Sabtu, 1 Jun 2013

Kubur Mangsa Penubuhan Negara Israel Ditemui

Rangka manusia dapat dilihat dengan jelas dalam kubur besar yang terdapat di tanah perkuburan di daerah Jaffa, Tel Aviv, Israel

Kubur yang mengerikan ini ditemui secara tidak sengaja pada hari Rabu semasa kerja-kerja pengubahsuaian

Pemimpin Pergerakan Islam di Jaffa, Sheikh Mohammed Najem (kanan) melihat lubang di atas kubur besar

Dianggarkan enam kubur besar boleh menampung mayat kira-kira 600 orang

Rangka mayat dianggap sebagai rakyat Palestin yang terbunuh semasa perang Israel-Arab tahun 1948

Tanah perkuburan di daerah Jaffa, Tel Aviv ini mengandungi enam kubur besar


Enam kubur besar yang berisi rangka mayat penduduk Palestin yang terkorban semasa perang Israel-Arab pada tahun 1948, apabila negara Yahudi itu ditubuhkan telah ditemui di daerah Jaffa di Tel Aviv. 
Seorang pegawai di tanah perkuburan Islam di tempat itu memberitahu AFP, kubur mengerikan itu ditemui pada hari Rabu semasa kerja-kerja pengubahsuaian. 
Pada tahun 1948 Jaffa adalah sebuah bandar Palestin, tetapi berlaku penghijrahan ramai penduduk Arab apabila ia jatuh ke tangan tentera Israel yang baru ditubuhkan dan militia Yahudi sayap kanan. 
Penyelidik dan ahli sejarah Mahmoud Obeid, seorang penduduk Jaffa, memberitahu akhbar As-Safri, "Kami menemui enam kubur besar dan dua daripadanya kami gali. Kami menganggarkan ia mengandungi kira-kira 200 jasad, dengan bilangan jasad dikubur-kubur lain belum diketahui. 
"Rangka-rangka mayat itu terdiri daripada pelbagai umur yang berbeza, termasuk wanita, kanak-kanak dan warga tua dan ada yang menunjukkan tanda-tanda keganasan."
Seorang nelayan tempatan Atar Zeinab, 80, berkata, sebagai seorang anak muda semasa bulan-bulan terakhir pertempuran pada tahun 1948, beliau turut membantu mengumpul mayat penduduk Arab yang mati terbunuh di kawasan selatan Jaffa. 
Mayat mereka kemudian dibawa untuk dikebumikan dengan segera di tanah perkuburan utama di kawasan ini. 
"Saya membawa 60 mayat ke tanah perkuburan dalam tempoh tiga atau empat bulan," katanya kepada AFP. "Kami ditugaskan mencari mayat-mayat di jalanan dan selalunya kami tidak mengenali siapa mereka." 
Beliau berkata, bimbang bahaya terkena peluru sesat atau serpihan bom tangan, mayat-mayat dicampak tindih-menindih dalam satu lubang di tanah perkuburan yang bertentangan dengan adat Islam. 
"Kami bawa mayat-mayat pada waktu awal pagi atau pada waktu malam. Kami letakkan mayat wanita, kanak-kanak dan lelaki di tempat yang sama ... tiada siapa yang berdoa untuk orang-orang berkenaan." 
Pada tahun 1950 Jaffa telah dimasukkan ke dalam kawasan Tel Aviv, dan dinamakan semula Tel Aviv-Jaffa. Kini ia didiami penduduk campuran Arab dan Yahudi. 
Sekitar 760,000 orang Palestin melarikan diri atau diusir dari rumah mereka semasa perang Israel-Arab tahun 1948. - MailOnline

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.