Jumaat, 24 Januari 2014

Warga Emas Diperdaya Sindiket Gores Dan Menang

Mangsa gores dan menang sedang di temu ramah wartawan. Foto: myMetro

Kad gores dan menang yang digunakan untuk mengumpan orang ramai. Foto: myMetro

Gambar ejen gores dan menang yang dirakam mangsa. Foto: myMetro


MELAKA - Terpedaya dengan hadiah lumayan termasuk Toyota Camry, Honda City dan pakej umrah bernilai RM60,000, seorang pesara kerugian RM12,800 selepas diperdaya sindiket gores dan menang di negeri ini. 
Mangsa yang mahu dikenali sebagai Ahmad, 66, berkata, dia kerugian RM12,800 selepas memberikan wang berkenaan kepada sindiket itu secara berperingkat dari Disember lalu hingga pertengahan bulan ini. 
Katanya, dalam kejadian jam 11 pagi 25 Disember lalu itu, dia yang baru saja keluar daripada kereta di tempat letak kenderaan di sebuah pasar raya di Jalan Panglima Awang, didatangi dua lelaki berusia 20-an. 
“Sebaik menutup pintu kereta mereka mengoyakkan kertas mendakwa saya menang cabutan bertuah dan berpeluang memenangi Totoya Camry, Honda City dan pakej umrah bernilai RM60,000 atau wang tunai RM28,000. 
“Namun, untuk mengetahui hadiah lumayan yang bakal dimenangi, mereka meminta saya membuat bayaran pendahuluan RM12,800,” katanya ketika ditemui di Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) di Wisma Persekutuan, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam. - myMetro


Seorang ahli sindiket gores dan menang pengsan dibelasah sekumpulan kira-kira 30 lelaki. Foto: myMetro


SEREMBAN - Seorang ahli sindiket gores dan menang pengsan manakala tiga lagi cedera di muka serta badan akibat dibelasah sekumpulan kira-kira 30 lelaki yang berang selepas mendakwa ditipu sindiket itu, ada yang mencecah puluhan ribu ringgit. 
Kejadian berlaku di premis yang dijadikan pejabat sindiket berkenaan di Jalan Pusat Bandar Senawang 16, di sini, jam 5.40 petang kelmarin. 
Saksi kejadian yang mahu dikenali sebagai Azmi, 30-an berkata, dia melihat 30 lelaki terbabit menaiki motosikal dan kereta seolah-olah merusuh di hadapan premis pejabat sindiket syarikat gores dan menang itu. 
“Saya difahamkan kumpulan 30 lelaki terbabit berang kerana ahli keluarga mereka kerugian belasan ribu hingga puluhan ribu ringgit seorang. Jadi mereka datang untuk meminta semula wang selepas menyedari ditipu. 
“Apabila permintaan mereka tidak dipenuhi, saya lihat kumpulan lelaki terbabit menyerbu masuk ke dalam premis dan memukul empat pekerja gores dan menang itu manakala lapan lagi pekerja berjaya melarikan diri,” katanya. 
Azmi yang bekerja di premis berhampiran pejabat sindiket gores dan menang itu berkata, keadaan begitu kelam-kabut apabila kumpulan lelaki yang merusuh itu bertindak mengejar ahli sindiket yang cuba melarikan diri. 
“Empat ahli sindiket itu juga cuba lari, tapi gagal. Akibatnya mereka dibelasah teruk sehingga seorang pengsan manakala tiga lagi saya lihat lebam di muka mereka,” katanya. 
Jurucakap polis pula berkata, pihaknya terus bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan sebelum mendapati empat lelaki cedera dan akibat dipukul, seorang daripadanya pengsan. 
Menurutnya, mereka yang cedera itu dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk rawatan dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 146/ 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan melakukan kekerasan. 
“Setakat ini polis menahan tiga lelaki yang disyaki terbabit dengan kejadian untuk disoal siasat,” katanya. - myMetro


Muhabir menunjukkan pengesahan kematian pemilik perniagaan. Foto: myMetro


MELAKA - Satu sindiket gores dan menang di negeri ini dikesan menggunakan taktik menjalankan operasi menerusi perniagaan yang pemiliknya sudah pun meninggal dunia. 
Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Muhabir Ibrahim berkata, taktik berkenaan dilakukan sindiket dipercayai bagi mengelak daripada diambil tindakan oleh pihak berkuasa. 
Menurutnya, taktik berkenaan dikesan hasil serbuan dijalankan pihaknya ke atas sebuah syarikat gores dan menang yang beroperasi di Taman 1 Lagenda, di sini, 13 Januari lalu. 
“Hasil semakan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) syarikat berkenaan adalah milikan tunggal yang didaftarkan atas nama seorang lelaki berusia 39 tahun pada 9 Disember 2013, namun hasil semakan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendapati individu berkenaan meninggal dunia pada 22 Disember tahun sama. 
“Si mati dipercayai dipergunakan untuk mendaftarkan perniagaan itu, disebabkan ia milikan tunggal sukar untuk kami mengambil tindakan kerana pemiliknya sudah meninggal dunia,” katanya pada sidang media di PPDNKK, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, semalam. 
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Perpaduan, Hal Ehwal Pengguna dan Keperasi negeri Datuk Wira Latiff Tamby Chik. 
Menurutnya, bagaimanapun SSM yang turut menyertai serbuan itu akan mengambil tindakan mengikut Akta Syarikat 1965 ke atas mereka yang bertanggungjawab menjalankan perniagaan gores dan menang berkenaan. 
“Malah, PPDNKK juga akan meminta bantuan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) untuk memotong bekalan elektrik dan air di premis berkenaan sekiranya boleh. 
“Hasil serbuan, selain barangan bernilai hampir RM20,000 termasuk tilam jed dan mesin pengurut kaki disita, seorang lelaki berusia 20-an dipercayai pekerja syarikat itu turut ditahan untuk diambil keterangan sebelum dibebaskan,” katanya. - myMetro

1 ulasan:

  1. kalau siapa di tipu boleh call MR.KHOO dia boleh tolong dapat kan balik

    BalasPadam

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.