Jumaat, 3 Mei 2013

Suri Rumah Nyaris Maut Kena Peluru Sesat

Harliah cedera di belakang badan akibat terkena peluru penabur yang dilepaskan pemburu. Foto: Sinar Harian

Polis menemui kesan empat lubang menembusi cermin tingkap dan lima kesan peluru pada dinding rumah. Foto: Sinar Harian


ALOR GAJAH - Seorang suri rumah nyaris maut selepas terkena peluru penabur yang dilepaskan sekumpulan pemburu di jalan Bukit Tinggi, Tanjung Bidara, di sini petang kelmarin. 
Dalam kejadian kira-kira jam 5.15 petang itu, mangsa, Harliah Bakar, 43, sedang leka menjahit dalam bilik bahagian tepi rumah sebelum tersentak sebaik terasa ada objek tertusuk di bahagian belakang bahu sebelah kiri badannya. 
Difahamkan, peluru penabur berkenaan terkena pada badan mangsa selepas tiga lelaki yang sedang memburu babi hutan melepaskan tembakan dan terkena pada cermin dan dinding bilik tempat mangsa sedang menjahit pakaian. 
Suami mangsa, Helmi Manaf, 41, berkata, dia yang berada di luar rumah menyedari kehadiran tiga lelaki berusia antara 40-an dan 50-an yang mana dua daripada mereka memegang senapang dalam kedudukan yang berbeza. 
“Saya berada di luar rumah terkejut bila dengar bunyi tembakan dan mendapati seorang lelaki berdiri berdekatan pagar rumah saya, seorang lagi berdiri pada jarak 25 meter menghadap rumah saya dan seorang lagi berkedudukan jauh. 
“Ketika itu juga, seekor babi hutan keluar dari belukar menuju ke semak berdekatan rumah saya dan saya lihat lelaki yang menghadap rumah saya sedang leka menghala senapang ke mengekori pergerakan haiwan itu. 
“Sebaik sahaja tembakan dilepaskan, saya dengar isteri menjerit dan saya terus berlari masuk mendapatkan isteri dan mendapati belakang bajunya sudah terkoyak serta dipenuhi darah,” katanya. 
Helmi berkata, dalam keadaan panik dia segera menjerit meminta pertolongan ke arah tiga lelaki berkenaan namun seorang daripada mereka seolah menafikan kegiatan dilakukan mereka dan memecut kereta melarikan diri. 
“Isteri mengadu berasa panas dan terlalu sakit sebelum mendakwa mula terasa pedih dan bisa sebelum muncul dua lelaki tadi cuba menenangkan saya dan isteri dengan mendakwa isteri hanya terkena serpihan kaca sahaja. 
“Saya gesa dua lelaki tadi bantu saya bawa isteri ke Hospital Kem Terendak. Isteri menjalani dua kali X-ray dan mendapati ada objek terbenam pada belakang sebelah kiri bahu,” katanya. 
Menurutnya, berikutan kecederaan parah yang dialami, isterinya kemudian dirujuk ke Hospital Melaka untuk menjalani pembedahan mengeluarkan butir peluru berkenaan dan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil. 
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian dan berkata, tiga lelaki berumur 40 dan 50-an ditahan untuk membantu siasatan. 
“Siasatan awal pihak polis mendapati senapang patah yang digunakan oleh salah seorang lelaki terbabit dipercayai didaftarkan atas nama Relawan Ikatan Rakyat (Rela). 
“Tiga lelaki terbabit ditahan dan direman selama lima hari bermula hari ini (semalam) untuk membantu siasatan dibawah Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960,” katanya. - Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.