Selasa, 10 September 2013

Pesawat Terbabas Semasa Mendarat Di Bangkok

Logo syarikat penerbangan dan nama Airbus 330-300 segera dicat hitam oleh para pekerja syarikat

Pesawat ini terbabas semasa mendarat di landasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Bangkok

Penumpang diselamatkan dengan keluar menggunakan gelongsor kecemasan

Pesawat Airbus 330-300 ini membawa 287 penumpang dan 14 anak kapal mendarat dari Guangzhou

Pesawat ini belum dipindahkan sehingga proses siasatan selesai


BANGKOK - THAILAND. Lebih 14 orang mengalami cedera ringan apabila pesawat milik Thai Airways terbabas ketika mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Thailand, awal pagi semalam. 
Jurucakap syarikat penerbangan berkata, tayar di bahagian depan pesawat itu juga dilaporkan tercabut menyebabkan pendaratan tersasar. 
“Kejadian berlaku ketika pesawat Airbus 330-300 membawa 287 penumpang dan 14 anak kapal mendarat dari Guangzhou. Penumpang diselamatkan dengan keluar menggunakan gelongsor kecemasan,” katanya. 
Menurut saksi, kedengaran satu bunyi kuat ketika pendaratan dan berlaku kebakaran kecil di sebelah kanan pesawat. 
“Keadaan kecoh di dalam pesawat apabila penumpang mula menjerit ketika pesawat tidak stabil,” katanya dipetik dari laporan Bangkok Post. 
Sementara itu, pegawai lapangan terbang berkata, pesawat itu belum dipindahkan sehingga proses siasatan selesai. 
“Lapangan terbang masih beroperasi seperti biasa cuma berlaku kelewatan untuk setiap jadual penerbangan,” katanya. - Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.