Rabu, 29 Januari 2014

Jambatan Pulau Pinang Sesak Teruk Akibat Kemalangan

Jambatan Pulau Pinang dari Seberang Perai menghala ke bahagian pulau sesak teruk akibat kemalangan. Foto: Wikipedia

Kedua-dua kenderaan yang terlibat dengan kemalangan telah dialihkan oleh trak penunda. Foto: Wikipedia


BUTTERWORTH - Ratusan pengguna jalan raya yang melalui Jambatan Pulau Pinang dari Seberang Perai menghala ke bahagian pulau terperangkap dalam kesesakan teruk akibat berlaku kemalangan yang melibatkan dua buah kereta pagi tadi. 
Jurucakap Penang Bridge Sdn. Bhd. berkata, kemalangan berlaku di lorong kiri di Kilometer 4.8 pada pukul 8.15 pagi. 
"Ia tidak melibatkan kecederaan serius, bagaimanapun menyebabkan kesesakan teruk berikutan waktu puncak ketika orang ramai mahu ke tempat kerja. 
"Kami berusaha mengalihkan kenderaan terbabit bagi membolehkan lalu lintas bergerak lancar namun sikap pengguna yang memperlahankan kenderaan untuk melihat kemalangan itu memburukkan lagi keadaan,” katanya. 
Kedua-dua kenderaan terlibat berjaya dialihkan oleh trak penunda kira-kira sejam selepas kemalangan. 
Tinjauan Bernama mendapati kesesakan berlaku dari susur masuk ke Permatang Pauh hingga tempat kejadian iaitu sejauh kira-kira 10 kilometer. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.