Isnin, 13 Mei 2013

PRU Pakistan: Nawaz Sharif Menang

Parti Liga Muslim-N pimpinan bekas Perdana Menteri Pakistan, Nawaz Sharif memenangi pilihan raya

Para penyokong Parti Liga Muslim bersorak sebaik mengetahui keputusan tidak rasmi pengundian pada hari Sabtu

Nawaz Sharif menyampaikan ucapan kemenangan selepas pilihan raya yang dicemari pertumpahan darah

Para pengundi beratur panjang untuk membuang undi di tengah-tengah kawalan keselamatan yang ketat

Seorang petugas pilihan raya menunjukkan kertas undi di stesen pembuangan undi Peshawar

Bekas pemain kriket Imran Khan, kini pemimpin Parti Tehreek-e-Insaf, turut menyertai pilihan raya kali ini


LAHORE - Parti Liga Muslim-N pimpinan bekas Perdana Menteri Pakistan, Nawaz Sharif memenangi pilihan raya umum negara ini. 
Ekoran kemenangan itu, Sharif semalam mengadakan beberapa rundingan bagi membentuk pemerintahan baharu. 
Sharif sebelum ini pernah digulingkan dalam rampasan kuasa semasa beliau menjadi Perdana Menteri pada tahun 1999. 
Beliau juga pernah dipenjarakan dan hidup dalam buangan sebelum bertanding pada pilihan raya tersebut. 
Bagaimanapun, sebelum pilihan raya itu diadakan kelmarin, beberapa anggota kumpulan Taliban melancarkan satu siri serangan yang menyebabkan lebih 150 orang mati termasuk 24 penduduk pada hari pengundian. 
Para penyokong Sharif menari di sekitar jalan-jalan di Lahore, bandar kedua terbesar Pakistan dan ibu kota wilayah wilayah Punjab ekoran kemenangannya. 
Pengiraan awal menunjukkan parti Sharif itu memenangi 126 daripada 268 kerusi parlimen. 
Seorang ahli politik Pakistan yang juga bekas pemain kriket terkenal negara ini, Imran Khan turut menyambut baik keputusan tersebut. 
Bagaimanapun, menurutnya, partinya, Tehreek-e-Insaf akan membuat aduan tentang dakwaan berlakunya penipuan dalam pilihan raya tersebut. 
Parti Khan dijangka memenangi lebih 30 kerusi dan bakal menjadi parti kedua terbesar dalam parlimen. 
Perdana Menteri India, Manmohan Singh turut mengucapkan tahniah kepada Sharif ekoran kemenangannya itu. 
Manmohan memberikan ucapan tahniah itu menerusi laman Twitter. - Agensi / Kosmo!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.