Jumaat, 23 Ogos 2013

Azilah Dan Sirul Bebas Dari Tuduhan Bunuh Altantuya

Kes pembunuhan Altantuya telah dibicarakan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam tahun 2009. Foto: Malaysiakini

Cif Inspektor Azilah Hadri, Koperal Sirul Azhar dan Abdul Razak Baginda semasa perbicaraan tahun 2009. Foto: al-Husseyn

Bagaimanapun Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Abdul Razak Baginda. Foto: Malaysiakini


PUTRAJAYA - Bekas Pegawai Unit Tindakan Khas (UTK) Cif Inspektor Azilah Hadri dan bekas Koperal Sirul Azhar Umar dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan daripada sabitan hukuman mati atas tuduhan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, tujuh tahun lalu. 
Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Mohamed Apandi Ali bersama sama Datuk Linton Albert dan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu yang dibacakan oleh Tengku Maimon. 
Dalam rumusan penghakiman empat muka surat itu, mahkamah memutuskan bahawa hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam telah tersalah arah dalam mensabitkan mereka.
Tengku Tengku Maimun yang membacakan penghakiman itu berkata hakim perbicaraan telah tersalah arah dirinya dengan cara tanpa arah gagal mempertimbangkan diari stesen dan gagal membuat dapatan sama ada pihak pembelaan telah menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan bahawa Azilah, yang merupakan tertuduh pertama dalam kes ini, berada di tempat kejadian jenayah. 
Hakim Tengku Maimun berkata mengenai alibi pembelaan Azilah Hadri, mahkamah tidak menemui mana-mana dalam alasan penghakiman hakim perbicaraan yang beliau telah menimbangkan sama ada diari stesen menunjukkan atau cenderung menunjukkan tentang kehadiran Azilah pada masa berkenaan dan dia tidak akan boleh atau tidak mungkin berada di tempat kejadian jenayah. 
Suasana di mahkamah senyap seketika semasa hakim menyampaikan penghakiman sementara Azilah, 34, dan Sirul Azhar, 39, kelihatan tenang selepas keputusan dibacakan. 
"Melihat kepada keadaan keseluruhan kes ini, pertimbangan kami ialah kesan kumulatif bukan arahan oleh hakim perbicaraan yang bijaksana itu menjadikan sabitan perayu tidak selamat. 
"Kami sebulat suara membenarkan kedua-dua rayuan ini," kata Hakim Tengku Maimun. 
Kedua-duanya disabitkan dan dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi pada 2009 kerana membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja, Shah Alam antara 10 malam, 19 Oktober dan 1 pagi, 20 Oktober 2006. 
Bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda, 50, yang dituduh bersubahat dengan mereka, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Okt 2008 selepas pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes 'prima facie' terhadapnya. 
Azilah Hadri dan Sirul Azhar masing masing akan dibawa pulang ke penjara Kajang dan Tapah untuk menjalani beberapa proses sebelum dilepas dan dibebaskan. - Berita Harian

Kes Altantuya: Azilah, Sirul dibebaskan dari tuduhan membunuh
Sepanjang perbicaraan tahun 2009, wajah kedua-dua Azilah dan Sirul Azhar sentiasa tertutup. Foto: NSTP


PUTRAJAYA - Doa Cif Inspektor Azilah Hadri untuk menjalani kehidupan di luar penjara setelah menghuninya selama tujuh tahun akhirnya dimakbulkan setelah Mahkamah Rayuan membebas dan melepaskannya daripada hukuman serta sabitan membunuh warga Mongolia Altantuya Shaariibuu. 
Azilah, 37, yang ditemui Bernama sebelum hakim membuat keputusan sempat menyatakan bahawa walaupun fizikalnya tidak berubah sejak didakwa atas pertuduhan itu, namun jiwanya terlalu 'kecil' dan amat berharap akan berada di rumah. 
Beliau yang diiringi pegawai penjara sepanjang prosiding, kelihatan terkejut apabila keputusan panel tiga hakim yang diketuai Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Seri Mohd Apandi Ali itu dibacakan. 
Koperal Sirul Azhar Umar, yang dituduh bersama-samanya, pula sempat menyatakan "Terima Kasih Yang Arif" sebelum kedua-duanya dibawa keluar dari kandang tertuduh. 
Azilah berkata beliau amat bersyukur kerana Allah SWT memperkenankan doanya dan berkata dengan nada suara gementar: "Saya masih lagi berdebar-debar". 
"Saya perlu kembali ke Penjara Kajang untuk mengucapkan terima kasih kepada mereka yang bertugas menjaga saya di sana...mereka menjaga saya dengan baik, saya ingin menunaikan solat Jumaat dan urusan lain akan dibuat selepas itu," katanya. 
Pada 2009, Mahkamah Tinggi Shah Alam mensabit kesalahan dan menjatuhi hukuman mati terhadap Azilah dan Sirul Azhar yang merupakan anggota Unit Tindakan Khas (UTK) atas tuduhan membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja, Shah Alam antara 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi, 20 Oktober 2006. 
Tunang Azilah, Nor Azila Baharuddin, 35, pula dilihat mengalirkan air mata apabila mendengar keputusan itu. 
Beliau menyatakan doanya dan anggota keluarga supaya Azilah dibebaskan telah dimakbulkan Allah SWT. 
Katanya sejak mereka bertunang pada 2006, beliau tidak pernah berputus asa dan sering melawat Azilah di penjara seminggu sekali. 
"Saya gementar selepas keputusan dibuat, saya seperti tidak percaya. Saya amat gembira kerana inilah saat yang saya tunggu sekian lama. Syawal kali ini amat indah," katanya. 
Sejak didakwa pada 2006 dan melalui proses perbicaraan, Azilah dan Sirul Azhar sentiasa menutup wajah mereka ketika berada di luar mahkamah dan kain yang menutup muka hanya dibuka selepas berada di dalam mahkamah. 
Pada kebiasaannya, wajah Sirul Azhar kelihatan serius dan lebih banyak menyendiri berbanding Azilah yang ramah dengan mereka yang berada sekelilingnya. 
Namun, selepas keputusan mahkamah itu, Sirul Azhar mempamerkan wajah berbeza dengan melemparkan senyuman ke arah anggota keluarganya yang berada di belakangnya. 
Ketika ditanya pemberita Bernama sebelum beliau dan Azilah dibawa semula ke penjara untuk proses pembebasan, Sirul Azhar menunjukkan keramahannya sambil menyatakan kesyukuran. 
"Bersyukur kepada Allah, semuanya telah selesai. Saya berterima kasih kepada barisan peguam yang membela saya dan ahli keluarga terutama ibu saya yang tidak putus mendoakan. Terima kasih kepada pihak penjara yang menjaga saya dengan baik. Saya berhasrat menjalani kehidupan seperti biasa selepas ini," katanya. 
Anak lelaki Sirul Azhar yang berusia 13 tahun, turut kelihatan amat gembira dengan pembebasan ayahnya dan dia yang diiringi dua anggota keluarga terdekat sempat menyatakan amat merindui bapanya. 
Bapa saudara Sirul Azhar, Mustapha Samat dari Ipoh berkata sejak Sirul Azhar didakwa, beliau hanya sempat hadir ke mahkamah sebanyak tiga kali dan tidak putus-putus berdoa supaya dia dibebaskan. 
Mustapha yang tiba di Kuala Lumpur semalam dilihat menghubungi anggota keluarga untuk memberitahu keputusan mahkamah itu. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.