Rabu, 23 Oktober 2013

Awas Wang Kertas Baru Palsu

Perbezaan jelas antara wang RM100 palsu (atas) dengan wang tulen. Foto: Sinar Harian

Fauzi menunjukkan not RM100 yang diterima daripada seorang pelanggan yang membeli lemang di gerainya. Foto: Sinar Harian


KUANTAN - Seorang peniaga lemang kecewa apabila ada pelanggan tergamak menipunya dengan membayar harga makanan itu menggunakan sekeping wang RM100 palsu. 
Pengusaha lemang Mat Keroncong, Fauzi Abdul Rahman, 46 berkata, dia menyedari wang itu palsu ketika membayar harga makanan di sebuah restoran di sini kelmarin. 
Menurutnya, pekerja restoran terbabit curiga dengan wang tersebut lalu meminta dia membayar dengan wang lain. 
“Mujurlah saya ada wang lain ketika itu dan membayar segala harga makanan yang dipesan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. 
Dia berkata, kerana menggunakan wang palsu tanpa disedari itu dia nyaris dituduh menipu dan melanggar undang-undang. 
“Mujurlah peniaga itu faham kerana sebagai peniaga ramai yang ’terkena’ dengan wang palsu ini,” katanya. 
Fauzi berkata, dia percaya wang itu diterima ketika berniaga lemang di gerainya di Simpang Tanjung Pasir, Jalan Sungai Lembing sempena sambutan Hari Raya Aidiladha lepas. 
"Masa itu ramai pelanggan yang singgah membeli jadi saya dan isteri tidak sempat meneliti setiap wang yang dibayar. 
“Mungkin dalam ramai-ramai itu ada yang mengambil kesempatan menggunakan wang palsu untuk membeli lemang bagi ‘menghalalkan’ wang baki yang diterima. 
“Kemungkinan juga pelanggan itu pun tidak menyedari wang itu palsu jadi saya anggap semua ini bukan rezeki,” katanya. 
Dia berkata, sejak menjalankan perniagaan lemang di gerainya, itulah kali pertama dia menerima wang palsu. 
“Memang susah untuk mengenal pasti sama ada wang itu tulen atau palsu jika tidak diteliti namun bagi yang tahu ada beberapa ciri yang mudah untuk dicamkan,” katanya. 
Fauzi berkata, sepanjang berniaga lemang, jarang pelanggan membayar dengan not RM100 selalunya not RM10 hingga RM50. 
“Saya terpanggil untuk mendedahkan perkara ini supaya semua peniaga lebih berhati-hati bagi mengelak perkara seperti ini terus berulang. 
“RM100 cukup besar bagi peniaga kecil jadi amat malang jika hasil titik peluh untuk menyara keluarga dibayar sesetengah individu tidak bertanggung jawab dengan wang palsu,” katanya. - Sinar Harian




BESUT - Dua lelaki dan seorang wanita ditahan kerana disyaki terbabit dalam pengedaran dadah dan mencetak wang kertas palsu di Kampung Nangka, Kuala Besut di sini malam tadi. 
Mereka yang berumur antara 19 hingga 28 tahun itu ditahan dalam serbuan ke sebuah rumah di kampung itu pada 8 malam hasil maklumat orang awam, kata Ketua Polis Daerah Besut Supt Kamaruddin Mohd Zakaria. 
Beliau berkata hasil serbuan itu, polis merampas 40 biji pil methamphetamine, 181 keping kertas bersaiz A4 yang bercetak depan dan belakang RM100 dengan nombor siri palsu, 26 keping kertas bersaiz A4 yang bercetak bahagian depan RM100 bersiri, tiga keping kertas bersaiz A4 yang bercetak belakang sahaja RM100 dan dua keping kertas menyerupai wang kertas RM100 yang siap dipotong. 
Kamaruddin berkata turut dirampas ialah pemotong kertas, pencetak jenama Canon dan dua notebook jenama Haier dan Acer serta satu komputer jenama Dell. 
"Seorang lelaki yang ditahan itu tidak bekerja manakala wanita itu adalah peniaga kedai makan dan suaminya yang berasal dari dari Bandar Baharu, Kedah itu merupakan seorang mekanik," katanya. 
Beliau berkata kedua-dua lelaki yang ditahan itu positif dadah. - Bernama 28.10.2013


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.