Isnin, 26 Ogos 2013

Mangsa Ujian Ubat Baru

Lima tahun lalu Niranjan Lal Pathak, 72, ditawarkan rawatan jantung percuma oleh seorang doktor hospital di India. Foto: AFP

Tetapi syaratnya, Niranjan tidak boleh membeli ubat dari farmasi jika kehabisan ubat tetapi perlu segera berjumpa doktor itu. Foto: AFP

Keluarga Niranjan ketika itu tidak sedar 'hospital' sedang mencari ‘peserta’ untuk mencuba ubat baru yang belum diluluskan. Foto: AFP

Kini keluarga Niranjan memfailkan petisyen ke Mahkamah Agung India berkaitan kes Niranjan. Foto: AFP

Keluarganya mendakwa Ninranjan kini mengalami dementia (nyanyuk) disebabkan kesan sampingan ubat Atopaxar. Foto: AFP


Sukar untuk Niranjan Lal Pathak percaya dengan berita baik yang didengarnya. Apabila seorang doktor dari salah sebuah hospital di tengah India menawarkan pengawal kilang itu rawatan jantung percuma, tanpa perlu berfikir dua kali dia terus setuju dan berasa sangat teruja. 
Itu peristiwa lima tahun lalu dan keluarga Niranjan yang berusia 72 tahun itu berkata, ketika itu dia tidak sedar bahawa Hospital Maharaja Yashwantrao di bandar Indore sedang mencari ‘peserta’ untuk mencuba ubat baru yang belum diluluskan. 
“Kami diberitahu pak cik kami akan dirawat di bawah projek khas. Doktor kata kami tidak perlu keluarkan duit walau sesen pun. Tetapi ada satu syarat, kami tidak boleh pergi beli ubat dari farmasi jika kehabisan ubat tetapi perlu segera berjumpa doktor,” kata anak saudaranya, Alok Pathak ketika dihubungi melalui telefon di rumahnya di negeri Madhya Pradesh. 
Keluarga itu memfailkan satu petisyen ke Mahkamah Agung India mendakwa ubat yang diberikan kepada Ninranjan adalah Atopaxar yang dikeluarkan oleh syarikat farmaseutikal Jepun, Eisai dan ia sepatutnya digunakan untuk merawat gangguan keresahan. 
Keluarga Ninranjan dan wakil kumpulan hak asasi manusia, Swasthya Adhikar Manch berkata, dia tidak akan bersetuju menerima tawaran menyertai percubaan berkenaan sekiranya tahu ubat yang diberikan tidak diuji terlebih dulu. 
Malah keluarga itu turut mendakwa Ninranjan kini mengalami dementia (nyanyuk) disebabkan kesan sampingan ubat berkenaan. 
“Dia hampir tidak kenal kami, ahli keluarganya. Hidupnya musnah seperti mana musnahnya harapan kami untuk melihatnya sihat dan gembira,” kata Alok, sebak. 
Banyak keluarga miskin dan terdesak di India secara tidak sengaja atau tidak sedar terbabit dalam ujian klinikal bagi ubat yang dikeluarkan oleh syarikat farmaseutikal India atau antarabangsa yang mengagihkan kerja mencari peserta kepada badan penyelidikan tidak bertauliah. 
Rekod rawatan Ninranjan tercatat dalam kad perubatannya dan keluarganya kini berusaha mendapatkan keadilan melalui perundangan. Ini adalah salah satu daripada banyak kes yang dibawa ke mahkamah oleh mangsa ujian klinikal haram. 
Menjalankan ujian klinikal ke atas manusia adalah langkah wajib dan amat mahal yang perlu ditanggung oleh syarikat ubat supaya mereka boleh membuktikan kepada pihak berkuasa bahawa ubat yang dikeluarkan itu tidak mempunyai kesan sampingan berbahaya sebelum ia diluluskan dan dijual di pasaran. 
Persekutuan Industri India menganggarkan syarikat farmaseutikal boleh menjimatkan perbelanjaan sehingga 60 peratus dengan menjalankan beberapa fasa ujian klinikal di India berbanding di negara maju. 
Berdasarkan laporan syarikat penyelidikan perniagaan dan rundingan global, Frost and Sullivan, pasaran ujian klinikal di India berkembang 12.1 peratus pada 2010 hingga 2011 dengan hasil sebanyak RM1.5 bilion. 
