Sabtu, 9 November 2013

Bot Pancing Yang Hilang 9 Bulan Lalu Ditemui

Arkib: Operasi pencarian di laut dijalankan sejauh 30 batu nautika. Foto: Sinar Harian

Arkib: Isteri Baheruzaman, Nor Hartini Abdul Hamid, 41, tidak dapat menahan sebak mengenang nasib suaminya. Foto: Sinar Harian

Arkib: Doa dibacakan sebelum operasi mencari dan menyelamat bermula. Foto: Sinar Harian


KUANTAN - Bot yang dinaiki empat pemancing yang hilang kira-kira sembilan bulan lepas di perairan Pahang ditemui kira-kira 14 batu nautika di perairan itu. 
Bagaimanapun keempat-empat mangsa tidak ditemui, mereka dipercayai sudah lama meninggal sejak kejadian itu. 
Menurut Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, Kuantan, Asisten Komisioner Azmi Ibrahim, seorang nelayan, Foo Chung Fook, 40, yang menyelam di kawasan itu untuk meleraikan bubunya yang tersangkut telah terjumpa bangkai sebuah bot di dasar laut pada Jumaat lepas. 
"Bertindak atas laporan nelayan itu, pada Sabtu lepas sekumpulan anggota polis Marin bersama unit selam marin polis Marin telah pergi ke lokasi yang dilaporkan sebelum menemui sebuah bot fiber berwarna kuning yang terdampar di dasar laut, penutup enjin sangkut jenis Yamaha 60HP, kotak peralatan memancing dan sebatang joran," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. 
Beliau berkata susulan daripada itu operasi mencari yang melibatkan 12 anggota polis marin telah pergi semula ke lokasi kejadian bermula jam 9.30 pagi tadi untuk membuat selaman dan berjaya mengapungkan bot itu kira-kira jam 5.30 petang tadi. 
"Bot dan barang-barang itu berjaya dinaikkan dan dibawa ke jeti Pangkalan Polis Marin Kuantan untuk dibuat pengecaman ahli keluarga mangsa," katanya. 
Pada 20 Feb lepas, empat sahabat Baheruzaman Yusof, 40, Ayzzat Rahmat Yaakop, 40, Rahmat Chik, 51 dan Karim Zakaria, 41, dilaporkan hilang selepas keluar memancing. 
Operasi pencarian telah dijalankan selama tiga minggu oleh pasukan penyelamat, namun gagal menemui mangsa. 
Pihak polis sebelum ini tidak menolak kemungkinan bot yang dinaiki mereka itu rosak atau mengalami kemalangan. 
Sementara itu anggota keluarga mangsa yang menunggu di jeti itu, hiba dan sedih selepas melihat barangan yang ditemui itu. 
Abdul Razak Hamzah, 48, sepupu kepada salah seorang mangsa yang juga merupakan pemilik bot berkenaan, Baheruzaman Yusof, 40, mengesahkan bot terbabit memang milik mangsa. 
"Saya sedih dan redha dengan apa yang berlaku, barang-barang yang ditemui itu memang milik mangsa," katanya. - Bernama

Berita sebelumnya klik di sini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.