Jumaat, 24 Januari 2014

IJN Rawat Pesakit Jantung Guna Teknologi Baru

Dr Robaayah (duduk kanan) dan Dr Mohd Azhari (duduk kiri) menunjukkan alat pembedahan VenTouch. Foto: myMetro

Abu Kassim Mat Hassan pesakit pertama menjalani pembedahan VenTouch kini dalam keadaan stabil. Foto: myMetro


KUALA LUMPUR - Institut Jantung Negara (IJN) menjadi institut perubatan pertama di dunia yang berjaya merawat pesakit menggunakan sistem Mardil Medical VenTouch (VenTouch) keluaran syarikat peranti jantung Amerika Syarikat, Mardil Medical Inc. 
Sistem VenTouch adalah terapi surgikal invasif minimum untuk rawatan ‘functional mitral regurgitation’ atau FMR, penyakit berkait dengan kegagalan jantung yang menjejaskan lebih sejuta pesakit di seluruh dunia. 
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif IJN Datuk Dr Mohd Azhari Yakub berkata, pihaknya menjalankan pembedahan menggunakan terapi itu ke atas dua pesakit jantung masing-masing berusia 43 dan 52 tahun. 
“Kedua-dua mereka mengalami masalah lemah jantung dan injap bocor sudah berjaya menjalani pembedahan ini pada 21 Januari lalu serta masih dalam pemerhatian dan pemantauan pasukan kami. 
“Sistem VenTouch sebelum ini tidak pernah diuji ke atas manusia dan IJN berbangga kerana menjadi institut perubatan pertama yang mencuba, malah dua pesakit turut menunjukkan tindak balas positif serta memberangsangkan,” katanya pada sidang media, di sini, semalam. 
Dr Mohd Azhari mengetuai pembedahan itu bersama Pakar Perunding Kardiothorasik Datuk Dr Jeffrey Jeswant Dillon, Perunding Kardiologi Datuk Dr Rosli Mohd Ali dan Dr Shahrol Anuar Mohd Yasin selain Perunding Anesthelogis Dr Suhaini Kadiman dan Dr Rohit Vijay Jain. 
Sidang media itu turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif IJN Tan Sri Dr Robaayah Zambahari dan Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Inovasi Malaysia Mark Rozario. 
Dalam pada itu, Dr Jeffrey ketika mengulas lanjut prosedur VenTouch berkata, pembedahan pertama mengambil masa lima jam, manakala berikutnya selama dua jam dan 30 minit. 
“Kedua-dua pembedahan berjalan pada hari sama, cuma yang pertama mengambil sedikit masa kerana ia pertama kali diadakan dan banyak perkara perlu diberi perhatian,” katanya. - myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.