Isnin, 16 Disember 2013

Maut Ketika Buat Sambungan Haram

Seorang lelaki maut terkena renjatan elektrik dipercayai ketika cuba membuat penyambungan haram. Foto: Borneo Post

Mayat ditemui orang awam di dalam parit dalam keadaan memegang wayar


SANDAKAN - Seorang lelaki maut terkena renjatan elektrik dipercayai ketika cuba membuat penyambungan haram berhampiran Pangsapuri MPS Karamunting, malam kelmarin. 
Mangsa, Otoh Hami berusia 35 tahun ditemui orang awam di dalam parit dekat kawasan pangsapuri berkenaan dalam keadaan memegang wayar dipercayai digunakan untuk melakukan penyambungan haram di sekitar kawasan berkenaan jam 7.50 malam. 
Difahamkan, mangsa kemudian dibawa keluar oleh anggota bomba sebaik dimaklumkan kejadian itu sebelum dihantar ke Hospital Duchess of Kent. 
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Rowell Marong berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam lalu bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan. 
“Siasatan awal mendapati, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat terkena renjatan elektrik. 
“Siasatan lanjut mendapati mangsa cuba melakukan penyambungan haram dan terpegang wayar menyusuri parit berair menyebabkan berlaku renjatan elektrik,” katanya, semalam. 
Bagaimanapun Rowell berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. 
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Duchess of Kent di sini, untuk siasatan lanjut. 
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubungan kejadian diminta melaporkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut,” katanya. 
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Affendy K Ramin berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu jam 7.55 malam. 
“Sebaik menerima maklumat itu, sepasukan anggota bomba diketuai Johny Yap bersama lima anggota berkenaan ke lokasi kejadian. 
“Ketika tiba di lokasi kejadian, anggota bomba menemui mayat seorang lelaki yang masih memegang wayar lalu dibawa keluar, kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, semalam. - myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.