Sabtu, 1 Jun 2013

Jenayah Di Sana Sini

Perompak Guna Kain Rentang Rompak Wang Mesin ATM

Wang RM217,950 dalam mesin ATM berjaya dilarikan perompak manakala mesin deposit tunai tidak dipecahkan. Foto: Sinar Harian

Polis memeriksa kesan cap jari di kain rentang yang digunakan menutup cermin bangunan semasa rompakan. Foto: Sinar Harian
PASIR MAS – Penjenayah menggunakan taktik melekatkan kain rentang untuk menutup cermin Bangunan Tabung Haji ketika merompak mesin pengeluaran wang automatik (ATM) Bank Islam, hari ini. 
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, penjenayah menggunakan taktik itu bagi mengelak daripada disedari oleh orang awam. 
Menurutnya, wang berjumlah RM217,950 berjaya dilarikan oleh penjenayah menerusi satu mesin ATM manakala mesin deposit tunai tidak dipecahkan. 
“Kita percaya ia dilakukan di awal pagi namun disedari oleh orang awam yang mahu menggunakan ATM pada jam 8.30 pagi. 
“Berdasarkan kesan pada mesin, penjenayah menggunakan api gas oxy (Oxy-Acetylene) untuk memecahkan mesin,” katanya. 
Mazlan berkata, siasatan diteruskan dengan bantuan kamera litar tertutup (CCTV) dan cap jari. 
Ujarnya, pihaknya memohon kerjasama orang ramai dan saksi yang melihat kejadian ini diminta tampil untuk membantu siasatan. 
Ini adalah kejadian kedua membabitkan rompakan bank di Pasir Mas. 
Sebelum ini, penjenayah berputih mata apabila gagal melarikan wang dari ATM di Agro Bank Pengkalan Pasir, jam 5.30 pagi, 1 Disember 2012 lalu. 
Dalam pada itu, seorang peniaga dekat bangunan Tabung Haji Pasir Mas, terkejut apabila pihak polis menyita sekitar premis perniagaan jam 9 pagi tadi. 
Pemilik kedai, Lim Chung Yau, 53, berkata, dia hanya mengetahui ATM Bank Islam yang terletak di dalam bangunan Tabung Haji, bersebelahan kedainya dirompak setibanya di kedai pagi itu. 
Menurutnya, dia mendapati terdapat kain rentang (banner) ditampal di depan cermin bangunan tersebut. 
Katanya, dia mengesyaki penjenayah menggunakan taktik itu bagi mengelak daripada dilihat orang awam mahupun pihak polis. 
“Saya percaya orang yang merompak ini, bukan calang-calang orang kerana menggunakan alat berteknologi tinggi malah saya tidak mendengar sebarang bunyi penggera keselamatan. 
“Khamis lalu, saya tutup kedai jam 6 petang, manakala semalam hari Jumaat semua kedai ditutup. Masa itu, saya tidak nampak kelibat orang mencurigakan atau kejadian pelik,” katanya. 
Menurutnya, ini adalah kejadian pertama berlaku di kawasan ini sejak dia memulakan perniagaan 12 tahun lalu. - Sinar Harian

Penjenayah Semakin Berani
Penjenayah dipercayai masuk melalui bumbung berdasarkan siling yang berlubang. Foto: Sinar Harian

Ahmad Sukri menunjukkan pintu yang dipecahkan penjenayah di di kawasan perumahan Tok Sira. Foto: Sinar Harian

