Isnin, 16 Disember 2013

Maut Disumpit Orang Asli

Peah Abu Bakar menunjukkan gambar Harun Mat Bakar, 80, yang maut terkena sumpitan. Foto: Berita Harian


Sebelum meninggal dunia, Harun sempat memberitahu dia disumpit Orang Asli bernama Dollah (gambar hiasan)


JERANTUT - “Saya disumpit Orang Asli bernama Dollah”. Itu kata-kata terakhir peneroka FELDA Sungai Tekam Utara dekat sini, Harun Mat Bakar, 80, kepada isterinya, Peah Abu Bakar, sebelum meninggal dunia, dipercayai akibat sumpitan beracun di muka di Kampung Bakong, malam kelmarin. 
Dalam kejadian jam 7.10 malam itu, Harun yang terkena sumpitan, sempat memandu PROTON Iswara miliknya sejauh kira-kira tujuh kilometer dari kampung itu untuk pulang ke rumahnya di FELDA Sungai Tekam Utara. 
Difahamkan, mangsa disumpit menggunakan damar (peluru sumpit) beracun ketika berjumpa dengan suspek di Kampung Bakong ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari bandar ini. 
Peah berkata, mereka yang tinggal bersama anak sulong, Maimon dan menantunya, Arshad Ahmad, 64, terkejut apabila suaminya rebah sebaik keluar dari kereta di depan rumah dengan muka dan baju ada kesan darah. 
Ketika itu, Harun memberitahunya bahawa dia disumpit seorang lelaki Orang Asli bernama Dollah. 
Berikutan itu, mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan di FELDA Sungai Tekam untuk rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Jengka. 
“Suami dalam keadaan nazak dan setengah jam kemudian dia meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam. 
Harun mempunyai seorang lagi anak, Suhaimi, 52, dan tujuh cucu. Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam FELDA Sungai Tekam, malam kelmarin. 
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Azid Ismail, berkata laporan bedah siasat mendapati ada kesan kecederaan kecil di muka, leher dan lebam di bahu kiri mangsa. 
“Doktor mengesyaki mangsa mati akibat racun yang disumpit tetapi sampel darah akan dihantar ke Jabatan Kimia dan Pusat Racun Negara untuk pengesahan,” katanya ketika dihubungi. 
Berikutan kejadian itu, Azid berkata, polis menahan Dollah berusia 48 tahun di rumah suspek di Kampung Bangkong, semalam serta merampas sumpit serta damak. 
“Motif kejadian sedang disiasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Suspek direman tujuh hari bermula hari ini (semalam),” katanya. - Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.