Khamis, 19 September 2013

Menjejaki Keturunan Maharaja Terakhir India

Siapa sangka wanita dan kanak-kanak ini ialah keturunan Maharaja India terakhir

Sultana Begum bersama cucu lelakinya. Budak lelaki ini mungkin hidup di istana sekiranya Dinasti Mughal masih berkuasa

Di persekitaran yang sesak inilah Sultana Begum, keturunan diraja India tinggal

Rumah tempat tinggal Sultana Begum nampak daif

Keturunan diraja ini terpaksa mencuci sendiri pinggan mangkuk menggunakan air dari paip awam

Untuk menambahkan pendapatan, Sultana Begum membuka gerai teh dan menjual pakaian wanita tradisional seperti salwar

Sejak kematian suaminya, Putera Mirza Bedar Bukht (kiri), Sultana terpaksa berjuang untuk memenuhi keperluan hidup

Maharaja India terakhir, Bahadur Shah Zafar yang dibuang negeri ke Yangon dan mangkat di situ

Pengkebumian suami Sultana Begum, Putera Muhammed Bedar Bukht, cicit kepada Maharaja Bahadur Shah di Bengal Barat

Ruang sebelah dalam bekas istana Maharaja Mughal 

Pemandangan sebelah luar bekas istana Dinasti Mughal di Delhi pada masa kini

Bumbung istana Maharaja Dinasti Mughal di Delhi, India yang pernah menjadi tempat bersemayam Maharaja Bahadur Shah


Nenek moyang beliau tinggal di istana mewah semasa mereka memerintah empayar yang luas dan kaya. 
Tetapi gaya hidup Sultana Begum jauh dengan keadaan yang dinikmati oleh pemerintah empayar Mughal itu. 
Beliau tinggal di kawasan sesak di pinggir Kolkatta (dahulunya dikenali sebagai Calcutta). 
Wanita 60 tahun ini adalah isteri kepada cicit maharaja terakhir India, Bahadur Shah Zafar. 
Sejak kematian suaminya Putera Mirza Bedar Bukht pada tahun 1980, Sultana hidup dalam kemiskinan. 
Keturunan diraja Mughal ini terpaksa hidup dalam pondok kecil dua bilik di Howrah, kawasan setinggan Kolkatta. Dia berkongsi dapur dengan jiran-jiran dan mencuci di jalanan dengan menggunakan air dari paip awam. 
Walaupun terdapat bukti beliau mempunyai kaitan dengan keluarga diraja abad ke-19, Sultana hanya mendapat pencen asas £60 (RM337) sebulan. 
Sultana, yang tinggal bersama anak perempuannya yang belum berkahwin, Madhu Begum, berkata, "Kami masih hidup, tetapi Tuhan mengetahui bagaimana. 
"Anak-anak perempuan saya dan suami mereka adalah orang-orang miskin, mereka hampir tidak mampu menyara diri sendiri, jadi mereka tidak dapat membantu kami." 
Dengan pencen sebanyak £60 (6,000 rupee) sebulan, beliau menyara diri dan enam anaknya, lima orang perempuan dan seorang lelaki. 
Sejak tahun-tahun kebelakangan ini nasib beliau telah diketengahkan oleh beberapa kempen, yang melobi agar pihak berkuasa menyediakan penjagaan yang lebih baik kepada keturunan diraja India, yang ramai di antara mereka telah meninggal dunia dalam kemiskinan selepas British menamatkan pemerintahan dinasti Mughal. 
Dinasti Mughal menyumbang warisan seni bina yang luas kepada benua kecil India sepanjang abad ke-16, ke-17 dan ke-18. 
Taj Mahal merupakan salah satu contoh monumen yang dibina oleh maharaja Islam selain kubu Red Fort, Fort Agra dan Lahore Shalimar Gardens yang kebanyakannya kini menjadi tapak warisan dunia UNESCO. 
Maharaja Bahadur Shah Zafar, moyang kepada suami Sultana, telah menaiki takhta pada tahun 1837. Baginda adalah maharaja Mughal terakhir yang memerintah India selama tiga abad. 
Pada tahun 1857, apabila tentera India bersatu dan memberontak terhadap British, mereka telah mengisytiharkan Bahadur Shah Zafar sebagai panglima mereka. 
Namun apabila pemberontakan itu dapat ditumpaskan oleh British pada tahun 1858, baginda telah dibuang negeri ke Rangoon (sekarang Yangon), dan baginda tinggal di sana selama lima tahun sehingga baginda mangkat pada tahun 1862 ketika berusia 87 tahun. 
Semasa dalam pembuangan, Bahadur Shah disertai oleh isteri baginda, Zeenat Mahal, dan beberapa ahli keluarga yang lain. 
Isteri baginda Zeenat Mahal, meninggal dunia pada tahun 1886 dan disemadikan bersebelahan baginda di Yangon. 
Walaupun ramai anak cucu Bahadur Shah dibunuh selepas Pemberontakan India gagal pada tahun 1857, terdapat juga keturunan baginda yang masih hidup tinggal di Detroit Michigan di Amerika Syarikat dan di pelbagai lokasi di India dan Pakistan.
Di bawah pemerintahan Mughal, ekonomi India berkembang makmur kerana adanya sistem jalan raya dan mata wang yang seragam, bersama-sama dengan penyatuan negara.
Bandar-bandar dan pekan-pekan berkembang pesat di bawah Mughals, namun sebahagian besarnya merupakan pusat tentera dan politik, bukan khusus untuk perdagangan atau perindustrian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.