KUANTAN – Walaupun kawasan perumahan Tok Sira, di sini ada menyediakan kemudahan rondaan pada waktu malam ia tidak memberi sebarang kesan kepada penjenayah kerana terdapat rumah di situ yang dicerobohi. 
Seorang pengawal keselamatan, Ahmad Sukri Sugumaran Abdullah, 63 berkata, dia ditugaskan untuk menjaga beberapa buah rumah di kawasan itu tetapi penjenayah cukup licik menjalankan kegiatan dan menceroboh salah sebuah rumah. 
Menurutnya, kejadian itu bukan kali pertama kerana sebelum ini ia pernah menjadi sasaran perompak. 
“Semalam saya datang kira-kira jam 6.30 petang untuk menjalankan tugas tetapi terkejut kerana didapati pintu rumah tidak berkunci. 
“Apabila masuk didapati rumah berselerak dan setelah diperiksa terdapat beberapa barang berharga seperti telefon bimbit milik tuan rumah sudah hilang," katanya. 
Katanya, dia diamanahkan untuk menjaga rumah tersebut kerana pemiliknya bekerja di tempat lain. 
“Ini bukan kali pertama sebelum ini rumah sama pernah dicerobohi dan dipercayai perompak masuk melalui bumbung. 
“Penjenayah masuk melalui bumbung menyebabkan bumbung rumah berlubang dan mereka seolah-olah tidak takut dengan pihak berkuasa," katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam. 
Kata Ahmad Sukri Sugumaran, anggota Kawasan Rukun Tetangga (KRT) ada menjalankan rondaan tetapi seolah-olah tidak berkesan. 
Dia bimbang dengan keadaan itu dan khuatir penjenayah akan bertindak lebih bertindak agresif. 
“Saya juga berharap pihak berkuasa mengambil tindakan lebih drastik supaya kejadian sama tidak berulang. 
“Saya sudah buat laporan polis dengan harap kawasan ini lebih selamat dan penjenayah berjaya ditangkap,” katanya. - Sinar Harian

Warga Emas Jadi Mangsa Penyamun Di Rumahnya

Cheah menunjukkan laluan masuk penyamun ke dalam rumahnya di Kampung Baru Ulu Yoh. Foto: Sinar Harian

Cheah menunjukkan tempat penyamun berdiri dan mencekiknya pada awal pagi semalam. Foto: Sinar Harian
TAMPIN – "Mak cik hanya fikir mati sahaja setelah dicekik dan dilempar ke bawah katil oleh penyamun," luah warga emas yang menjadi mangsa penyamun di rumahnya di Kampung Ulu Yoh, dekat sini, awal pagi semalam. 
Dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, mangsa, Cheah Baba, 70, yang tinggal berseorangan tidak sempat mempertahankan diri akibat mulutnya dilekatkan dengan pita pelekat berwarna hitam. 
Menurutnya, pada malam kejadian dia terdengar bunyi bising di belakang dapur, namun tidak berdaya meninjau berikutan dia baru sahaja menjalani pembedahan membuang tulang punggung sebulan lalu. 
"Tetapi apabila bunyi bunyi itu berlarutan, mak cik mula membuka mata dan belum sempat bangun, seorang penyamun tidak memakai topeng terus mencekik leher selain meminta mak cik menyerahkan duit. 
"Disebabkan tidak berpuas hati dengan reaksi mak cik yang hanya mendiamkan diri, penyamun berkenaan yang turut memiliki parang terus melemparkan mak cik ke bawah katil," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya, dekat sini, semalam. 
Cheah berkata, hanya seorang penyamun sahaja yang bertindak kasar kepadanya, sementara seorang lagi menggeledah salah sebuah bilik manakala dua lagi berada di dapur. 
"Namun mak cik lega apabila kira-kira sejam kemudian penyamun berkenaan beredar sebelum salah seorang anak mak cik yang tinggal berdekatan menghubungi adik beradik lain untuk memaklumkan kejadian kepada pihak polis. 
"Mak cik hairan apa yang dicari penyamun kerana tiada apa di dalam rumah ini memandangkan mak cik tidak bekerja dan tidak memiliki barangan berharga," katanya. 
Menurutnya, susulan kejadian itu, dia kini trauma dan takut untuk tidur di rumahnya pada sebelah malam. 
"Mak cik akan tidur di rumah anak yang tinggal berdekatan. 
"Penyamun berkenaan menemui wang tunai RM250 di katil mak cik yang berada di ruang tamu selain turut melarikan sebentuk cincin emas bernilai RM400," katanya. 
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Tampin, Deputi Superintendan Mohd Isa Ujang ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung insiden berkenaan dan kes sedang disiasat. - Sinar Harian

Penduduk Resah Hadapi Jenayah Setiap Hari

Seorang penduduk warga emas meluahkan keluhannya kepada Dr Azman. Foto: Sinar Harian
JABI - Polis diminta menangani masalah kecurian dan penagihan dadah secara serius kerana masalah seumpama itu menimbulkan beban besar kepada masyarakat. 

Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) Pas Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, masalah kecurian getah sekerap, buah kelapa sawit, pisang dan tembikai di ladang, pecah rumah dan curi kenderaan menjadi trauma bagi penduduk kampung. 

