Rabu, 27 November 2013

Pesawat Twin Otter Terbabas Penumpang Selamat

Seramai 13 penumpang dan anak kapal terselamat selepas pesawat Twin Otter terbabas dari landasan. Foto: Berita Harian

Pesawat jenis Twin Otter milik MASWings terbabas dari landasan ketika berlepas dari Bario ke Miri. Foto: Berita Harian


BARIO - Dua juruterbang bersama 13 penumpang menempuh detik mencemaskan selepas pesawat ringan jenis Twin-Otter milik MASwings terbabas ketika berlepas di Landasan Terbang Bario, di sini, semalam. 
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi, tayar sebelah kanan pesawat berkapasiti 19 penumpang itu turut terbenam ke kawasan berlumpur di tepi landasan berkenaan. 
Jurucakap MASwings berkata, kejadian itu berlaku ketika pesawat dengan nombor pendaftaran 9M-MDK itu ingin berlepas ke Miri. 
Bagaimanapun, beliau berkata, tiada sebarang kecederaan dilaporkan, manakala pesawat terbabit juga tidak mengalami sebarang kerosakan, namun siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. 
Kami masih menunggu laporan pemeriksaan lanjut oleh pasukan kejuruteraan sebelum menyambung semula operasi pesawat berkenaan, katanya dalam kenyataan semalam. 
Sementara itu, dalam kenyataan terbaru lewat petang semalam, MASwings mengesahkan pesawat ringan miliknya tidak mengalami sebarang kerosakan dan dibenarkan beroperasi semula. 
Pesawat itu sudah melalui pemeriksaan dan didapati semua peralatan berfungsi dengan baik dan dibenarkan untuk kembali beroperasi di laluan berkenaan. 
Berikutan itu, penerbangan MH3435 dari Bario ke Miri yang sepatutnya berlepas pada sebelah pagi dibenarkan menyambung operasi pada jam 3.09 petang tadi (semalam), katanya. 
Kejadian semalam yang ketiga membabitkan pesawat Twin-Otter terbabas di landasan selepas kejadian di Marudi, Miri dan di Kudat, Sabah sepanjang tahun ini. - Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.