Berita 24.2.2012
|
Engku Yushanizam (kanan) dan Zamri (dua kanan) bersama rakan-rakan lain menunggu di jeti. Foto: Sinar Harian |
KUANTAN - Empat kaki pancing yang dipercayai keluar memancing di kawasan perairan Pahang sejak lima hari lalu dikhuatiri hilang selepas mereka tidak pulang sehingga jam 5 petang semalam.
Usaha rakan-rakan menjejaki mereka juga menemui jalan buntu selepas telefon bimbit keempat lelaki itu gagal dihubungi.
Baheruzaman Yusof, 40, bersama rakannya, Ayzzat Rahmat Yaakop, 40, Rahmat Chik, 51 dan seorang lagi lelaki hanya dikenali sebagai ‘Karim’ (umur masih belum diketahui) keluar memancing kira-kira jam 5 petang, Rabu lalu.
Mereka turun dari Jeti Kelab Memancing Cenderawasih, Sungai Kuantan di Perkampungan Cenderawasih dengan menaiki bot fiber sepanjang 6.5 meter dipercayai ke kawasan uncang dalam kawasan perairan daerah ini.
Seorang rakan, Engku Yushanizam Engku Ngah, 36, berkata, mereka khuatir nasib keempat kaki pancing itu memandangkan keadaan laut dikatakan bergelora sejak beberapa hari lalu.
Menurutnya, mereka sepatutnya pulang petang Khamis, 21 Februari lalu, namun gagal berbuat demikian hingga jam 5 petang semalam.
“Saya difahamkan mereka hanya membawa bekalan makanan dan minyak hanya untuk tempoh sehari atau dua hari, jadi agak mustahil mereka mampu bertahan hingga ke hari ini.
“Kami cuba menghubungi mereka sejak tiga hari lalu, namun gagal lalu membuat laporan polis kira-kira jam 8 malam tadi (kelmarin) kerana bimbangkan keselamatan mereka,” katanya ketika ditemui bersama beberapa rakan lain di Jeti Kelab Memancing Cenderawasih, dekat sini, semalam.
Seorang lagi rakan, Zamri Abdul Razak, 33, berkata, ahli keluarga juga tidak mendapat sebarang berita mengenai nasib keempat mangsa dan difahamkan mereka turut membuat laporan polis berhubung kehilangan itu.
“Kereta dan treler menarik bot mereka (mangsa) masih ada di sini,” katanya.
Zamri berkata, sebelum ini dia bercadang untuk keluar mencari, namun terpaksa membatalkan hasrat memandangkan keadaan laut dilaporkan bergelora, selain tidak pasti kedudukan rakan mereka yang hilang itu.
“Kami hanya mampu berdoa agar mereka semua selamat dan berjaya ditemui pasukan penyelamat yang memulakan usaha mencari hari ini (semalam),” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff mengesahkan menerima laporan kehilangan empat lelaki itu daripada rakan dan keluarga mangsa.
Menurutnya, pasukan mencari dan menyelamat terdiri daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang telah melancarkan gerakan mencari mangsa.
“Bagaimanapun hingga jam 2 petang ini (semalam,) keempat-empat pemancing itu gagal dikesan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.
Sementara itu, Pusat Operasi Maritim Wilayah Timur, APMM dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan daripada Balai Polis Kuantan berhubung kejadian kira-kira jam 10.45 malam, kelmarin.
Lt Maritim Mohd Ardi Mat Nawi berkata, susulan laporan yang diterima, APMM mengaktifkan Operasi Carilamat jam 10.50 malam kelmarin dan semalam, kira-kira jam 7 pagi, Kapal KM Sebatik bersama dua bot, Penyelamat 6 dan Kilat 50 beserta anggota telah ditugaskan melaksanakan operasi itu di persisiran Perairan Kuala Pahang sehingga Kuala Kemaman.
“Namun sehingga jam 5 petang, kesemua mangsa masih belum ditemui, manakala operasi masih diteruskan.
"Lokasi sebenar kedudukan bot mangsa menjalankan aktiviti memancing tidak diketahui manakala keadaan cuaca dengan angin kuat dan laut bergelora menyukarkan operasi menyelamat dijalankan," katanya. - Sinar Harian
Berita 25.2.2013
|
APMM menggunakan pesawat ini untuk melakukan pencarian melalui udara. Foto: Sinar Harian |
KUANTAN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Timur mempertingkatkan usaha Operasi Carilamat empat kaki pancing yang hilang di perairan Kuantan sejak enam hari lalu termasuk pencarian melalui udara menggunakan pesawat Bombadier di kawasan 25 batu nautika dari Kuantan, semalam.
