Rabu, 27 November 2013

Cerita Tentang Nasib

Seorang wanita di Amerika Syarikat terdesak memerlukan pekerjaan

Wanita itu terbaca iklan temuduga terbuka kerja kosong sebagai pembersih tandas

Dia pergi ke tempat temuduga, tetapi ramai calon sedang menunggu

Ketika menunggu giliran temuduga, wanita itu sakit perut

Malangnya tandas di tempat itu terlalu kotor dan wanita itu terlewat kerana membersihkannya

Wanita itu merayu dan memohon belas kasihan agar dia ditemuduga

Akhirnya wanita itu berjaya mendapatkan pekerjaan pembersih tandas. Bagaimana jadi begitu?


Cerita ini saya dengar daripada ucapan seorang pegawai kanan kerajaan beberapa tahun yang lalu. Pegawai itu berkata, cerita ini merupakan kisah benar yang berlaku di Amerika Syarikat. Dia membaca cerita ini daripada sebuah buku. 
Ceritanya ialah mengenai kisah seorang wanita yang menganggur dan amat memerlukan pekerjaan untuk menyara kehidupannya. 
Setelah puas mencari dan membaca iklan-iklan kerja kosong daripada berbagai akhbar, dia terbaca iklan tentang sebuah syarikat yang menyelia sebuah bangunan perniagaan, memerlukan seorang pekerja pembersihan tandas. 
Iklan tersebut menawarkan temuduga secara terbuka. 
Dipendekkan cerita, wanita itu pun bertekad akan pergi ke tempat temuduga diadakan mengikut tarikh dan masa yang ditetapkan. 
Apabila wanita itu sampai ke tempat temuduga, dia mendapati ramai calon yang sedang menunggu giliran. Jika bukan disebabkan dia amat memerlukan pekerjaan, dia tidak sanggup mengambil giliran untuk ditemuduga. 
Lebih malang lagi apabila semasa menunggu giliran, wanita itu merasa hendak membuang air besar. Apabila dia pergi ke tandas, dia mendapati tandas di tempat itu terlalu kotor kerana pekerja pembersihan sebelum itu telah meletakkan jawatan. 
Disebabkan wanita itu tidak selesa dengan keadaan tandas yang kotor, dia telah bersusah payah membersihkan tandas itu sebelum menggunakannya. 
Wanita itu terpaksa mengambil masa yang lama untuk melakukan pembersihan kerana tandas itu telah tidak dibersihkan sejak beberapa hari. Hanya setelah tandas itu bersih, barulah wanita itu melepaskan hajatnya. 
Apabila wanita itu kembali ke tempat temuduga, tempat itu telahpun kosong kerana temuduga telah pun selesai diadakan. 
Disebabkan wanita itu terdesak memerlukan pekerjaan maka dia telah meluru masuk ke dalam bilik penemuduga dan merayu agar dia ditemuduga. 
Bagaimanapun penemuduga mengatakan tidak boleh kerana masa temuduga telah pun tamat. 
Disebabkan wanita itu merayu dengan bersungguh-sungguh, penemuduga itu lalu bertanya, kemana wanita itu pergi semasa namanya dipanggil untuk ditemuduga. 
Wanita menerangkan yang dia sakit perut, tetapi dia terpaksa membersihkan dulu tandas di tempat itu sebelum menggunakannya. Dia mengambil masa sehingga terlewat kerana tandas di tempat itu terlalu kotor. 
Mendengar penjelasan wanita itu, penemuduga tertarik hati hendak melihat keadaan tandas yang telah dibersihkan oleh wanita itu. 
Apabila sampai ke tandas tersebut, penemuduga merasa takjub kerana tandas yang sebelumnya terlalu kotor telah pun dibersihkan. 
Akhirnya, penemuduga memutuskan, wanita itu merupakan calon yang paling layak untuk tugas pembersihan tandas di tempat itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.