Khamis, 29 Ogos 2013

AS Dan Britain Sedia Serang Syria

Amerika Syarikat dan Britain akan melakukan serangan peluru berpandu dalam tempoh 48 hingga 72 jam seawal hari ini terhadap Syria

PM David Cameron memanggil mesyuarat Majlis Keselamatan Negara di Downing Street membincangkan serangan ke atas Syria

Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama dipercayai sudah bersetuju dengan pendekatan itu

Serangan itu kononnya bertujuan untuk menghukum Syria kerana menggunakan senjata kimia terhadap rakyatnya

Rancangan serangan bagaimanapun mendapat bantahan aktivis keamanan di luar Pejabat Perdana Menteri Britain

Bantahan serangan ke atas Syria dianjurkan oleh Stop the War Coalition

Kapal USS Gettysburg, kiri dan kapal pengangkut USS Harry S Truman sedang belayar ke Laut Mediterranean

Jet-jet pejuang di atas USS Harry S Truman siap sedia menunggu perintah untuk melakukan serangan 

Sebahagian daripada tentera pembebasan Syria

Pemandang di sebuah bandar di Syria yang sudah binasa akibat perang saudara


LONDON - Amerika Syarikat dan Britain akan melakukan serangan peluru berpandu dalam tempoh 48 hingga 72 jam seawal hari ini terhadap Syria jika pemimpin negara itu memberi arahan bagi menghukum penggunaan senjata kimia. 
Serangan ditujukan terhadap ibu pejabat kawalan tentera, pusat penghantaran senjata, markas perisikan dan kem latihan ketenteraan, lapor akhbar The Telegraph. 
Pemimpin tentera Amerika dan sekutu serantau di Asia Barat mencapai persetujuan itu dengan pembangkang Syria dalam sidang dua hari yang tamat di Amman, kelmarin. 
Mesyuarat dua hari itu menyaksikan Pengerusi Ketua Turus Bersama Amerika, Jeneral Martin Dempsey dan panglima tentera Britain, Jeneral Nick Houghton, membentangkan pelan serangan kepada ketua tentera 10 negara. 
Persetujuan bersama dicapai bahawa tindakan perlu dilakukan terhadap Syria dan serangan peluru berpandu oleh tentera laut atau jet pejuang adalah cara terbaik, kata pegawai tentera Jordan. 
Presiden Amerika, Barack Obama dipercayai sudah bersetuju dengan pendekatan itu selepas berbincang dengan Kabinet Perang beberapa hari lalu. 
Sementara itu, pertentangan juga bakal disaksikan di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selepas Britain memohon kebenaran melancarkan tindakan ketenteraan meskipun ia hampir pasti disusuli veto oleh Russia dan China. 
Kumpulan penyiasat senjata kimia PBB sedang menyiasat serangan gas yang membunuh beratus-ratus orang awam di kawasan pemberontak di Damsyik. 
Sehubungan itu, Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon meminta mereka diberi lebih banyak masa untuk menamatkan misi. 
Bagaimanapun, Amerika dan sekutunya di Eropah dan Asia Barat sudah pun menyalahkan Bashar al-Assad dan hampir pasti melancarkan serangan tanpa kebenaran PBB meskipun bila ia akan bermula tidak diketahui. 
Kemungkinan Syria diserang meningkatkan ketegangan di antara penyokong Bashar, Iran dengan Israel. 
Konflik di Syria sudah menyebabkan lebih 100,000 orang menjadi pelarian masuk ke Turki, Lubnan, Jordan dan Iraq.
Ia juga meningkatkan pertumpahan darah antara mazhab di Lubnan dan Iraq apabila letupan bom membunuh 65 orang. 
Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei berkata tindakan Amerika akan membawa bencana kepada rantau itu.
Seperti juga Russia, China tidak suka campur tangan Barat dalam hal ehwal dalaman negara lain. 
Akhbar Peoples Daily menyifatkan serangan udara akan menyemarakkan perang saudara di Syria bertujuan menjatuhkan Bashar. - AGENSI/Berita Harian

Berita Terkini

PM David Cameron dikatakan sedang berhadapan dengan bantahan penyokong partinya sendiri

LONDON - Britain tidak akan mengambil tindakan ketenteraan terhadap regim Syria sebelum laporan pemeriksaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang membuktikan terdapat penggunaan senjata kimia di negara itu. 
Ahli Parlimen Britain dijadual mengadakan undi dalam usul tergempar sama ada negara itu akan mengambil tindakan ketenteraan terhadap Syria berhubung dakwaan penggunaan senjata kimia.  
Britain yang menjadi anggota tetap Majlis Keselamatan PBB dijangka akan diberi taklimat secepat mungkin sebaik pemeriksa khas PBB selesai menyiasat dakwaan penggunaan senjata kimia berkenaan. 
“Majlis Keselamatan PBB mesti diberi peluang segera untuk memjelaskan perkara itu sebelum Resolusi Majlis Keselamtan memutuskan sebarang tindakan yang disokong oleh kenteraan. 
“Sebelum sebarang pembabitan Britain dalam perkara ini, Parlimen mesti mengadakan undian," kata usul berkenaan. - AFP

Obama (kiri) ketika temubual eksklusif dengan wartawan kanan PBS Gwen Ifill (tengah) dan Judy Woodruff (kanan)


WASHINGTON - Presiden Barack Obama hari ini berkata, beliau belum membuat keputusan sama ada untuk menyerang Syria tetapi sebarang tindakan negara itu sebagai amaran supaya tiada lagi penggunaan senjata kimia. 
Obama berkata, kerajaannya merumuskan bahawa rejim Presiden Bashar al-Assad memain peranan dalam serangan berdarah terhadap orang awam di pinggir Damsyik yang dikaitkan dengan penggunaan senjata kimia.

“Saya belum lagi membuat keputusan," kata Obama memberitahu stesen televisyen PBS NewsHour apabila ditanya sama ada beliau sudah menandatangani arahan kepada tentera AS supaya menyerang Syria. 
Beliau berkata, sebarang penggunaan ketenteraan secara langsung di Syria tidak akan membantu usaha menyelesaikan perang saudara di Syria. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.