Bagaimana pun sehingga jam 4 petang semalam, tiada sebarang perkembangan berhubung nasib Baheruzaman Yusof, 40, bersama rakannya, Ayzzat Rahmat Yaakop, 40, Rahmat Chik, 51 dan seorang lagi lelaki hanya dikenali sebagai ‘Karim’ yang hilang selepas keluar memancing sejak Rabu minggu lalu.
Bilik Gerakan APMM Wilayah Timur memaklumkan, usaha mencari juga terganggu akibat keadaan cuaca yang agak buruk petang semalam menyebabkan Kapal KM Gemia yang mengambil alih tugas daripada KM Sebatik hanya keluar kira-kira jam 4 petang semalam untuk meneruskan pencarian.
“Dalam operasi hari ini (semalam) sebuah kapal (KM Gemia), dua bot penyelamat, Penyelamat 6 dan Kilat 50 meneruskan operasi membabitkan kekuatan 30 anggota termasuk krew pesawat Bombadier," katanya.
Jurucakap bilik gerakan itu berkata, lokasi sebenar kedudukan bot mangsa menjalankan aktiviti memancing tidak diketahui manakala keadaan cuaca dengan angin kuat dan laut bergelora menyukarkan Operasi Carilamat dijalankan.
“Mengikut ramalan cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia, keadaan angin Timur Laut bertiup 40-50 km/j dengan ombak setinggi 2.5 hingga 3.5 meter (berbahaya kepada bot-bot kecil),” katanya.
Empat kaki pancing itu dipercayai keluar memancing di kawasan perairan Pahang sejak enam hari lalu dikhuatiri hilang selepas mereka tidak pulang sehingga jam 5 petang semalam.
Mereka turun dari Jeti Kelab Memancing Cenderawasih, Sungai Kuantan di Perkampungan Cenderawasih dengan menaiki bot fiber sepanjang 6.5 meter dipercayai ke kawasan uncang dalam kawasan perairan daerah ini.
Usaha mencari melibatkan beberapa agensi penyelamat termasuk APMM, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang.
Berita 26.2.2013
|
Operasi pencarian di laut dijalankan sejauh 30 batu nautika. Foto: Sinar Harian |
|
Isteri Baheruzaman, Nor Hartini Abdul Hamid, 41, tidak dapat menahan sebak mengenang nasib suaminya. Foto: Sinar Harian |
|
Doa dibacakan sebelum operasi mencari dan menyelamat bermula. |
KUANTAN - Hanya doa yang mampu dititipkan ahli keluarga buat masa ini agar keempat-empat pemancing ditemui selamat.
Kehilangan mereka bukan sahaja menjadi tanda tanya kepada anggota penyelamat yang menjalankan tugas mencari, tetapi juga ahli keluarga mereka yang setia menanti berita gembira mereka pulang dalam keadaan yang selamat.
Sudah pasti, isteri mana yang akan tenang apabila ketua keluarga yang menjadi tulang belakang selama ini hilang tanpa khabar berita. Bagaimanapun, mereka terus menaruh harapan agar suami mereka tidak ditimpa sesuatu perkara yang buruk.
Bagi Fairus Abdul Rahim, 42, isteri kepada Rahmat Chik, 51, dia sempat menghantar suaminya ke Jeti Kelab Memancing Cenderawasih kira-kira jam 6.45 petang pada hari kejadian.
Menurutnya, memang menjadi rutin untuk suaminya ke laut memancing tetapi selalunya dia akan memancing pada hari minggu.
“Paling lama dia ke laut pun dua hari tetapi pada hari Khamis saya cuba hubungi dia tetapi tidak dapat dan tetap menunggu jika dia pulang keesokan harinya, namun sangkaan saya meleset.
“Tetapi sehingga Jumaat dia masih belum balik sedangkan makanan yang dibawa hanya cukup sekali makan bersama empat rakannya,” katanya yang tinggal di Bukit Setongkol.
Fairus berkata, sebelum turun memancing pada hari rabu itu, suaminya merancang ke laut sejak Isnin lalu dan dia tidak mengesyaki sebarang kejadian buruk berlaku memandangkan itu rutin suaminya sejak sekian lama malah boleh digelar ‘Otai’ dalam kalangan kaki pancing.
Bagaimana pun, ibu tiga anak itu masih mengharapkan berita gembira buatnya sekeluarga dan setia menanti sebarang berita tentang suaminya.
Manakala, Norezawati Mohamad, 32, isteri kepada Azyyat Rahmat Yaacob, 40, berkata, suaminya sebelum ini tidak pernah pergi memancing ke laut namun Selasa lalu menyatakan hasrat untuk ke laut mengikut tiga rakan yang lain memancing.