Kajian itu yang diterbitkan pada Julai tahun lalu mensasarkan industri untuk mencecah aras RM3.2 bilion sebelum 2016 berakhir. 
Perbicaraan kes ini di Mahkamah Agung yang bermula Februari tahun lalu secara tidak langsung membantu mendedahkan lebih banyak salah laku doktor yang bersekongkol dengan syarikat farmaseutikal. 
“Perlulah ada rasa tanggungjawab. Manusia tidak sepatutnya diperlakukan seperti tikus makmal,” kata Hakim Mahkamah Agung, RM Lodha dan AS Dave dalam satu kenyataan bertulis yang dikeluarkan tahun lalu. 
Dalam kes Ninranjan, pihak hospital berkata, doktor yang merawatnya memberikan dia ubat tanpa kebenaran dan sudah berhenti kerja manakala Eisai pula enggan memberikan sebarang komen dengan mengatakan mereka tidak boleh memberi jawapan kepada pertanyaan yang datang daripada orang perseorangan. 
Penggerak kempen kesihatan, Amulya Nidhi berkata, kurangnya undang-undang ketat menyebabkan banyak syarikat farmaseutikal beralih kepada India dan negara membangun lain untuk menjalankan ujian klinikal mereka. 
“Di Eropah dan Amerika Syarikat, undang-undang berkaitan ujian klinikal sangat ketat. India yang kurang ketat peraturannya menjadi pilihan untuk ujian ubat baru kerana penguat kuasa di sini tiada gigi,” kata Nidhi dari kumpulan Swasthya Adhikaar Manch dengan sinis. 
Swasthya Adhikaar Manch badan yang memperjuangkan nasib mangsa berkata, kebanyakan mangsa pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan yang biasa mereka terima tetapi tanpa sedar dijadikan subjek ujian tanpa persetujuan. 
“Boleh dikatakan hampir semua kes, persetujuan yang diberikan adalah palsu,” kata Nidhi lagi. 
“Label pada ubat juga biasanya tidak tertulis ia untuk ujian klinikal dan orang yang lemah ini akhirnya tanpa sedar menjadi tikus makmal,” katanya sambil menunjukkan satu sampel ubat. 
Berhadapan dengan pelbagai kritikan, kerajaan India kini mengambil langkah membuat pindaan Akta Dadah dan Kosmetik lama dalam usaha memberikan tanggungjawab lebih besar kepada syarikat dan jawatankuasa etika yang sepatutnya memantau semua ujian klinikal walaupun tidak meletakkan sebarang had masa untuk ujian itu dilaksanakan. 
Mengikut undang-undang, peserta ujian atau keluarganya perlu diberikan salinan maklumat pesakit, borang persetujuan dan polisi insurans liabiliti bagi ujian klinikal. 
Penulis buku The Body Hunters: Testing New Drugs on the World’s Poorest Patients, Sonia Shah berkata, amat mustahak untuk seimbangkan antara keperluan ujian dengan melindungi pesakit. 
“Hospital dan klinik yang kekurangan wang mendapatkan tenaga pakar, dana dan biasanya peralatan baru apabila mereka bersetuju melakukan ujian klinikal. Pesakit yang tiada akses untuk mendapatkan penjagaan teratur boleh menerima rawatan yang biasanya sukar diberikan,” katanya. 
“Namun persoalannya, apakah manfaat yang diterima setanding dengan keutamaan kesihatan di negara ini dan apakah manfaat itu lebih banyak berbanding risiko?” tambah Sonia. 
Negeri Madhya Pradesh menjadi pusat skandal ujian klinikal sejak 2004 di mana ramai doktor dituduh menggunakan mangsa kemalangan gas di Bhopal pada 1984 sebagai subjek ujian tanpa mendapatkan persetujuan pesakit. Berikutan ujian klinikal haram itu, 14 pesakit meninggal dunia. 
Negeri itu sekali lagi mendapat perhatian ramai tahun lalu apabila ia mengenakan denda serendah 5,000 rupee (RM294) ke atas 12 doktor yang menjalankan ujian haram ke atas kanak-kanak dan pesakit terencat akal. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.