Isnin, 25 November 2013

Dua Beranak Hilang Ditelan Arus

Operasi mencari dan menyelamat Abdul Talib dan Muhammad Taufik giat dilaksana di perairan Tanjung Langsat. Foto: myMetro

Nurul Umairah (kanan) lihat ayah dan adiknya hilang ditelan arus deras. Foto: myMetro


PASIR GUDANG - Keseronokan tiga beranak melakukan aktiviti memancing berakhir dengan tragedi apabila dua daripada mereka dikhuatiri lemas di Perairan Tanjung Langsat di sini, Sabtu. 
Abdul Talib Mohd Hadhari, 42, dari Kampung Sungai Redan, Ulu Tiram bersama-sama dua anaknya, Nurul Humairah, 11, dan Mohd Taufik, 8, serta dua lagi rakan keluar memancing di sebuah rumah rakit kira-kira 1.5 kilometer dari Jeti Kampung Tanjung Langsat pada kira-kira 7.30 pagi. 
Nurul Humairah berkata pada kira-kira 4.30 petang, adiknya yang sedang bermain air secara tiba-tiba terjatuh ke dalam laut. 
Beliau yang panik melihat kejadian itu terus menjerit memberitahu ayahnya yang kemudian terjun untuk menyelamatkan Mohd Taufik. 
"Ayah berjaya memaut badan adik dan rakan-rakan ayah campak tali untuk ayah berpaut tapi terlepas," katanya ketika ditemui di jeti Kampung Tanjung Langsat Ahad. 
Nurul Humairah berkata kedua-dua mangsa kemudian hilang dihanyut arus deras. 
Sementara itu, isteri Abdul Talib, Abidah Atin, 43, berkata beliau mengetahui kejadian yang menimpa suami dan anak bongsunya itu apabila dihubungi Nurul Humairah pada kira-kira 5.05 petang. 
Abidah, yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di Hospital Sultan Ismail, membuat laporan di Balai Polis Tiram berhubung kejadian itu. 
Beliau berkata ini merupakan kali pertama Abdul Talib membawa anak mereka memancing. 
Sementara itu, Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang Fadzil Mohamad berkata sejumlah 48 anggota termasuk dari unit skuba, Jabatan Pertahanan Awam, polis dan Pelabuhan Tanjung Langsat terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat. 
"Kita telah menghentikan operasi mencari dan menyelamat pada kira-kira 12 tengah malam tadi sebelum menyambung semula operasi pada 6.26 pagi," katanya. - BERNAMA

Pasir Gudang: “Saya lihat ayah terjun ke laut untuk selamatkan adik yang terjatuh dan ketika itu ayah pegang tali dihulurkan rakannya. 
“Beberapa saat kemudian, ayah terlepas tali itu menyebabkan dia dan adik hanyut dibawa arus deras,” kata Nurul Umairah Abdul Talib, 11, semalam. 
Dalam kejadian jam 4.30 petang kelmarin, Abdul Talib Mohd Hadhari, 42, dan anak bongsunya, Muhammad Taufik, 8, dikhuatiri lemas selepas kedua-duanya hilang ditelan arus deras. 
Abdul Talib terjun ke dalam laut untuk menyelamatkan Muhammad Taufik yang tergelincir sebelum terjatuh ke dalam laut ketika berada di rumah rakit Kampung Tanjung Langsat, Pasir Putih di perairan Tanjung Langsat, di sini. 
Abdul Talib bertugas sebagai penyelia di sebuah kilang Tebrau 4, Taman Daya dan Muhammad Taufik murid tahun dua Sekolah Kebangsaan Sungai Tiram. - myMetro
11.30 AM

Isteri Allahyarham Abdul Talib, Abidah Atin sebak

PASIR GUDANG - Mayat mangsa lemas, Abdul Talib Hadhari, 42, yang terjatuh ke dalam laut di perairan Tanjung Langsat Sabtu lalu ditemui berhampiran perairan Singapura pada jam 11.30 pagi tadi. 
Mangsa ditemui 6 batu nautika dari tempat kejadian. 
Difahamkan, mangsa yang dilaporkan hilang selepas dihanyut arus deras ditemui oleh sekumpulan nelayan tempatan. 
Mayat mangsa akan dibawa ke jeti Kampung Tanjung Langsat bagi pengecaman. 
Usaha bagi mencari anak bongsu Abdul Talib, Muhammad Taufik,8, yang juga dikhuatiri lemas masih dijalankan oleh pasukan pencari dan penyelamat dengan menggunakan tiga bot. 
Hingga jam 12 tengah hari tadi, seramai 100 saudara-mara, kenalan dan penduduk kampung berkumpul di jeti kampung berkenaan untuk mendapatkan maklumat terkinj berkaitan kehilangan dua beranak itu. - myMetro

Mayat Muhammad Taufik Abdul Talib, 8, ditemui di Pulau Tekong berhampiran perairan Singapura pada jam 11.45 pagi tadi


PASIR GUDANG: Mayat mangsa lemas, Muhammad Taufik Abdul Talib, 8, ditemui di Pulau Tekong berhampiran perairan Singapura pada jam 11.45 pagi tadi. 
Mayat kanak-kanak berkenaan ditemui pada hari keempat selepas dihanyut air deras di Perairan Tanjung Langsat pada jam 4.30 petang, Sabtu lalu. - myMetro 26.11.2013

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.