Menurutnya, walaupun sedikit pelik namun dia hanya mendiamkan diri sahaja kerana memahami minat suaminya yang gemar memancing terutama pada hujung minggu.
“Petang Rabu lalu, dia meminta saya membeli ubat tahan muntah sebelum dia ke laut. Tiada sebarang perlakuan pelik dan dia memberitahu akan pulang pada hari Khamis.
"Namun, sehinggalah Jumaat lalu, dia masih tidak pulang, saya jadi risau malah rakan-rakannya yang biasa memancing di sungai datang bertanya mengenai dirinya kepada saya,” katanya ketika ditemui pada Operasi Menyelamat di Jeti Kelab Memancing Cenderawasih, di sini, semalam.
Norezawati yang bekerja sebagai pembantu klinik berkata, sebelum ini suaminya hanya memancing di sungai dan jarang melakukan hobinya itu pada hari biasa.
“Biasanya dia pergi memancing pada hari minggu tetapi kali ini dia pergi hari biasa malah saya juga tidak mengenali tiga rakannya yang turut serta.
“Bagaimana pun, saya tahu dia membawa semua alat keselamatan seperti jaket keselamatan dan baju hujan kerana dia seorang yang sangat menitikberatkan soal keselamatan bila pergi memancing,” katanya.
Katanya lagi, rakan suaminya memberitahu suaminya ada memuat naik gambar di dinding laman sosial sebelum gagal dihubungi pada malam tersebut.
Bagi anak tunggal kepada Abdul Karim Zakaria, 41, iaitu Rabhah Abdul Karim, 15, ayahnya sempat berpesan supaya menjaga ibunya, Nor Fadilah Mohd Salim, 51, yang sedang sakit dengan baik.
Katanya, dia masih berharap ayahnya selamat dan sentiasa berdoa tiada kejadian buruk menimpa. Selain ketiga-tiga kaki pancing, turut hilang adalah Baheruzaman Yusuf, 40, yang lebih dikenali sebagai Harun.
Sementara itu, pihak polis meneruskan Operasi Mencari dan Menyelamat membabitkan kawasan perairan 30 batu nautika bermula di Jeti Kelab Memancing Cenderawasih, di sini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, operasi mencari dan menyelamat itu akan dilakukan ke beberapa perairan termasuk Kemaman dan Tanjung Gemok.
“Rondaan akan dilakukan Polis Marin, Maritim dan TLDM menggunakan kemudahan seperti pesawat untuk mengesan mangsa di tengah laut.
“Buat masa ini, pihak berkuasa masih belum mendapat sebarang petunjuk bagaimana kita akan terus mencari di kawasan yang berkemungkinan dilalui oleh kaki pancing ini,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Jasmani turut mengingatkan sesiapa sahaja yang ingin ke laut supaya mendapatkan info cuaca daripada Jabatan Kaji Cuaca terlebih dahulu.
Katanya, dalam keadaan cuaca tidak menentu, mereka yang ingin melakukan aktiviti di laut harus berwaspada kerana bimbang kejadian tidak diingini berlaku.
“Kita tidak menolak kemungkinan bot yang dinaiki empat kaki pancing ini mengalami kerosakan enjin.
“Justeru, kita berharap kepada nelayan yang mungkin terserempak dengan kumpulan supaya memaklumkan kepada pihak polis,” katanya.
Mohd Jasmani turut melahirkan rasa simpati kepada keluarga mangsa dan berharap bersabar serta melakukan solat hajat.
Rabu lalu, keempat-empat kaki pancing itu dipercayai keluar memancing di kawasan perairan Pahang sejak enam hari lalu dikhuatiri hilang selepas tidak pulang sehingga 5 petang semalam. - Sinar Harian
Berita 28.2.2013
|
Hong Seong menasihatkan Fairus agar bersabar dan berharap agar nelayan yang hilang ditemui selamat. Foto: Sinar Harian |
KUANTAN – “Sebelum suami saya pergi memancing dia berjanji akan balik semula ke rumah dan sehingga hari ini saya masih berpegang kepada janji tersebut untuk terus menunggu dia,”kata Fairuz Abdul Rahim,42, isteri kepada Rahmat Chik, 51 yang merupakan salah seorang daripada empat pemancing yang hilang di laut sejak seminggu yang lalu.
Fairus berkata, laut merupakan dunia kedua untuk suaminya dan dia yakin, suaminya akan pulang dengan selamat seperti mana sebelum ini.
“Hati saya kuat mengatakan suami masih hidup dan selamat, cuma tidak dapat pulang kerana terkandas di laut.
“Selama berpuluh-puluh tahun menjadi kaki pancing, sudah beberapa kali dia hilang di laut, tetapi kali ini terlalu lama membuatkan hati kami sekeluarga tidak tenang.
