Rabu, 23 Oktober 2013

Ditahan Polis Kerana Kulit Hitam

Trayon Christian diheret polis dari gedung Barneys kerana dianggap tidak mampu membeli tali pinggang mahal

Gedung Barney, New York, meninggalkan kenangan pahit kepada Christian kerana dituduh menipu

Harlem rapper Juelz Santana (kanan) memakai tali pinggang digemari oleh peminat remaja


NEW YORK - Seorang pelajar kolej kulit hitam yang telah menyimpan wang hasil kerja sambilan untuk membeli tali pinggang berjenama dan diheret polis dari gedung Barneys 'kerana beliau dianggap tidak mampu membeli barangan mahal', telah mengemukakan tuntutan di mahkamah. 
Trayon Christian, 19, memfailkan saman pada Selasa lalu bagi ganti rugi yang tidak ditentukan terhadap Madison Avenue Store dan NYPD kerana secara salah telah menuduhnya melakukan penipuan. 
Christian, yang tinggal bersama ibunya di Queens, telah memutuskan untuk membeli tali pinggang berharga AS$320.00 (RM1,012.00) yang direka oleh Salvatore Ferragamo selepas melihat salah seorang bintang muzik kegemarannya, Harlem rapper Juelz Santana, memakai aksesori tersebut. 
Bagaimanapun apabila dia membayar harga tali pinggang tersebut dan beredar meninggalkan Barneys pada 29 April lalu, beliau telah diberkas oleh pegawai polis yang menyamar. 
Menurut tuntutan hak-hak sivil itu, remaja 19 tahun itu telah disoal, "Bagaimana lelaki muda kulit hitam seperti dia mampu membeli tali pinggang yang mahal." 
Peguam Christian juga memberitahu The New York Post, "Dia dianggap melakukan jenayah hanya kerana dia lelaki muda kulit hitam." 
Seorang pekerja di gedung Barneys telah meminta ID remaja itu apabila dia menggunakan kad debit Chase Bank untuk membeli tali pinggang . 
Juruwang kedai itu kemudiannya menghubungi polis untuk melaporkan pembelian itu sebagai penipuan, mengikut tuntutan mahkamah itu. 
Pegawai polis menahan remaja itu, yang merupakan seorang mahasiswa kejuruteraan di Kolej NYC of Technology. 
Christian telah menunjukkan ID, kad debit dan resit tali pinggang. 
Bagaimanapun pegawai polis itu masih tidak percaya kerana dia seorang remaja . 
"Walaupun telah menunjukkan dokumentasi, Christian diberitahu bahawa pengenalan beliau adalah palsu dan dia tidak mampu membeli apa-apa yang mahal," kata saman itu. 
Akhirnya Chase Bank yang dihubungi telah mengesahkan kad debit milik Christian. 
Hanya selepas itu barulah dia dibenarkan pergi. 
Pelajar itu yang tidak mempunyai sejarah tangkapan memberitahu, dia tidak akan lagi membeli-belah di Barneys selepas kejadian itu. - Mail Online


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.