Jumaat, 12 Julai 2013

Ramadan: Perbelanjaan Kurang Atau Bertambah?

Keadaan di Bazar Ramadhan Setiawangsa. Foto: Sinar Harian

Aneka lauk-pauk yang dijual di Bazar Ramadan Pasir Mas, Kelantan. Foto: Sinar Harian

Gerai ikan bakar di Bazar Ramadan Jerantut. Foto: Sinar Harian


Mengeluh kerana terlebih berbelanja pada bulan Ramadan! 
Mungkin ramai yang berada dalam situasi ini meskipun sepatutnya perkara itu tidak wajar berlaku. 
Namun, inilah realiti saban tahun bagi mereka yang gagal mengawal nafsu terutama apabila berkunjung ke bazar Ramadan dan pusat beli-belah. 
BUFET RAMADAN 
Keadaan di dewan Buffet di sebuah hotel di ibu negara. Foto: mamaeesya

Aneka makanan lazat menanti untuk dimakan semasa berbuka puasa. Foto: mamaeesya
Kebanyakan kita sejak kecil diajar bahawa Ramadan adalah bulan untuk membanyakkan amal ibadat, bukan melayan nafsu. Namun, setiap kali tiba Ramadan, apa berlaku sebaliknya. 
Promosi bufet Ramadan umpamanya boleh menyebabkan seseorang itu makan lebih daripada sepatutnya apabila berdepan dengan ratusan jenis makanan. 
Premis hotel sejak kebelakangan ini menjadi tumpuan bagi mereka yang ingin berbuka puasa di luar rumah. 
Promosi Bufet Ramadan kelihatan seawal Jun lagi meskipun mengikut takwim Islam, 1 Ramadan jatuh pada 10 Julai. 
Sebuah hotel di Ampang misalnya mempamerkan kain rentang mempromosi Bufet Ramadan pada harga sekitar RM60 untuk orang dewasa. 
Promosi bufet Ramadan melalui akhbar juga tidak kurang hebatnya dalam hari-hari terakhir sebelum 1 Ramadan. 
Sebuah iklan yang menarik perhatian penulis menawarkan menu berbuka puasa dengan lebih 150 jenis masakan Melayu asli dan antarabangsa. 
BAZAR RAMADAN 
Mak oi, banyaknya nasi beriyani! Boleh habis jual ke tu? Gerai Nasi Beriyani Gam Johor. Foto: Mstar

Bulan Ramadan telah bertukar menjadi pesta makanan. Foto: Demotix
Umat Islam di negara ini bukan saja berdepan godaan bufet Ramadan tetapi bazar Ramadan yang sinonim dengan kedatangan bulan puasa ini turut menjadi medan berbelanja sakan. 
Bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan, bazar Ramadan muncul di sana-sini dengan menawarkan pelbagai juadah yang mungkin sukar ditemui di bulan lain. 
Cumanya, banyak mana yang dimakan, mana pula yang disimpan di dalam peti sejuk dan mana pula yang dibakulsampahkan? 
Penulis teringat laporan akhbar tidak lama dulu bahawa rakyat Malaysia membuang 15,000 tan makanan sehari! 
Di Kuala Lumpur, kira-kira 3,000 tan sisa makanan dibuang sehari sementara di Pulau Pinang sahaja, sekitar 355 tan. 
Kajian Persatuan Diabetes Malaysia dan Majlis Pencegahan Obesiti tahun lalu mendapati bilangan pesakit kencing manis di negara ini meningkat 3.6 juta dalam tempoh empat tahun ini berbanding 2.6 juta pada 2012. 
MASAK SENDIRI 
Masak sendiri lebih menjimatkan perbelanjaan. Foto: wayanyasa

Walaupun sederhana, insya-Allah berkhasiat. Foto: heavilyspiced
Bagi penjawat awam Mona Nor, Ramadan bukan bulan untuk berbelanja sakan malah tiada makanan luar masuk ke rumahnya sepanjang bulan puasa. 
Seperti tahun-tahun sebelumnya, ibu kepada empat orang anak ini yang berusia antara 22 tahun dan 11 tahun ini menyediakan menu sepanjang Ramadan. 
Meskipun menu yang sama dihidangkan sepanjang hari di bulan Ramadan, anak-anaknya sentiasa menunggu kedatangan Ramadan untuk menikmati masakan ibu mereka. 
“Menu hujung minggu paling disukai ialah sup tulang dan sambal ikan selain rendang kerang dan lala masak lemak. 
“Menu harian lain termasuk kari kepala ikan, ikan masak asam tumis, masak lemak ketam dan sambal bilis petai,” katanya. 
JALAN TAR 
Bazar di Jalan Masjid India. Foto: ramadhancct2012

Jalan Tuanku Abdul Rahman. Foto: ramadhancct2012

Suasana di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Foto: ramadhancct2012
Antara lokasi menjadi tumpuan untuk membeli belah di ibu kota ialah Jalan Tuanku Abdul Rahman atau Jalan TAR. 
Penulis yang berkunjung ke kawasan ini pada Sabtu lalu terpaksa “berlanggar bahu” ketika menyusuri lorong-lorong yang dipenuhi gerai menjual pelbagai barangan. 
Cahaya matahari, yang terik membakar, seakan tidak mematahkan semangat mereka berbelanja, menjamu selera atau mencuci mata. 
Dalam banyak deretan gerai di Jalan TAR ini, ada menjual kuih atau biskut raya di samping perhiasan rumah. 
Senario kuih raya ini sudah dapat dilihat di pasar raya. Alamatnya kalau membeli sekarang bila tiba 1 Syawal yang tinggal mungkin cuma botol atau bekas kosong sahaja. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.