Sabtu, 14 Disember 2013

Bas Terbang Rempuh Kedai

Bas merempuh dinding kedai menjual pam air dan alat-alat jentera di Jalan Pudu, KL, lewat petang semalam. Foto: myMetro

Lubang besar di dinding kedai selepas dirempuh bas

Bahagian hadapan bas remuk menyebabkan pemandu dan dua penumpang cedera

Orang ramai yang berada di tempat kejadian melihat kesan kerosakan akibat kemalangan tersebut

Bas datang dari Jalan Imbi ke Jalan Pudu menuju ke arah Jalan Cheras terbabas di laluan bertentangan dan menghentam bangunan kedai

KUALA LUMPUR - “Bas yang dipandu sangat laju sejak mula-mula saya naik. Terasa melayang-layang macam mahu terbang. 
Adu seorang penumpang sebuah bas Rapid yang terbabas sebelum menghentam dan menembusi bangunan kedai menjual pam air dan alat-alat jentera di Jalan Pudu, lewat petang hari ini. 
Separuh dari bas berkenaan berada di bahagian dalam bangunan kedai itu mengakibatkan bahagian hadapan bas remuk. 
Misari Nisar, 24, berkata, ketika kejadian, dia berada di tempat duduk bahagian belakang bas. 
Katanya, kejadian berlaku terlalu pantas, namun apa yang dia ingat, bas bergerak terlalu laju. 
“Ada penumpang yang menjerit supaya bas diperlahankan tapi masa itu bas sudah ‘terbang’ ke seberang jalan. Saya terhantuk ke hadapan dan terjelepok di bawah tempat duduk hadapan, kemudian pengsan. 
“Barangan peribadi saya termasuk beg, dompet dan telefon bimbit hilang sebaik saya sedar,” katanya kepada Sinar Harian. 
Difahamkan dalam kejadian kira-kira jam 6.50 petang itu, seramai kira-kira 20 penumpang berada dalam bas berkenaan. 
Bas berkenaan datang dari Jalan Imbi ke Jalan Pudu menuju ke arah Jalan Cheras terbabas di laluan bertentangan dan menghentam bangunan kedai terbabit. 
Sumber bomba berkata, terdapat tiga mangsa termasuk seorang lelaki warga emas dan dua wanita berusia 40-an cedera ringan dalam kejadian itu dan diberi rawatan segera oleh ambulans yang tiba. 
Sementara itu, pemilik kedai berkenaan, Lim Ho Peng, 66, berkata, ketika kejadian kedainya telah tutup daripada beroperasi. 
Dia yang berada di bangunan bersebelahan terdengar bunyi dentuman yang amat kuat dari arah kedainya. 
“Kedai sudah tutup dari jam 5.30 petang, tapi saya belum balik dan terdengar bunyi dentuman kuat. 
“Bila saya tengok rupa-rupanya sebuah bas menghentam kedai. Banyak alat jentera untuk jualan dan pameran rosak, dirempuh bas termasuk dihempap batu dinding kedai,” katanya. 
Difahamkan peralatan pam air dan alat-alat jentera yang musnah bernilai RM500 hingga RM50,000 setiap satu namun jumlah kerugian belum dikenal pasti. - Sinar Harian


Sebahagian dinding konkrit kedai menjual pam air dan peralatan jentera pecah akibat rempuhan bas RapidKL. Foto: Muhd Asyraf Sawal

KUALA LUMPUR - Dua puluh penumpang sebuah bas nyaris maut apabila pemandunya gagal mengawal kenderaan itu hingga merempuh tembok sebuah kedai di Jalan Pudu, di sini, petang semalam. 
Dalam kejadian jam 6.55 petang itu, bas RapidKL yang dalam perjalanan dari pusat bandar ke Jalan Cheras, di sini secara tiba-tiba memasuki laluan bertentangan sebelum naik ke laluan pejalan kaki dan merempuh kedai menjual peralatan pam air dan jentera. 
Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Polis Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Abdullah Roning, berkata akibat rempuhan itu, pemandu bas berkenaan dilaporkan patah kaki, manakala dua lagi penumpang wanita cedera ringan di kaki selepas tercampak ke hadapan bas. 
Bagaimanapun, ketika kejadian tiada sesiapa berada dalam kedai yang dirempuh itu selepas ia ditutup pada jam 6 petang. 
Setakat ini kita masih menjalankan siasatan sama ada kejadian ini disebabkan tindakan pemandu bas yang memandu dalam keadaan laju dan cuai sehingga mengabaikan keselamatan atau berpunca daripada masalah teknikal bas berkenaan. 
Bagaimanapun siasatan kemalangan ini akan dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan, atas kesalahan memandu secara melulu dan tidak berhati-hati, katanya ketika dihubungi semalam. 
Abdullah berkata, siasatan ke atas pemandu berusia 40-an itu akan dibuat selepas beliau selesai menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur. 
Sementara itu, salah seorang mangsa Misari Isa, 24, memberitahu pemandu bas berkenaan memandu secara tergesa-gesa termasuk ketika mengambil penumpang di setiap hentian bas. 
Ketika baru sebelah kaki saya memijak tangga untuk menaiki bas ini di hentian Puduraya, pemandu terbabit terus memandu bas seolah-olah mahu mengejar sesuatu dan mulai saat itu, saya mula merasa tidak selamat, katanya. - Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.