Selasa, 10 September 2013

Sesat Selama Empat Bulan Di Pergunungan Andes

Raul Fernando Gomez Circunegui, 58, yang hilang di pergunungan Andes empat bulan lalu ditemui masih hidup

Gomez diselamatkan selepas sekumpulan rakyat Argentina yang merekod paras salji terserempak dengannya

Gomez dirawat di hospital dekat San Juan, Argentina semalam

Gomez ditemui di kawasan terpencil di San Juan Andes, Argentina

Gomez mula merentasi pergunungan itu dari Chile ke Argentina pada Mei lalu tetapi tersesat selepas ribut salji

Pada tahun 1972, sebuah pesawat yang membawa pasukan ragbi Uruguay ke Chile terhempas di bahagian terpencil Andes


MONTEVIDEO - Seorang lelaki yang hilang di pergunungan Andes empat bulan lalu ditemui masih hidup selepas melalui musim sejuk yang melampau dengan hanya memakan tikus dan kismis. 
Raul Fernando Gomez Circunegui, 58, kelmarin diselamatkan selepas sekumpulan rakyat Argentina yang merekod paras salji terserempak dengannya. 
Dia susut lebih 19 kilogram sepanjang tempoh sukar itu dan sangat kekurangan zat. Bagaimanapun, doktor berkata dia akan kembali seperti sedia kala dalam masa beberapa hari lagi. 
Gomez mula merentasi pergunungan itu dari Chile ke Argentina pada Mei lalu, tetapi terpaksa membuat perjalanan dengan berjalan kaki selepas motosikalnya rosak. Dia kemudian tersesat ketika ribut salji. 
Gerakan menyelamat dilancarkan untuk mencarinya, tetapi dihentikan pada Julai lalu kerana keadaan cuaca buruk. 
Pasukan petugas dari wilayah barat daya San Juan menemui Gomez dalam sebuah khemah di ketinggian 2,840 meter (9,318 kaki) dari paras laut. 
Gomez yang tidak berdaya dan terdesak berjaya menarik perhatian pasukan itu dengan berjalan terincut-incut sambil membuka pintu khemahnya. 
Gabenor San Juan, Jose Luis Gioja memberitahu akhbar Diario de Cuyo, kisah Gomez dianggap satu keajaiban. 
“Kami seolah-olah tidak percaya dengan kejadian itu,” katanya. 
Gula, kismis, tikus dan baki bekalan makanan di khemah itu membolehkan Gomez terus hidup sepanjang musim sejuk di Hemisfera Selatan. 
Akhbar Uruguay El Pais pula berkata, doktor yang memeriksa keadaan Gomez terkejut dengan daya pulih lelaki itu. 
“Dia pesakit yang menghidap tekanan darah tinggi, punyai sejarah merokok dan mengalami tanda-tanda kekurangan zat. 
“Tetapi dia akan pulih dalam masa beberapa hari lagi, dan kami akan membenarkan dia pulang,” katanya. 
Kisah Gomez mengimbau kenangan pada 1972 apabila sebuah pesawat yang membawa pasukan ragbi Uruguay ke Chile terhempas di bahagian terpencil Andes. 
Kejadian itu menyebabkan 29 orang maut, tetapi 16 mangsa yang terselamat berjaya meneruskan hidup dengan memakan daging rakan mereka yang mati. - Agensi/myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.