Khamis, 3 Oktober 2013

Masalah Video Cetak Rompak

Anggota penguatkuasa memeriksa VCD dalam serbuan baru-baru ini. Foto: Sinar Harian

Mesin yang digunakan untuk mencetak VCD dan DVD cetak rompak. Foto: Sinar Harian

Warga China yang didakwa di mahkamah kerana mengedar dan menjual DVD cetak rompak. Foto: Sinar Harian

Syamsul Yusof, karyawan, pengarah dan penerbit filem yang menjadi mangsa cetak rompak. Foto: Sinar Harian


PERAI - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pulau Pinang merampas 30,000 keping video cakera padat (VCD) dan cakera padat digital (DVD) cetak rompak dalam satu serbuan di Taman Chai Leng, semalam. 
Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Pulau Pinang, Mohd Amir Omar berkata, keadaan rumah teres yang dipenuhi semak-samun seolah-olah tidak berpenghuni itu diserbu sepasukan penguat kuasa dalam operasi kira-kira jam 11 pagi semalam. 
“Rumah teres berkenaan bukan sahaja menjadi lokasi simpanan VCD dan DVD cetak rompak malah tempat untuk mencetak cakera haram ini. 
“Kesemua VCD dan DVD cetak rompak pelbagai tajuk filem tempatan serta antarabangsa termasuk filem animasi dirampas. Selain itu, sebanyak sembilan mesin mencetak bersama satu set komputer yang ditemui turut dirampas,” katanya. 
Difahamkan, sindiket terbabit dipercayai menjalankan kerja mencetak dan memunggah pada waktu malam bagi mengelakkan kegiatan mereka diketahui penduduk berdekatan. 
"Kawasan hadapan rumah berkenaan turut dibiarkan semak dan kotor sejak sindiket terbabit menjalankan operasi setahun lalu. 
"Malah terdapat laluan digunakan untuk tujuan memunggah VCD dan DVD yang sudah siap dicetak bagi tujuan edaran," katanya. 
Katanya, bagaimanapun, rumah berkenaan tidak berpenghuni dan dipercayai penghuni tidak tinggal di situ. 
"Rumah ini dijadikan lokasi untuk mencetak dan menyimpan VCD dan DVD sebelum dipasarkan," katanya. 
Sementara itu, Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Pulau Pinang, Abdul Rosik Yakob berkata, intipan telah dijalankan sejak seminggu lalu sebelum serbuan dibuat. 
“Anggaran keseluruhan nilai rampasan mencecah RM350,000 dan ini merupakan rampasan terbesar yang berjaya dijalankan bagi tahun ini,” katanya. 
Menurutnya, berdasarkan siasatan awal didapati VCD dan DVD terbabit diedarkan di seluruh Pulau Pinang dan negeri jiran. 
"Malah edaran ini merangkumi peniaga tepi jalan, pasar malam dan premis menjual bahan cetak rompak terbabit. 
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Hak Cipta 1987 dan sekiranya ada pemilik boleh disabitkan kesalahan dengan didenda sebanyak RM2,000 hingga RM20,000 bagi setiap salinan atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya. - Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.