Rabu, 29 Januari 2014

Keluarga Diraja Britain Diminta Berjimat

Sebuah jawatankuasa parlimen meminta keluarga diraja Britain mengurangkan kos dan meningkatkan pendapatan

Jawatankuasa parlimen menegaskan keluarga diraja memerlukan lebih banyak wang untuk menyelenggara istana mereka

Pembaikan beberapa istana bersejarah memerlukan perbelanjaan lebih £50 juta (RM269 juta)

Estet diraja merangkumi 360 bangunan termasuk Windsor Castle (gambar), Clarence House, St James Palace dan Istana Kensington

Margaret Hodge Pengerusi jawatankuasa parlimen berkaitan


LONDON - Sebuah jawatankuasa parlimen meminta keluarga diraja Britain mengurangkan kos dan meningkatkan pendapatan selepas simpanan tunai institusi itu mencatat rekod paling rendah iaitu £1 juta (RM5.5 juta). 
Mengikut laporan jabatan akaun awam, keluarga diraja dicadang merancang perbelanjaan dengan lebih baik bagi memastikan mereka mempunyai simpanan mencukupi untuk menampung sebarang kejadian yang tidak dijangka Ratu Elizabeth. 
Dana simpanan itu yang direkodkan sebanyak £35 juta (RM193 juta) pada 2001 berkurangan sedikit demi sedikit disebabkan perbelanjaan berlebihan. 
Pengerusi jawatankuasa itu, Margaret Hodge turut mengkritik Perbendaharaan britain kerana gagal membuat semakan terhadap perancangan dan pengurusan kewangan keluarga diraja sedangkan banyak peluang untuk membantu mereka meraih pendapatan lebih dan mengurangkan kos serta perbelanjaannya. 
Katanya, tahun kewangan lalu menunjukkan peningkatan dalam pendapatan mereka namun menganggap masih banyak yang boleh dilakukan. 
“Kami percaya pengurusan yang lebih baik mampu memastikan lebih banyak kos dikurangkan. 
“Keluarga Diraja juga perlu menangani masalah penyelenggaraan beberapa estet miliknya yang agak kurang terpelihara,” katanya. - AP/myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.