Ahad, 13 Oktober 2013

Ancaman Siklon Phailin

Imej satelit Siklon Phailin. Sumber: Wikipedia

Siklon Phailin dikategorikan sebagai taufan paling kuat dalam satu dekad. Foto: BBC

Seorang lelaki menggunakan plastik dan berjalan ke tempat yang lebih selamat berhampiran Gopalpur di timur India

Arah pergerakan Siklon Phailin dari Benua Kecil India menuju ke Asia Tenggara. Sumber: Wikipedia


NEW DELHI - INDIA. India mengeluarkan amaran peringkat merah susulan kehadiran Siklon Phailin yang mula bergerak ke arah pantai timur negara itu sejak kelmarin. 
Dipetik laporan Times of India, Siklon Phailin dikategorikan sebagai taufan paling kuat dalam satu dekad itu dijangka membadai pesisir Orissa, Andhra Pradesh, laut Andaman dan Pulau Nicobar. 
Pegawai Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran bahawa ribut yang membawa angin kencang berkelajuan 220 kilometer sejam itu mampu meranapkan bangunan dan jambatan konkrit. 
“Kami jangka banyak kerosakan teruk bakal berlaku di Gopalpur, Orissa kerana banyak bangunan dibina di tepi pantai,” katanya. 
Sementara Menteri Bencana Alam Orrissa, Surya Naraya Patra berkata, lebih 200,000 penduduk telah dipindahkan ke Teluk Bengal, pantai timur negara itu. 
“Semua penduduk wajib berpindah. Pihak kami akan lakukan pemeriksaan di setiap kediaman,” katanya. 
Beliau berkata, tentera dan pasukan palang merah juga bersiap siaga untuk melakukan kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa. 
Kelmarin, lebih 500,000 penduduk digesa berpindah susulan kehadiran Siklon ke timur negara itu. - Sinar Harian


Berita 14.10.2013:


Anggota tentera India sedang menanti ribut reda untuk membersihkan kawasan pantai terkena ribut


BHUBANESWAR - Puting Beliung Phailin yang menyebabkan kemusnahan besar di pantai timur India meragut tujuh nyawa semalam selepas kerajaan mengarahkan perpindahan terbesar dalam sejarah negara itu untuk mengurangkan kadar kematian. 
Setakat semalam, pihak berkuasa mula menilai kerosakan yang berlaku akibat puting beliung paling kuat pernah melanda India dalam tempoh 14 tahun itu. 
Kerajaan turut melancarkan usaha menyelamat besar-besaran termasuk mengagihkan makanan kepada sekitar satu juta penduduk yang berpindah, membersihkan jalan raya dan membantu mangsa yang cedera. 
Ahli Parlimen Negeri Orissa, Jay Panda memberitahu stesen televisyen tempatan bahawa tujuh orang disahkan terbunuh dalam bencana itu

"Angka kematian ini jauh lebih rendah berbanding ramalan yang dibuat. Ini kerana langkah-langkah kecemasan telah dilaksanakan sebelum ribut melanda," kata- nya. 
Menurut Panda, angka kematian kecil itu antara lain berpunca daripada tindakan pantas kerajaan memindahkan penduduk menjelang ketibaan puting beliung tersebut kelmarin. 
"Saya berpendapat, kami berjaya mengurangkan kehilangan nyawa kepada tahap minimum," kata Ketua Menteri Orissa, Naveen Patnaik. 
Bencana tersebut yang melanda sejumlah 14,000 kampung di tepi pantai timur India telah menyebabkan kira-kira 600,000 orang kehilangan tempat tinggal. 
"Pasukan kami masih meneruskan usaha mencari mangsa yang terkorban atau masih hidup dan memeriksa tahap kerosakan yang berlaku," jelas Pengerusi Pasukan Tindak Balas Bencana Negara (NDMA), Sandeep Rai. 
Sementara itu, Naib Pengerusi NDMA, Marri Shashidar Reddy memberitahu, puting beliung itu semakin lemah selepas membadai timur India pada kelajuan 200 kilometer sejam (km/j). 
"Phailin kini bertiup kurang 90km/j dan bergerak ke kawasan pedalaman," katanya. 
Kebanyakan penduduk tempatan terpaksa bermalam di pusat perlindungan sementara dan di dalam bangunan awam selepas puting beliung Phailin meruntuhkan sejumlah kediaman dan menyebabkan pokok tumbang. 
Kawasan paling teruk terjejas adalah di sekitar bandar Gopalpur, dalam negeri Orissa yang dilanda angin selaju 200km/j. Setakat semalam, rantau berkenaan terputus bekalan elektrik dan telefon. 
Lebih 8,000 orang terbunuh apabila ribut puting beliung melanda Orissa dan kawasan sekitarnya pada 1999. 
Rantau berkenaan mengambil masa beberapa tahun untuk pulih daripada bencana tersebut. - AFP/Kosmo! Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.