Khamis, 20 Februari 2014

MARDI Tanam Anggur Di Langkawi

Anggur hijau yang ditanam di rumah pelindung hujan Taman Agroteknologi MARDI Langkawi. Foto: myMetro

Pengurusan kanan MARDI meninjau hasil anggur yang dikeluarkan MARDI Langkawi. Foto: myMetro

Seorang petugas MARDI Langkawi melihat buah anggur segar. Foto: myMetro

Saudah menunjukkan teknik pemangkasan anggur. Foto: myMetro

Aanggur jenis Isabella. Foto: myMetro

Rumah pelindung hujan yang digunakan untuk tanaman anggur. Foto: myMetro

Pemandangan di ladang anggur dilihat dari menara tinjau. Foto: myMetro


Juntaian ratusan gugusan anggur hijau di rumah pelindung hujan Taman Agroteknologi MARDI Langkawi menambat hati penulis. 
Program lawatan diaturkan Bahagian Komunikasi Korporat, MARDI, Serdang, memberi banyak informasi berguna mengenai tumbuhan beriklim sederhana itu. 
Ditemani Pembantu Pe­nyelidik MARDI Langkawi, Saudah Harun, program lawatan sehari diaturkan Pegawai Perhubungan Awam dan Komunikasi Korporat, MARDI, Nur Akmal Hassan ke ladang itu cukup menarik. 
Saudah turut berkongsi kepakarannya dalam menguruskan ladang yang berusia kira-kira tiga tahun. 
Jika anggur sering dikaitkan dengan negara beriklim sejuk, kini ia sesuai ditanam di negara ini yang beriklim subtropika. 
Dengan kepakaran serta teknologi yang ada, MARDI mampu merealisasikan impian penduduk negara ini merasai pengalaman di ladang anggur. 
Berada di rumah fertigasi membuatkan penulis kagum keupayaan anak tempatan menghasilkan pokok berkenaan. 
Apa yang pasti, dengan bayaran RM6, pemegang MyKad bukan saja dapat melawat Taman Agroteknologi MARDI seluas 27 hektar tetapi diberi ‘bonus’ istimewa bergambar bersama barisan pokok dan buah ang­gur segar di ladang itu. 
Malah, jika tiba musim menuai, pengunjung dapat membeli buah berkenaan pada harga berpatutan. 
Kunjungan penulis ke taman itu disapa tiupan angin sejuk luar biasa yang melanda negara ini. 
Pengurus Stesen MARDI Langkawi, Hassim Mat berkata, idea memperkenalkan teknologi penanaman anggur secara fertigasi menarik kedatangan pelancong tempatan ke taman itu. 
“Meskipun mempunyai buku berkaitan teknologi penanaman anggur sebagai panduan, MARDI belum lagi mempunyai teknologi secara khusus mengenai­nya. 
“Bagi menarik pelancong tempatan, MARDI memperkenalkan pengurusan tanaman anggur di Lang­kawi,” katanya. 
Katanya, projek penanaman anggur Pusat Pertanian Bukit Bintang, Batu Pahat, Jabatan Pertanian, Perlis dijadikan ilham memperkenalkan tanaman itu di Langkawi. 
“Memandangkan Perlis mampu menghasilkan ang­gur subtropika, mengapa Langkawi tidak boleh berbuat demikian,” katanya. 
Untuk permulaan, hanya 30 pokok anggur ditanam di Taman Agroteknologi MARDI Langkawi dengan mengeluarkan hasil memberangsangkan. 
“Dari situ kami terfikir mengapa projek berkenaan tidak diperbesarkan. 
“Rumah pelindung hujan yang sebelum ini digunakan untuk menanam sayur, cili dan tembikai wangi digantikan kepada projek tanaman anggur secara fertigasi,” katanya. 
“Buat masa ini, lapan varieti anggur ditanam antaranya Kit Fong, Cardinal, Isabella, Blackcurrent, Musacat, IAC dan Black Opal,” katanya. 
Menurutnya, serangan kulat antara cabaran yang perlu dihadapi. 
“Cuaca yang lembab dan panas di rumah pelindung hujan turut menjadi punca utama serangan kulat. 
“Justeru, anggur ditanam di dua rumah pelindung hujan yang berbeza,” katanya. 
Bagi struktur rumah pelindung hujan yang sempurna pengudaraannya, buah lebih bersih dan menarik. 
“Untuk itu usaha mengubah suai struktur bumbung yang lebih tinggi dilakukan bagi mendapat pengudaraan lebih baik,” katanya. 
Projek yang dilaksanakan pada 2011 itu menumpukan kepada varieti IAC yang mengeluarkan buah yang banyak dan cepat matang. 
Tempoh kematangan ang­gur juga mengikut varieti tertentu.
“Sebab itu saya utamakan tanaman yang mudah, cepat mengeluarkan hasil dan berbuah lebat,” katanya. 
Katanya, keratan batang anggur yang matang akan disemai semula untuk ditanam di ladang itu. 
“Teknik penanaman pokok anggur sangat mudah dan anggur jenis IAC boleh dilakukan pemangkasan ketika berusia antara 9 hing­ga 12 bulan selepas ditanam. 
“Pengeluaran anggur bergantung kepada sistem atau cara pemangkasan. Tanpa pemangkasan yang baik, anggur tidak akan mengeluarkan buah yang banyak,” katanya. 
Katanya, tunas baru akan keluar dari dahan yang dipangkas dan selepas tiga hingga empat helai tingkat daun biasanya anggur akan mula mengeluarkan bunga,” katanya. 
Berkongsi ilmu mengenai varieti IAC katanya, pokok berkenaan akan mengeluarkan pucuk baru antara tujuh hingga 10 hari selepas dipangkas. 
“Purata tempoh masa lebih kurang 90 ke 100 hari dari tarikh pemangkasan sebelum dituai,” katanya. 
Katanya, anggur bukan jenis buah bermusim kerana masa berbuah bergantung kepada masa pemangkasan. 
“Jadi untuk membolehkan kawasan ladang ini mengeluarkan buah seperti ditetapkan, pemangkasan perlu dilakukan mengikut tempoh masa ditentukan. 
“Semua itu boleh diuruskan sendiri dan untuk menghasilkan buah secara berperingkat, konsep tempoh masa pemangkasan dilakukan mengikut blok,” katanya. 
Katanya, keratan batang pokok anggur berukuran 30 sentimeter digunakan untuk menghasilkan anak benih anggur. 
“Ia kemudian perlu ­diletak ke dalam polibag dan dibiarkan sehingga mempunyai akar yang baik atau mengeluarkan antara tiga empat helai daun ­sebelum dipindah ke lubang tanaman,” katanya. 
Bagi memastikan kesuburan pokok, penggunaan baja organik amat diperlukan di samping baja kimia secara berjadual digunakan mengikut keperluan, selain menggunakan pe­ngairan secara titisan diamalkan. 
Perancangan masa depan katanya, MARDI Langkawi bercadang mengeluarkan buku panduan penanaman anggur. - Mohd Sabran Md Sani/myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.