Jumaat, 10 Januari 2014

Gegaran Bawah Tanah Bukan Punca Kedai Retak

Kedai tiga tingkat di Kukup Laut yang rosak. Foto: myMetro

Keretakan bukan kesan tremor atau gegaran bawah tanah, kata Jabatan Bomba dan Penyelamat. Foto: myMetro


PONTIAN - Gegaran dan keretakan pada rumah kedai di di Lorong Zamrud 3 Kukup Laut di sini, dipercayai berpunca daripada masalah teknikal bukan kesan tremor atau gegaran bawah tanah, kata Jabatan Bomba dan Penyelamat daerah. 
Majlis Daerah Pontian (MDP) juga tidak menolak kemungkinan keretakan tiang bangunan itu kesan kerja ubah suai pemilik bangunan dan mendapan tanah di pinggir laut. 
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pontian Baru Penolong Penguasa Bomba Zulbahry Sulong berkata, gegaran yang dirasai penghuni di bangunan terbabit berkemungkinan berpunca daripada empat tiang premis yang meretak dan hampir patah. 
"Kami menerima panggilan kecemasan pada jam 9.12 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian. 
"Kami memastikan tiada penghuni di dalam bangunan manakala siasatan akan dilakukan oleh Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM)," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian. 
Sementara itu, Yang Dipertua MDP Miswan Yunus berkata, pihaknya sudah mengarahkan bangunan berkenaan dikosongkan dan anggota penguatkuasa akan berkawal di lokasi. 
"Kami sedang mengkaji struktur bangunan terbabit dengan kerjasama JKR Daerah Pontian untuk tentukan langkah yang akan diambil selanjutnya. 
"MDP juga dalam proses melantik pakar forensik bangunan untuk menentukan secara terperinci tahap keselamatan struktur premis ini dan langkah lain yang perlu diambil," katanya. 
"Ada kemungkinan retakan itu berlaku akibat kerja ubah suai pemilik bangunan dan mendapan tanah di pinggir laut," katanya. 
Jurutera Jabatan Kerja Raya Daerah Pontian Ir Ismail Ibrahim berkata, pihaknya akan menunggu maklumat daripada IKRAM untuk mengenal pasti punca sebenar keretakan bangunan terbabit. 
"Sementara IKRAM menjalankan siasatan, semua penghuni di situ diminta tidak masuk ke dalam bangunan kerana dikhuatiri perkara tidak diingini," katanya. - myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.