Khamis, 9 Januari 2014

Lori Tangki Bawa Bahan Kimia Terbalik di Tol Jelapang

Sebuah lori tangki yang membawa bahan toksik Formaldehyde terbalik di Kilometer 269.8 Lebuhraya Utara Selatan

Kemalangan kira-kira jam 7.20 pagi itu turut membabitkan dua kereta yang gagal mengelak lori berkenaan


IPOH - Empat orang cedera selepas sebuah lori tangki yang membawa bahan toksik Formaldehyde terbalik dan mengalami kebocoran dalam kemalangan di Kilometer 269.8 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan berhampiran Plaza Tol Jelapang, di sini, pagi tadi. 
Kemalangan kira-kira jam 7.20 pagi itu turut membabitkan dua kereta yang gagal mengelak lori berkenaan yang melintangi laluan terbabit. 
Kemalangan yang berlaku kira-kira tiga kilometer dari Plaza Tol Jelapang itu mengakibatkan pengguna Lebuhraya berkenaan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas yang teruk sepanjang kira-kira tiga kilometer. 
Kebocoran bahan toksik terbabit juga menyebabkan orang ramai yang berada di kawasan berkenaan mengalami sesak nafas dan pedih mata. 
Pasukan Hazmat Bomba dan Penyelamat sedang menjalankan usaha mengalih lori tangki dan membersihkan bahan berbahaya berkenaan. 
Empat orang yang cedera dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk mendapatkan rawatan. 
Laluan kemalangan dijangka tutup sehingga jam 1 petang nanti namun PLUS telah membuat lencongan untuk kenderaan buat sementara waktu. - myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.