“Sebelum ini, jika tidak pulang ke rumah, hanya sehari dua sahaja, tetapi kali ini sampai seminggu membuatkan saya risau keadaan dia," katanya.
Lebih membimbangkan katanya, bekalan makanan dibawa hanya bertahan sehari sahaja untuk mereka.
Menurutnya, minat dan hobi suaminya itu terhadap dunia pancing memang diakui, setiap sebulan suaminya itu akan menganjurkan pertandingan memancing di benteng sungai khas untuk kaki pancing.
“Jika dia tidak keluar memancing sekalipun, dia akan pergi ke jeti untuk melihat laut bagi memuaskan hatinya terhadap dunia pancing ini.
“Saban hari saya berdoa agar mereka semua masih hidup dan ditemui dengan selamat oleh penyelamat dalam masa terdekat ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian sempena lawatan Adun Teruntum, Datuk Chang Hong Seong di rumahnya dekat Bukit Setongkol semalam.
Sementara itu, rakan baik Rahmat, Mohd Ruzaini Ibrahim, 47 berharap agar Rahmat pulang dengan selamat.
“Rahmat merupakan ‘tok guru’ saya dalam dunia pancing ini. Dahulu saya tiada pengalaman memancing dan dialah yang memberi tunjuk ajar sehingga mahir.
“Saya harap berdasarkan pengalaman dan kemahiran yang dia ada, Rahmat mampu menyelamatkan diri dan ditemui selamat dalam masa terdekat ini,” katanya.
|
Norezawati. Foto: Sinar Harian |
Bagi Norezawati Mohamad, 32, isteri kepada Azzyat Rahmat Yaacob, 40 berharap agar suaminya itu ditemui dalam apa juga keadaan sekalipun.
Menurutnya, dia dan keluarganya reda jika sebarang kemungkinan buruk berlaku terhadap suaminya itu, namun berharap agar dia ditemui.
“Saya masih menaruh harapan agar suami masih hidup dan ditemui dalam keadaan selamat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Kampung Bukit Setongkol, Sidek Aminuddin berkata, pihaknya akan mengadakan solat Hajat dan doa selamat bagi memberi petunjuk terhadap kehilangan empat pemancing pada 20 Februari lalu.
Dua lagi pemancing yang hilang ialah Abdul Karim Zakaria, 41 dan Baheruzaman Yusuf, 40.
Khabar angin yang tersebar berhubung penemuan mayat seorang lelaki di tengah laut dikaitkan dengan salah seorang daripada empat pemancing hilang sejak seminggu lalu tidak benar.
Sehingga jam 5 petang semalam, polis dan beberapa agensi terlibat dalam Operasi Carilamat termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Pasukan Gerakan Marin (PGM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang tidak dapat sahkan penemuan itu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Abdul Aziz Ahmad berkata, pihaknya juga tidak dapat mengenal pasti sumber yang menyebarkan maklumat tersebut.
Menurutnya, polis mendengar desas-desus berhubung penemuan mayat oleh nelayan, lalu mengambil tindakan untuk sahkan maklumat tersebut.
“Bagaimanapun maklum balas daripada beberapa pihak termasuk Persatuan Nelayan Kuantan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan agensi penyelamat yang lain mendapati tiada sebarang maklumat berhubung penemuan mayat diterima.
“Bagi menghadapi sebarang kemungkinan, kita bersedia di sini (jeti PGM) namun malangnya hingga sekarang (jam 5 petang) tiada pihak yang tampil dan mengesahkan maklumat tersebut,” katanya ketika ditemui di jeti itu, di sini semalam.
Abdul Aziz berkata, orang ramai tidak sepatutnya menyebarkan khabar angin berhubung perkara itu kerana ia bukan sahaja menyusahkan pihak berkuasa tetapi mengganggu emosi ahli keluarga mangsa.
“Hari ini (semalam) semua ahli keluarga berkumpul di jeti setelah mendengar berita penemuan mayat tersebut namun mereka kecewa kerana ia tidak benar,” katanya.
Beliau berkata, pihak berkuasa yang terlibat dalam Operasi Carilamat akan meneruskan operasi setiap hari bagi mengesan keempat-empat mangsa.
“APMM dan PGM menjalankan operasi setiap hari mengikut zon yang ditetapkan sehingga ke Perairan Kemaman dan Nenasi membabitkan kawasan pencarian menjangkau 20 batu nautika.
“Esok (hari ini) PGM akan mengerakkan semua aset yang berpangkalan di Markas Wilayah 3 Kuantan ini termasuk bot PA dan bot kecil untuk mengerakkan usaha mencari dan menyelamat mangsa,” katanya. - Sinar Harian
Berita baru di sini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.