Jumaat, 2 Ogos 2013

Ini Bukan Tokong Cina

Sekali pandang bagaikan gerbang tokong. Namun di atas tertulis Kompleks Al-Sa'adah di atas gerbang. Foto: Muzir

Suasana di dalam masjid di Kompleks Al-Sa`adah. Foto: Muzir

Rekabentuk bangunan Kompleks Al-Sa`adah. Foto: Muzir

Halaman tengah kompleks dengan tangga utama menuju ke masjid. Foto: Muzir

Antara makluman program yang ditawarkan di Kompleks As-Sa`adah. Foto: Muzir

Bilik pejabat Persatuan Muslim Reverts' Association. Foto: Muzir

Pejabat Persatuan Cina Muslim Negeri Sembilan (Macma). Foto: Muzir


Sedang memandu menyusur jalan-jalan perumahan mengikut petunjuk GPS, tiba-tiba kami sekeluarga ternampak sebuah premis yang bangunannya berekabentukkan unsur budaya cina. 
Saya mengajak anak-anak supaya meneka bangunan apakah itu? Mereka sangka itu tokong cina. Dalam hati, saya sudah boleh mengagak apakah ia, namun saya diamkan sahaja kerana saya sendiri kurang pasti akan jawapan saya itu. Apabila kami lalu di hadapannya, ternyata sangkaan saya tepat. 
Tertera di gerbang masuk premis tersebut suatu nama keIslaman yang menandakan ia sebuah premis Muslim. Ma shaa’ ALLAH, tertera di situ: Kompleks Al-Sa`adah. 
Kami sempat masuk ke dalamnya dan alhamdulillah, persekitarannya baik sekali. Bukan sahaja rekabentuknya yang unik berunsurkan kecinaan itu menarik perhatian kami sekeluarga, malah yang lebih mengujakan ialah tempat tersebut dihidupkan juga oleh lebih kurang 30 orang remaja hafiz al-Quran. 
Ketika kami singgah itu, mereka sedang mengulangkaji hafalan mereka dengan disemak oleh 2 orang guru. 
Saya tidak sempat hendak bertegur sapa dengan kakitangan kompleks tersebut kerana masing-masing kelihatan sibuk dengan tugas masing-masing. Jadi, saya hanya berbual dengan seorang pakcik pengawal keselamatan yang bertugas di situ. 
Menurutnya, kompleks yang dikelilingi oleh penduduk masyarakat cina itu aktif menjalankan pelbagai aktiviti keagamaan khususnya program-program ilmu. 
Walaupun masjid di kompleks tersebut tidak mengadakan solat Juma`at, namun solat `eid pernah diadakan di situ dan ia terbuka untuk masyarakat singgah bersolat fardhu. 
Alhamdulillah, kami sekeluarga sempat bersolat Zuhur secara berjema`ah di kompleks ini dengan diimamkan oleh seorang ustadz berbangsa cina. 
Ketika singgahan kami yang singkat itu, kami juga sempat bertembung dengan remaja-remaja tempatan yang baru sahaja habis kelas menghafal al-Quran sempena cuti sekolah. Juga kelihatan individu mu`allaf sedang mengaji al-Quran di dalam pejabat kompleks itu. 
Kompleks Al-Sa`adah juga menempatkan pejabat Muslim Reverts’ Association (MRA) dan Malaysia Chinese Muslim Association (MACMA) untuk dimanfaatkan oleh sesiapa yang berminat untuk mendekati atau mendalami agama Islam samada dari kalangan belum-Muslim (khususnya) atau yang sudah Muslim (amnya). 
Sungguh, pemandangan seperti ini bisa menyegarkan iman sesiapa sahaja yang melihatnya. Semoga ALLAH Ta`ala memelihara semua pihak yang ikhlas menjayakan pusat ini dengan hidayah dan taufiqNYA. 
Kompleks Al-Sa`adah terletak di Jalan Mufti Ahmad,Lot 5417, Rahang Square,70100 Seremban,Negeri Sembilan Darul Khusus. No. telefon: 06-7628835/ 012-3553047. Sumber

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.