terpelihara dan mempunyai darah serta tisu otot. 
"Apabila kami memecahkan ais di bawah perutnya darah mengalir keluar dari organ tersebut. Darah itu berwarna gelap," kata Grigoryev yang merupakan saintis di Universiti Persekutuan Timur Laut di Yakutsk. 
"Ia merupakan penemuan paling luar biasa dalam sepanjang hidup saya. Bagaimana darah itu boleh kekal dalam bentuk cecair, tisu tersebut juga merah seperti daging segar," tambahnya. 
Penemuan tersebut, kata Grigoryev, memberikan harapan baharu kepada para penyelidik dalam usaha mereka menghidupkan semula haiwan berbulu itu. 
"Penemuan itu memberikan peluang yang amat baik untuk menemui sel hidup yang boleh digunakan untuk mengklon gajah mammoth," katanya. - AFP/Kosmo! Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.