Rabu, 5 Februari 2014

Samun 4 Rumah Serentak Guna Pukau

Lizawati menunjukan tingkap dapur yang dibuka penyamun yang menggunakan pukau. Foto: myMetro

Ramlan menunjukkan cap cari penjenayah pada tingkap ruang tamunya. Foto: myMetro


BANTING - “Saya percaya penjenayah yang menyamun saya menggunakan ilmu pukau kerana kami tidak sedar langsung dompet bawah bantal dan telefon yang berada di tangan diambil,” kata mangsa samun membabitkan empat rumah yang disamun sekumpulan penjenayah secara serentak di Jalan Lengkuas Kanchong Tengah, di sini, semalam. 
Dalam kejadian antara jam 3 hingga 5 pagi itu, Lizawati Mohd Taslim, 42, kerugian hampir RM4,000 apabila tiga telefon bimbit jenis Samsung, iPhone, komputer riba dan wang tunai RM1,000 dilarikan penjenayah dipercayai memasuki rumah mangsa melalui tingkap dapur. 
Menurutnya, dia terjaga jam 3.30 pagi untuk ke bilik air sebelum menghubungi suami yang bekerja shif malam bertanyakan khabar. 
“Biasanya saya tidak kembali tidur kalau terjaga pada waktu itu kerana menyiapkan keperluan anak-anak ke sekolah, tetapi tidak tahu kenapa terlalu mengantuk dan terlelap, tidak sedar langsung sehingga terjaga semula sekitar jam 5 pagi,” katanya yang ditemui di rumahnya di sini semalam. 
Lizawati berkata, dia benar-benar terkejut apabila telefon bimbit dipegangnya ketika tidur turut lesap selain mendapati bilik tidurnya bersepah. 
“Terkejut dengan keadaan itu, saya meluru keluar dan mendapati seluruh rumah bersepah, terutama dapur. 
“Saya lihat tingkap dapur terbuka dan besi penghadangnya sudah dipatahkan. Saya percaya penjenayah memasuki rumah melalui tingkap dan keluar melalui pintu dapur,” katanya yang tinggal bersama empat anaknya ketika kejadian.
Katanya, dia juga menemui dompet dan beg tangannya di luar rumah yang sudah diselongkar. 
“Nasib baik dia (penjenayah) hanya melarikan wang tunai RM1,000 manakala kad pengenalan, kad bank dan kunci kereta serta motosikal dibiarkan bersepah di luar rumah,” katanya. 
Katanya, selepas memeriksa dia menemui najis manusia di belakang rumah dipercayai antara amalan pengamal ilmu pukau. - myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.