Menurutnya, statistik dikeluarkan pihak polis adalah kes jenayah turun tidak selari dengan masalah membelenggu penduduk kampung yang berlaku setiap hari. 

“Walaupun kedengaran kes seperti kecurian getah sekerap atau pisang hanyalah kes kecil tetapi ia amat memberi kesan mendalam kepada penduduk kampung yang bergantung hidup kepada mata pencarian itu,” katanya yang juga calon Adun Jabi pada PRU13 lalu. 

Azman berkata, masalah penagihan dadah secara terbuka semakin menjadi-jadi dan tidak ada tanda semakin reda. 

Menurutnya, peningkatan kadar jenayah di bumi Ulul Albab ini menjadi buah mulut masyarakat yang perlu ditangani sebelum menjadi parah. - Sinar Harian

Empat Sekeluarga Kena Samun
SEGAMAT - Empat sekeluarga menempuh saat getir ketika disamun sekumpulan lelaki bersenjatakan parang di Kampung Kubu Dedap Jementah, semalam. 
Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, pekerja kedai runcit, Misran Tukiman, 58, dan isteri yang berusia 46 tahun serta anak perempuannya berusia 18 tahun dan seorang cucu berumur lapan tahun, turut diikat tangan masing-masing. 
Lelaki dipercayai warga asing yang menutup muka dengan kain, melarikan barang kemas bernilai RM15,000 termasuk RM3,000 wang tunai. 
Anak mangsa Sahirah Misaran, 18, berkata dia sempat menelefon saudara terdekat untuk memaklumkan kejadian terbabit ketika lelaki itu menggeledah rumahnya. 
Seorang penyamun mengugut akan mencederakan anak saudara saya jika enggan menyerahkan barangan berharga, katanya ketika ditemui di Hospital Segamat di sini, semalam. 
Menteri Kesihatan Datuk Seri S Subramaniam turut meluangkan masa melawat mangsa. 
Sementara itu, anak saudara Misran, Saridon Saron, 34, yang cuba membantu cedera di kepala akibat ditetak oleh seorang penyamun. 
Selepas dimaklumkan kejadian itu, saya mencapai batang cangkul untuk dijadikan senjata bagi mempertahankan diri dan dalam keadaan samar bertembung dengan seorang daripada penyamun dan berlaku pergelutan. 
Tiga saudara lain datang membantu menyebabkan semua penyamun melarikan diri ke sungai berdekatan dan ketika itu baru saya perasan kepala berdarah, katanya. 
Timbalan Ketua Polis Daerah Segamat, Deputi Superintendan M Anuar Ismail, mengesahkan menerima laporan. 
Polis sedang menyiasat kes ini termasuk mengarahkan Unit Anjing Pengesan (K9) bagi menjejaki suspek, katanya. - Berita Harian

Penjual Sayur Myanmar Maut Ditetak
Foto
Penjual sayur asal Myanmar dibunuh di pekarangan Pasar Borong Selayang. Foto: myMetro


KUALA LUMPUR - Seorang peniaga sayur warga Myanmar maut selepas diserang sekumpulan lelaki menggunakan parang ketika sedang menaiki motosikal bersama seorang rakannya dalam kejadian di pekarangan tempat letak kereta Pasar Borong Selayang Baru, di sini, kelmarin. 
Dalam kejadian kira-kira jam 11.15 malam itu, mangsa dikenali sebagai Nasir, 40-an, mati di tempat kejadian selepas cedera parah akibat ditetak di beberapa bahagian badan manakala rakannya mengalami cedera ringan. 
Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Othman Abu Bakar ketika dihubungi berkata, ketika kejadian, mangsa sedang menaiki motosikal bersama rakannya dan dalam perjalanan untuk ke tempat kerjanya di pasar berkenaan apabila tiba-tiba diserang sekumpulan lelaki. 
“Hasil pemeriksaan awal polis, terdapat enam kesan tetakan di seluruh badan mangsa termasuk di tangan kanannya yang hampir putus. 
“Dipercayai ketika kejadian ramai orang awam berada di kawasan parkir itu, namun sebaik saja melihat kejadian, mereka terus lari menyelamatkan diri,” katanya. 
Menurutnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat manakala rakan mangsa turut dihantar di hospital sama untuk rawatan. 
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh. Beliau turut meminta saksi kejadian agar tampil menyalurkan maklumat. - myMetro


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.